Ahad, 8 Februari 2009

Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) Kesal Kenyataan Kesatuan Guru

Kenyataan Media Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), 31 Disember 2008

PLM kesal dan dukacita apabila pimpinan kesatuan guru sendiri kelihatan kabur atau keliru dengan isu PPSMI ini apabila menyokong hanya untuk kembali di peringkat sekolah rendah dan tidak sedar bahawa di peringkat menengah dan peringkat lebih tinggi mata pelajaran berunsur sains dan teknologi lebih banyak tersedia “untuk menghancurkan” bahasa Melayu, bahasa kebangsaan dan bahasa penghantar utama negara ini sebagai bahasa sains dan teknologi.

Sepatutnya pimpinan kesatuan lebih bijak dan berani untuk mempertahankan bahasa kebangsaan negara ini (bukannya mempertahankan bahasa negara lain) sebagai bahasa sains dan teknologi seperti status sebelum tahun 2003.

Kabur rupanya pandangan mereka. Tidakkah mereka sedar bahawa semasa berubah kepada PPSMI dahulu, bukan dua mata pelajaran di sekolah rendah sahaja ditukar ke bahasa Inggeris tetapi dua mata pelajaran di sekolah rendah (Sains dan Matematik), lebih daripada lima mata pelajaran di sekolah menengah (matematik, matematik tambahan, fizik, kimia, biologi dan sebenarnya berpuluh-puluh lagi mata pelajaran berunsur sains dan teknikal) dan jika diteliti, beratus-ratus malah menjangkau beribu mata pelajaran dan ratusan fakulti di dua puluh universiti awam negara ini.

Bahasa Melayu telah hancur dan secara serta-merta. Pelajarnya hancur beransur-ansur.
Pimpinan kesatuan dan ahli yang bijak pandai sepatutnya sedar tentang “kehancuran” tersebut dan perbezaan antara keperluan dan usaha untuk menguasai bahasa Inggeris khususnya dengan usaha untuk memandaikan dan menyebar ilmu sains dan teknologi kepada rakyat terbanyak dengan bahasa kebangsaan negara ini yang lebih dikuasai dan dihayati oleh rakyat terbanyak semua bangsa di seluruh negara, bandar, desa dan pedalaman. Malah pelajar berbangsa Cina dan India banyak yang cemerlang di sekolah dan universiti selama kira-kira 30 tahun sebelum PPSMI dahulu (1970-2002).

Tertutupkah mata hati tuan-tuan dengan kajian-kajian yang lebih “jujur” yang antaranya oleh mantan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (TKPPM) sendiri di samping pandangan para pemimpin dan pakar pendidikan. Mereka termasuklah tokoh seperti mantan Menteri Pendidikan Tun Haji Abdul Rahman Ya'kub, dua orang mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dato' Dr. Hassan Ahmad dan Dato' A. Aziz Deraman, mantan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP Dato' Hj. Abd. Rahim Bakar, dua orang mantan Timbalan Ketua Pengarah DBP Dato' Baharuddin Zainal dan Dato' Dr. Nik Safiah Karim, mantan Naib Canselor UTM Tan Sri Ainuddin Wahid, mantan Naib Canselor UM Prof. Diraja Ungku Aziz, mantan Pengerusi Bernama Prof. Dato' Abu Bakar Hamid, dan mantan Pengarah Jabatan Bahasa DBP Prof. Dr. Haji Awang Sariyan.

Dalam senarai ini termasuk juga para profesor, iaitu Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan, Prof. Dr. Shahrir Mohammad Zain, Pakar Fizik Prof. Mohd. Yusoff Othman. Malah beberapa mantan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM) dan Timbalan KPPM sendiri (Dato' Dr. Shukur, Dato' Omar Hashim, Dato' Abdul Raof Husain dan lain-lain) dan mantan Ketua Setiausaha Negara Tun Ahmad Sarji yang mempengerusikan “4 meja bulat” turut menolak PPSMI.

Ribuan pendidik di sekolah rendah dan menengah yang juga sebenarnya menolak walaupun secara “diam”. Tanyalah mereka selepas lama beramah-mesra, bukan jumpa sahaja terus bertanya.

Sebenarnya berbincang isu PPSMI ini dan meja bulat ini umpama perbincangan “Penyamun Tarbus” dalam filem P. Ramlee sama ada mahu terus merompak atau tidak. Tak perlu berbincang sebenarnya. Berhenti sahaja merompak kerana merompak itu menyalahi undang-undang.

PLM katakan begitu kerana PPSMI itu bercanggah dengan tiga undang-undang besar negara: Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta Pendidikan dan Akta Bahasa Kebangsaan. Jadi hentikan sahaja.

Kita mahu warganegara termasuk pelajar mematuhi Rukun Negara. Ironinya perbuatan tersebut juga bercanggah lagi dengan Rukun Negara ke-3 dan ke-4 (Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang).

Terang-terang peraturan dan undang-undang dilanggar. Rajin-rajinlah pimpinan kesatuan guru dan pimpinan negara ini, bapak menteri merujuk dengan ikhlas akan badan berautoriti tentang bahasa di negara ini iaitu DBP. Tak hilang bisa ular yang menyusur akar. Malah tuan-tuan semua akan lebih disanjung tinggi daripada menjadi perumpamaan Melayu “bijak tak boleh diikut, dungu tak boleh diajar”.

Segala hujah intelektual, hujah akademik, hujah ilmiah telahpun dikemukakan sejak seawal tahun 1996 lagi melalui bermacam-macam seminar, kongres, kolokium, dialog, memorandum, resolusi dan segala buku dan terbitan PLM, PLM dan DBP, PPM dll. yang antaranya ialah:

1. Manifesto Budaya, Pupus Bahasa Pupuslah Bangsa, Asraf, 1996: PLM, 385 hlm.

2. Siri Bicara Bahasa Bil. 1 hingga 20, 2001-2004: PLM dan DBP, 437 hlm.

3. Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu I-VI, 1952-2002, Abdullah Hassan, 2007: PPM, 874 hlm.

4. Kemerdekaan dan Perhambaan, Zainal Kling: GAPENA, 2008, 285 hlm.

5. Keranda 152: Bahasa Kita, Air Mata dan Maruah Kita, PLM: 2002, 108 hlm.

6. Suara Pejuang Bahasa, PLM: 2005, 282 hlm.

7. Bahasa Melayu Apa Sudah Jadi, Kamal Shukri, 2007, 231 hlm.

8. Mengapa Kami Bantah Penggunaan Bahasa Inggeris bagi Mengajarkan Sains dan Matematik, PPM, 2007:155 hlm.

Jumlah halaman = 2757 hlm.

Jumlah 2757 halaman yang nilainya tidak ternilai walaupun dengan 1000 meja bulat.

Seterusnya teras PIPP ke-4 pun kecundang kerana usaha merapatkan jurang pendidikan antara pelajar luar bandar dengan bandar pada hakikatnya akan terus melebar jauh, bukannya semakin rapat dan rakyat akan kembali terkelas kepada dua golongan.

Sebenarnya PPSMI bukanlah isu, keputusan UPSR baru-baru ini bukan isu, malah keputusan PMR dan SPM juga bukan isu. Isunya lebih daripada isu UPSR, PMR dan SPM.

Isunya yang paling dasar, besar dan utama ialah bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi, sains dan teknologi, bahasa tamadun ilmu dihancurkan dan dimusnahkan secara sistematik.

Jadi jika disebut/ditanya/bertanya “kita nak meneruskan PPSMI atau tidak. Pada hakikat/makrifat dan ayat sebenarnya ialah “kita nak meneruskan usaha menghancurkan, tegasnya “membunuh” bahasa Melayu, bahasa kebangsaan, bahasa rasmi negara Malaysia sebagai bahasa sains dan teknologi, bahasa tamadun tinggi atau tidak?”

Ini sudah amat jelas lagi nyata, sudah terang lagi bersuluh dan tidak perlulah lagi sesiapapun cuba menegakkan benang yang basah kerana: 100 -100 = 0 atau 1000 – 1000 = 0.

Jika dahulu sebelum tahun 2003 (1970-2002 , kira-kira 30 tahun) 100 atau 1000 mata pelajaran berunsur sains dan matematik diajar dalam bahasa Melayu, tiba-tiba selepas 2003, 100 atau 1000 mata pelajaran berkaitan diajar dalam bahasa Inggeris, apa lagi yang boleh kita katakan selain ayat berikut: 100 atau 1000 mata pelajaran berbahasa Melayu telah dihancurkan atau “dibunuh”.

Berbanggakah kita bahasa Melayu hanya memadai sebagai bahasa perbualan (seperti “berbangganya” mantan PM Tun Dr. Mahathir) bahawa cukuplah bahasa Melayu mengajar mata pelajaran seadanya saja selain sains matematik.

Kita kononnya mahu jadi bangsa bermaruah dan bermartabat tinggi tetapi untuk menyebar ilmu bahasa asing pula digunakan sedangkan bahasa kebangsaan telah terbukti berupaya “memandaikan” anak bangsa dan warga Malaysia selama 30 - 40 tahun semasa digunakan dahulu dalam sistem pendidikan kebangsaan yang landasannya telah diletak dengan cukup baik oleh Allahyarham Tun Abdul Razak (1970-2002).

Tiba-tiba kini yang sudah baik itu yang sepatutnya ditambah baik tetapi dihancurkan pula semahunya. Benakkah kita, butakah kita semua tentang fakta sejarah yang baru saja kita lalui dan segala usaha “kos intelektual” dan kos wang jutaan ringgit bagi memperkasa bahasa Melayu, korpus, istilah dan segala macam oleh DBP, MABBIM, kejayaan UKM dan sebagainya untuk dimusnahkan begitu sahaja.

Itu belum lagi kita telusuri sejarah silam keagungan ilmu dan pemakaian bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan diplomasi antarabangsa sehingga ke benua Eropah. Sejarah bukan untuk nostalgia dan renungan kosong. Iktibar dan pengajaran perlu diambil daripadanya.

Tidak ada tamadun besar dunia dan bangsa yang maju, memandaikan bangsanya dengan bahasa orang lain. Lihatlah bangsa Inggeris sendiri, Arab, Perancis, China, Rusia, Jerman, Sepanyol berbanding dengan Filipina dan negara-negara Afrika jajahan British dan Perancis yang berpuluh-puluh malah beratus tahun menggunakan bahasa orang lain untuk “memandaikan” anak bangsanya, tetapi hanya berjaya mengekalkan negaranya dalam keadaan mundur dan miskin.

Jika bahasa Inggeris adalah satu-satunya bahasa yang mutlak di dunia ini sebagai bahasa sains dan teknologi, bahasa sihir ajaib dan sakti untuk memajukan mana-mana bangsa, maka Somalia, Senegal, Botswana, Swaziland, Tonga, Vanuatu dan Filipina sudah lama mendarat di Marikh atau Musytari kalaupun tidak di matahari.

Kami dan mereka sentiasa mengalu-alukan usaha memperkasa penguasaan bahasa Inggeris dan bahasa lain dengan kaedah yang betul tetapi menentang sekeras-kerasnya usaha sistematik yang berupaya menghancurkan bahasa Melayu sebagai bahasa sains dan teknologi, bahasa tamadun ilmu.

Kami tidak mahu “yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran” dan faedah perlu dikecapi oleh majoriti pelajar dan bukannya segelintir kerana di mana-mana memang ada peratus kecil yang akan menguasai apa sahaja dan dalam bahasa apa pun. Kepentingan majoriti dan agenda kebangsaan negara ini berteraskan antaranya bahasa kebangsaan perlu menjadi keutamaan pada setiap masa.

Akhir sekali pertama, ini bukan soal emosi. Ini persoalan jati diri dan maruah bahasa, bangsa dan negara. Kita sebenarnya telah berupaya memandaikan warga Malaysia dengan bahasa kebangsaan sendiri. Antaranya, UKM sebagai bukti.

Kita perlu jadi “diri sendiri” bukannya jadi bangsa “umang-umang”. Bahasa berkait rapat dengan roh dan jati diri, budaya dan pemikiran. Bahasa yang digunakan pada peringkat tinggi menggambarkan ketinggian akal budi, budaya dan pemikiran serta jati diri bangsa.

Jikalau bahasa Melayu digunakan sekadar mengajar sejemput mata pelajaran atau hanya sains matematik di sekolah rendah sahaja, tetapi berpuluh, beratus mata pelajaran di sekolah menengah dan universiti digunakan bahasa asing, jadilah kita semua bangsa “umang-umang” yang tidak pernah ada rumah sendiri dan tidak pernah berasa akan keperluan untuk berumah sendiri sehingga ke hari kiamat atau rumah yang ada pun diruntuhkan!

Kedua, ya, memang kami emosi tapi bukan emosi melulu, emosi yang rasional. Kepentingan emosi jelas apabila kita berbicara tentang “JERI”, kecerdasan emosi dan seumpamanya.

Kita katakan yang kita mahu lahirkan warga yang patriotik. Apa “patriotik” itu? Antaranya ialah rasa cinta akan negara dan unsur yang membentuk jati diri dan citra negaranya termasuk bahasa.

Kami ingin bertanya: Si ASIMO yang kononnya “mahabijak” itu cintakah negara Jepun. Negara Jepun pun ASIMO tak tahu. Apa makna cinta pun ASIMO tak tahu. Sebabnya dia walaupun bijak hanyalah “seekor” robot tanpa perasaan dan emosi. Adakah kita mahu melahirkan jutaan warga seperti robot ASIMO? Justeru kita perlu ada emosi dan perasaan, tetapi yang rasional.

Siapakah yang tidak rasional sebenarnya? Antara mereka yang yakin dan mahu memajukan bangsa dan negaranya dengan bahasa sendiri yang sudah terbukti mampu ATAU mereka yang sudah kehilangan akal pertimbangan dan bukan sahaja tidak mahu percaya bahawa bahasa sendiri berupaya memandaikan warganya, malah sanggup “membunuh” bahasa sendiri tanpa sedikit pun rasa bersalah.

Kebetulan PPSMI sebenarnya, pada hakikatnya gagal. Jika PPSMI berjaya pun ada satu kejayaannya iaitu berjaya menghancurkan peranan bahasa kebangsaan sebagai bahasa sains dan teknologi.

Ingatlah negara kita ini Malaysia, bukan England, Amerika, India, Taiwan, Singapura, Hong Kong, Jepun atau Korea. Jati diri dan citranya berbeza. Bangsa yang bijak dan bertamadun tidak membuang bahasanya.

Mahukah kita menjadi bangsa yang sanggup menghancurkan, menggagalkan dan mengkhianati bahasa sendiri dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa tamadun sains dan teknologi akibat kehilangan akal budi dan pertimbangan yang rasional kerana mengejar pelangi?

Jika pelajaran sejarah yang bermasalah, “bedahlah” guru sejarah, pelajar yang ponteng kelas sejarah, sukatan pelajaran sejarah, bahan bantu mengajar sejarah, janganlah guru geografi atau guru lukisan pula yang “dibelasah”. Janganlah tersasul macam P. Ramlee yang luka kaki kanan tapi kaki kiri pula yang dibalut seperti dalam filem “Madu 3”.

Kamal Shukri Abdullah Sani
Timbalan Presiden
Persatuan Linguistik Malaysia (PLM)
(012-2002811)

Tiada ulasan: