Rabu, 28 Januari 2009

Kerajaan Teruskan PPSMI

Catatan Mohd Isa bin Abd Razak tentang PPSMI, 003, 10 Januari 2009
Mohd Isa bin Abd Razak, 10 Januari 2009, http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) meneruskan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Penerusan PPSMI ini bermakna KPM memilih rumusan pertama persidangan meja bulat hujung tahun lalu. Rumusan pertama itu ialah “Meneruskan PPSMI seperti sedia ada”.

Keputusan ini jelas menunjukkan KPM mengetepikan ugutan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA). Keputusan ini juga jelas menunjukkan KPM memandang sepi pelbagai hujah pihak yang menentang PPSMI. Mungkin hujah bernas pihak yang menentang PPSMI, terutamanya daripada para profesor dan budayawan kita, tidak sampai kepada KPM. Jikalau hujah itu sampai kepada KPM, mungkin juga hujah itu dipandang sebelah mata. Ada juga kemungkinan mereka memejamkan mata terhadap hujah berdata yang disajikan.

Pihak yang pro-PPSMI seperti Parent Action Group for Education (PAGE) perlu mengucapkan tahniah kepada Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Pakar dari Lembaga Pentaksiran dan Kurikulum Victoria, Australia (VCAA), William Perrin, juga perlu menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Datuk Seri Hishammuddin.

Selain itu, saya percaya pelbagai pihak yang meraih keuntungan daripada dasar ini berasa amat senang hati. Antara pihak yang meraih keuntungan itu ialah pembekal komputer riba dan penerbit kamus bahasa Inggeris. Pihak lain yang tidak kurang senang hati dengan penerusan PPSMI ialah guru yang mendapat elaun dalam skim dasar ini.

Pada saya, tajuk berita “Keputusan Pelaksanaan PPSMI Tahun Depan” tidak tepat. Isi berita itu juga amat bersahaja. Jadi, jawapan Menteri Pelajaran juga amat mudah. Gambar Menteri Pelajaran dengan muka yang ceria dan senyuman yang sungguh menawan dapat membantu pembaca menyenangi jawapan beliau yang inti sarinya tercatat di sebelah gambar itu.

Kita yang mendukung Gerakan Anti-PPSMI (GAP) dan mendukung slogan “Bahasa Jiwa Bangsa” membaca berita ini dengan pelbagai rasa. Hairan ada, terharu ada, geram ada. Banyak lagi rasa yang bercampur baur, termasuklah marah yang dijelmakan melalui kata-kata atau tulisan.

Saya menjangka KPM akan membuat pengumuman sama ada meneruskan atau memberhentikan PPSMI secara rasmi dalam sidang akhbar. Nampaknya, sehingga kelmarin, jangkaan saya itu meleset. Jadi, saya berterima kasih kepada Berita Harian kerana berusaha mendapatkan maklumat daripada KPM. Saya memang menunggu-nunggu berita ini.

Berita ini mendorong kita memperhebat GAP. Kita sokong perhimpunan mengarak “Keranda 152”. Tunjukkan sokongan itu dengan pelbagai cara yang kita mampu. Sokongan yang sangat penting ialah daripada pertubuhan pelajar, termasuk daripada kumpulan yang bakal menjadi guru, khususnya bakal guru Bahasa Melayu. Tindakan agresif orang muda kita harapkan dan kita hargai.

Muat turun buku Mengapa Kami Bantah! cetakan pertama, percuma! Klik pautan yang berkenaan.

Tiada ulasan: