Oleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY, Utusan Malaysia Online, 23 Disember 2008
KUALA LUMPUR 22 Dis. - Ugutan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap Kementerian Pelajaran tidak membantu kerajaan mencapai keputusan terbaik berhubung isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tindakan tersebut bukan sahaja tidak membina malahan menyulitkan pihak kementerian membuat keputusan demi masa depan anak-anak bangsa.
''Semua pihak berhak jika hendak mengambil tindakan tapi yang ganjilnya mengapa sekarang selepas enam tahun dasar ini dilaksanakan?
''Lebih-lebih lagi apabila kebelakangan ini sudah lima perbincangan meja bulat diadakan dan sekarang hanya tinggal peringkat akhir untuk membuat rumusan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Gapena yang kemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Kementerian Pelajaran sekiranya PPSMI diteruskan.
Gapena menerusi Ketua Satunya, Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein mendakwa pelaksanaan PPSMI itu secara jelas mencabul Fasal 152, Perlembagaan Persekutuan yang telah termaktub berhubung status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Ismail berkata, tindakan itu kelak merupakan kemuncak kekecewaan Gapena, kalangan cendekiawan termasuk pencinta bahasa Melayu selepas desakan supaya PPSMI tidak diteruskan, tidak mendapat maklum balas sewajarnya daripada kerajaan.
Hishammuddin menambah, ugutan sedemikian pernah dilakukan oleh Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Jiao Zhong) yang menentang konsep Sekolah Wawasan berikutan khuatir fungsi Lembaga Pengelola Sekolah Cina akan hilang.
Namun, menurut beliau, selepas memberi penjelasan yang kukuh, Dong Jiao Zhong menarik semula hasrat untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap kementerian.
''Untuk membantu kementerian membuat keputusan dalam hal ini semua pihak perlu mengemukakan hujah-hujah yang rasional tanpa emosi bersandarkan fakta dan angka.
"Ini demi masa depan anak-anak bangsa kita, '' tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan