Samad Said Bimbang Bahasa Melayu Terkubur
Posted on Sunday, February 15 @ 14:25:49 MYT by Paktam
Oleh Dinsman
A. Samad Said menggunakan istilah "penguncup". Dr Mahathir itu penguncup bahasa Melayu. Dilanjutkan oleh Abdullah Ahmad Badawi, dan diteruskan oleh Hishamuddin, selaku Menteri Pelajaran. Mereka adalah penguncup bahasa Melayu.
Apa maksudnya "penguncup bahasa Melayu"? Datuk Hassan Ahmad yang menjelaskan. Katanya, kuncup itu seperti payung yang dikuncupkan, maka basahlah kita kalau hujan turun. Lawannya ialah kembang. Orang berusaha untuk mengembangkan bahasa Melayu. Dr Mahathir menguncupkannya. Abdullah Badawi dan Hishamuddin pula melanjutkan kerja jahat Dr. Mahathir itu.
Kata Samad Said, selepas kuncup, proses berikutnya ialah nazak, dan seterusnya ialah dikuburkan. Itulah proses yang sedang dilalui oleh bahasa Melayu sekarang. Dalam tempoh 50 tahun lagi, kalau dibiarkan, bahasa Melayu akan nazak dan terkubur. Lalu dia memberi ingatan kepada para wartawan yang hadir dalam sidang media itu:
“Dalam tempoh 50 tahun lagi, akhbar Utusan Malaysia pun tidak akan ada lagi, Berita Harian akan menjadi sisipan dalam akhbar New Straits Times, dan TV3 juga tidak akan ada lagi, (kalau sains dan matematik dibiarkan terus diajar dalam bahasa Inggeris seperti sekarang).”
Itulah, Samad Said menyatakan kebimbangannya sewaktu bersama-sama dengan Datuk Hassan Ahmad dan Prof. Shaharir Mohd Zain mengadakan siding media, bagi menjawab pelbagai pandangan salah dari pelbagai pihak terhadap usaha Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) mendesak kerajaan supaya sains dan matematik kembali diajar dalam bahasa Melayu; iaitu sejak GMP dilancarkan di dataran Sogo, Kuala Lumpur, 31 Januari lalu.
Sidang media itu diadakan di Rumah Pena (Persatuan Penulis Nasional), Kuala Lumpur, pada 12 Feberuari. (Terima kasih kepada pihak pimpinan Pena, terutama Ketua Satunya Baha Zain, kerana sudi menyokong usaha GMP, dengan mengizinkan tempatnya digunakan untuk siding media tersebut).
Sejak hadir memegang poster “Jangan Bunuh Bahasa Ibunda” di perhimpunan depan Sogo hari Sabtu itu, Samad Said terus aktif bersama-sama dengan Gerakan Mansuhkan PPSMI, tanpa sebarang keraguan lagi. Buat pertama kalinya pada 1 Februari dia hadir di atas pentas Markas Tarbiyah PAS, Taman Melewar, Gombak, walaupun terdengar suara-suara yang mengatakan dia akan diperalatkan oleh parti pembangkang.
“Sekarang ini kita memerlukan orang yang menyokong perjuangan kita untuk memelihara bahasa Melayu,” katanya. Kerana PAS menyokong perjuangannya, maka dia pun sanggup pergi ke markas PAS.
Dan selepas ini pada 22 Februari, Samad Said akan tampil membaca puisi di pentas GMP bersama-sama dengan tokoh-tokoh politik PAS dan PKR di Kulai, Johor.
Selepas itu pada 25 Februari di pentas yang serupa di Kota Bharu, dan pada 26 Februari di Kuala Terengganu.
Sebelum itu, pada 17 Februari dia bersama dengan Datuk Hassan (Pengerusi GMP) dan para penyokong GMP, pergi ke Parlimen untuk menyerahkan memorandum kepada pihak pimpinan tertinggi kerajaan dan juga pimpinan tertinggi pembangkang, di Parlimen.
Dia bukan tidak sedar atau tidak mengetahui risiko tindakan pihak polis terhadap langkah beraninya itu. Dia sedar dan tahu semuanya itu. Tetapi dia nampaknya telah nekad dengan perjuangan ini.
Namun di sana masih terdapat ramai penulis yang takut dilihat bersama-sama dengan orang-orang dari parti PAS, PKR dan DAP. Takut dikatakan mereka diperalatkan oleh parti-parti politik "pembangkang" berkenaan. Sedangkan mengikut Samad Said, pada masa ini bukan orang-orang politik itu yang lebih memerlukan golongan penulis, sebaliknya para penulis, budayawan dan senimanlah yang lebih memerlukan kepada bantuan orang-orang politik, untuk menyelamatkan bahasa Melayu.
Betul! Tetapi sedihnya masih tidak ramai penulis, budayawan dan seniman yang sedar akan perkara ini. Takut mereka pada kata-kata “diperalatkan” itu umpama anak-anak yang takutkan hantu. Takut tanpa mengetahui sebab, alasan dan hakikat sebenar. Hinggakan keperluan sendiri pun mereka tidak kenal, orang yang dapat membantu mereka pun mereka tidak kenal. Mereka hanya tahu takut sahaja.
Demikianlah maka pelawaan saya melalui ruangan ini (beberapa keluaran lalu) hanya disambut oleh beberapa orang kawan-kawan penulis dari Pulau Pinang, Kuala Rompin dan Perlis sahaja.
Di Pulau Pinang, Ketua Satu Persatuan Penulis Pulau Pinang (2PNP), Anwar Asmadi telahpun berusaha bersama dengan kawan-kawan di Permatang Pauh, bagi mengadakan majlis ceramah dan baca puisi bertemakan "Mansuh PPSMI", pada 5 Mac ini, (dua hari sebelum tarikh perhimpunan 100 ribu pada 7 Mac di hadapan Istana Negara, Kuala Lumpur), bertempat di sebuah masjid yang dikenali sebagai Masjid Batu.
Ini cukup menarik, kerana penglibatan pihak masjid dalam urusan perjuangan bahasa. Bukti bahawa dalam hal ini pejuang-pejuang bahasa yang terlibat ini bukannya hendak bermain politik, tetapi seperti yang selalu ditekankan oleh Datuk Hassan: “Sesiapa sahaja yang menyokong usaha dan perjuangan kita, kita terima. Kalau ada pemimpin Umno yang hendak menyokong kita, pun kita terima.”
Di Perlis pula, penganjurnya ialah Gabungan Ilmuan Prihatin (GIP). Mereka akan mengadakannya pada 19 Februari, bertempat di MADI, Arau. Manakala di Pahang mereka memilih Pekan sebagai tempat untuk menyebarkan penerangan kepada rakyat. Tarikhnya pada 21 Februari.
Di Kuala Lumpur, penganjurnya ialah Biro Pendidikan PAS Pusat, yang diketuai oleh Ustaz Abu Bakar Chik. Tarikhnya 23 Februari, dan tempatnya di Dewan Perhimpunan China Selangor. Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang dijangka hadir.
Manakala di Selangor, PKR Bahagian Kelana Jaya mengambil inisiatif menjadi penganjur. Tarikhnya 24 Februari, bertempat di Dewan Komplek Sukan PKNS Kelana Jaya. Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim dijangka akan turun bersama rakyat.
(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 0136362408)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan