Sabtu, 7 Februari 2009

Harapan kepada Senator Dato' Dr. Firdaus Abdullah

Adakah Senator Dr. Dato' Firdaus Boleh Suarakan Isu PPSMI di Dewan Negara?
Oleh Ali Bukhari Amir, 6 Februari 2009
http://bmppsmi.blogspot.com/

Selepas berakhirnya jawatan beliau sebagai Ketua Pengarah DBP sejak Mei tahun lalu, Dato' Dr. Firdaus Abdullah kini telah mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara untuk penggal pertama baru-baru ini.

Terlalu awal membuat andaian terhadap sesiapa pun yang baru memegang jawatan. Barrack Obama yang baru mengangkat sumpahnya pada 20 Januari lalu. Tetapi, akhir-akhir ini, kita sudah dapat melihat tanda-tanda sokongan Obama itu ke arah mana.

Tetapi, itu riwayat Obama. Kisah senator Dato' D.r Firdaus bagaimana pula? Obama telah dikelilingi para penasihat Yahudi; keadaan yang sama seperti Raja-Raja Melayu kita pada suatu masa dahulu.

Walaupun Raja-Raja Melayu dikelilingi Residen British, dan kononnya penjajah tidak akan masuk campur dalam hal-ehwal Islam dan istiadat Melayu, tetapi akhirnya rebah juga dan beberapa Raja Melayu tersingkir lalu dibuang jauh dari negeri sendiri.

Gaya dan bentuknya lebih kurang sama. Sebab itulah agaknya Obama terperangkap dan tidak boleh bersuara jauh lebih daripada itu. Ada juga Raja-Raja Melayu yang diangkat sebagai raja oleh penjajah British.

Dengan itu, akhirnya mereka berasa terhutang budi kepada British lalu dia bersikap lunak dan sukar melawan kehendak penjajah tersebut.

Tapi, Dr Firdaus dilantik oleh Perdana Menteri. Dan hal ini mengundang pertanyaan baru pula kepada para pejuang bahasa yang anti isu PPSMI ini. Adakah beliau dapat mewakili suara yang mahu mansuhkan PPSMI di Dewan Negara?

Kenyataan Akhbar

Kenyataan Dr. Firdaus di akhbar baru-baru ini mungkin boleh disemak dan dianalisis satu-persatu setelah robohnya kekuatan Pakatan Rakyat Perak yang menjadi simbolik terhadap rebahnya kekuatan dalam memansuhkan PPSMI.

Bercakap kepada pemberita, Dato' Firdaus melafazkan rasa terharu kerana diberikan kepercayaan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk memikul tugas sebagai Senator.

Katanya, keanggotaan di Dewan Negara akan dimanfaatkan untuk mengambil bahagian secara membina bagi meningkatkan mutu perdebatan.

"Saya tidak dijelaskan mengenai kriteria pelantikan saya, barangkali berasaskan penglibatan dalam bidang akademik, budaya dan penulisan.

"Semoga peranan saya menyuburkan sistem demokrasi berparlimen di negara ini," katanya yang akan membuat penampilan pertama pada Sidang Dewan Negara pertengahan bulan depan.

Mengenai isu yang akan diperjuangkan, Firdaus berkata, ia berkaitan harapan melihat pemurnian dan pengamalan kebudayaan kebangsaan diberi keutamaan oleh kerajaan.

Katanya, kedudukan penulis dan budayawan juga perlu diberi perhatian sewajarnya dalam struktur masyarakat.

Kemanusiaan, kebudayaan melawan Sains, Teknologi"Saya berharap obsesi kita kepada sains dan teknologi dapat diimbangi dengan pertimbangan kemanusiaan dan kebudayaan dalam membentuk serta melaksanakan polisi.

"Saya tak nafikan kepentingan sains dan teknologi tetapi ia perlu seimbang dengan unsur kemanusiaan, bak kata pepatah 'rasa dibawa naik, akal dibawa turun', katanya.

Mungkinkah.. suara baru senator cuba berselindung untuk sementara waktu di atas nama kemanusiaan, kebudayaan supaya tidak jelas kelihatan jalur warna penentangan terhadap isu PPSMI ini? Apa yang penting, jiwa muda kita bergelora, penasaran menantikan watak senator ini beraksi dalam menyuarakan penentangan ke atas isu PPSMI.

Kita simpulkan demikian kerana kelibat Dr Firdaus telah kelihatan dalam beberapa majlis dan program yang terkait dengan kegiatan memansuhkan PPSMI sebelum ini. Yang amat jelas dan dekat di jiwa saya ialah ketika beliau hadiri acara Dialog Peradaban, UM ketika Gapena mula lantang menyatakan hasratnya untuk menyaman kerajaan.

Mohon maaf kerana berterus-terang dengan Dato' Firdaus

Tatkala Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) melancarkan gerakannya di Sogo baru-baru ini, saya mungkin juga terlepas pandang. Yang ada.. Dato' A. Samad Said, Dato' Hassan Ahmad, Dr. Awang Sariyan yang khabarnya turun dari Beijing, China untuk demo itu.

Dan ada juga beberapa tokoh-tokoh lain yang tak dapat disenaraikan namanya di sini.

Tapi kalau Dr Firdaus memang turun saya minta maaf kerana terlepas pandang. Alangkah baiknya kalau dapat disertai perarakan itu bagi menghimpunkan kekuatan jalanan setelah beberapa tahun cuba berdialog, berunding secara berhikmah, tapi tidak diendahkan.

Sekian.. selamat berjuang kepada Dr. Firdaus. Khuatir juga beliau marah-marah saya tulis begini. Mungkin beliau tidak ingat saya lagi. Tetapi kita pernah duduk semeja sekali pada suatu malam di Samarinda, Kalimantan Timur ketika berbual mengenai hal-hal puisi.

Di dalam bualan santai bersama sahabat itulah saya mula mengenali hati budinya setelah saya “dimarahi” Dr. Firdaus, "Tak perlu berlapik nak susun ayat. Cakap terus-terang!"

Selesai bualan malam itu, dan setelah dimaklumkan oleh sahabat, barulah saya tahu sikit sebanyak sikap dan gaya beliau yang suka kita bercakap terus-terang.

"Jangan cakap belok-belok. Dia tak suka. Straight to the point," kata sahabat saya di DBP, Saif yang turut terlibat dalam acara di sana tahun lalu. Maka di atas semangat itu rasanya perlu dicatatkan hal yang serius ini dengan terus-terang tanpa belok-belok.

Oleh kerana, PPSMI adalah satu dasar yang menjatuhkan maruah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan mencalarkan rupa paras jiwa Melayu sebagai bangsa yang diberi amanah untuk menegakkan maruah Islam di bumi merdeka ini, maka saya terpaksa tanya beliau secara terbuka begini.. iaitu bolehkah beliau terang-terang mengangkat isu PPSMI ini di Dewan Negara tanpa perlu takut dan gentar kepada Perdana Menteri?

Kalau perlu, rakan-rakan yang ingin memansuhkan PPSMI ini mungkin boleh membantu jika Dato' mendapat tekanan senator lain yang mempertahan PPSMI. Harap, akan berlaku dialog berterusan dengan Dato' selepas ini berhubung syor pemansuhan PPSMI di Dewan Negara. Maaf, saya dilatih berterus terang hasil “latihan” Dato' pada malam suram di Samarinda juga.

Kita telah lama melawan dan membantah PPSMI lewat puisi, memo dan demo baru-baru ini di ibu kota. Mahu juga mencuba pendekatan baru di Dewan Negara. Tetapi ... bolehkah Dato'?

7:31 p.m, 6 FebruariS
Sekolah Pemikiran Kg Baru

Tiada ulasan: