Rabu, 18 Februari 2009

PPSMI: Suatu Malam di Rumah Gapena

Ali Bukhari Amir, Harakahdaily, Sat Feb 14, 09 11:59:24 pm MYT

Ketika mengarang ini, saya baru pulang dari Rumah Gapena kerana menghadiri acara baca puisi sempena membantah dan memansuhkan PPSMI. Petang tadi, En Razali Endun mengajak saya ke sana. Jadi, saya cuma mengikut sahaja panduan.

Dato' Zainal Abidin Borhan di dalam ucapan aluannya berkata, bahawa antara tujuan kenapa tarikh 15 Februari dipilih sebagai tarikh gerakan besar-besaran itu bermula adalah kerana tarikh itu mewakili angka Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan.

"Tarikh ini adalah lambang kepada semangat untuk memperjuang fasal 152. Sebab itulah, kami pernah bergurau dengan Dewan Perniagaan Melayu baru-baru ini, adakah badan itu mahu menjadikan 15 Mac sebagai tarikh memperjuang Fasal 153 pula?" kata beliau.

Beberapa orang penyair lama telah mendeklamasikan sajak-sajak mereka dengan ucaspan liar berkobar-kobar. Antara mereka itu, Rejab F. I, pelakon Khalid Salleh, pengarah filem Mat London, Rahimidin Zahari, Sutung Umar RS termasuk beberapa orang lagi yang tak dapat ditulis di sini.

Mesyuarat sejak 4 petang tadiMereka bermesyuarat sejak petang tadi, jam 4 petang kerana mahu memutuskan beberapa perkara yang tidak dapat dipastikan lagi. Apa pun, acara pada keesokan paginya bermula dengan ceramah perlembagaan oleh Tan Sri Abdul Aziz diikuti dengan laporan polis.

Mungkin Gapena benar-benar mahu buktikan kepada orang ramai bahawa mereka serius, bulat, dan tekad dengan ketetapan lalu, iaitu mereka mahu menyaman pihak kerajaan.

"Kalau betul Gapena nak saman kerajaan, saya rasa kita terlupa satu perkara yang penting juga. Iaitu dalam kad pengenalan, tak ditulis bangsa Melayu," kata Khalid Salleh sebelum membacakan puisinya yang panjang.

"Kita tahu bahawa hidup mati sesuatu bangsa itu mesti ada perang dan 'fight'. Di Palestin, ada 'fight' untuk teruskan hidup mereka," kata Khalid lagi. "Tapi, bangsa Melayu kita dah mati tanpa ada sebarang 'fight'. "

Mat London atau nama penuhnya Ahmad Ibrahim sebelum membacakan gurindam yang dipuisikan, berkata bahawa pada malam ini, beliau benar-benar berasakan bahawa beliau berada di tengah-tengah masyarakat Melayu.

"Melayu bukan sekadar hidung, mata dan luarannya. Malah Melayu itu melibatkan aspek dalamannya," kata beliau. Sejauhmana golongan pelakon dan pengarah ini dapat luahkan daya kreativiti mereka lewat filem, lakonan dan skrip, hal itu masih belum teruji.

Namun, saya pernah melihat suatu babak dalam filem Sesudah Subuh, arahan P. Ramlee pada 1966 yang menyelitkan beberapa dialog berhubung betapa perlunya bangsa majmuk ini menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan melalui percakapan seharian mereka. Sekitar 1960-an, seruan mengenai bahasa itu memang jelas kedengaran.

Sanggahan liarSebagai biasa, pertemuan penyair-penyair ini memang tidak sah jika tidak dihiasi dengan riuh-rendah berhubung kepenggunaan ungkapan-ungkapan kata-kata kesat terhadap pihak yang mempertahan PPSMI, khasnya bagi pihak penguasa.

Babi, setan, pemimpin hari ini adalah Melayu Yahudi Zionis dan pelbagai ungkapan lagi. Alangkah 'indahnya' jika semua paparan ucapan kata-kata itu dirangkumkan semuanya di dalam YouTube untuk tatapan khalayak umum.

Takdirnya.. jika terjadi 'chaos' dengan sebab ucapan itu, barulah kisah-kisah pertentangan dan usaha pemansuhan PPSMI ini akan menjadi lebih meriah dan dramatik!

Maka, firman Tuhan ke atas Nabi Musa ketika mahu berdepan dengan Firaun, "Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan perkataan yang lemah-lembut, semoga dia ingat atau takut." --- (Taha, ayat 44)

Mahathir pun sedar PPSMI suatu kesilapan?Tapi, apa yang lebih menarik perhatian saya ialah kenyataan seorang teman mengenai hal ucapan Tun Dr Mahathir di Rumah Gapena itu berhubung isu PPSMI itu. Tarikhnya tidak dapat dipastikan lagi kesahihannya. Barangkali ucapan itu berlaku dalam Disember.

"Tidak dapat nak pastikan tarikhnya. Mungkin Gapena masih simpan pita rakaman suara yang boleh awak rujuk," kata seorang teman yang baru saya kenal baru-baru ini.

"Apa Tun Mahathir cakap?" tanya saya kembali, meminta penjelasan.

"Yang saya tahu, Tun Mahathir pun kata dia sedar bahawa dasar PPSMI yang dia buat itu tak betul. Tapi, oleh kerana dah dibuat..jadi dia (Tun Mahathir) kata teruskan sajalah. Tak payah hentikan," kata beliau.

Sementara itu, ada riwayat yang menyebutkan bahawa PPSMI tak dapat dihentikan sebab peruntukan untuk mencetak buku teks dan segala kelengkapannya telah disiapkan.

Apakah benar Tun Mahathir pernah ungkapkan hal kesilapannya dalam PPSMI itu? Jika ada, tentulah Gapena akan mendedahkan hal tersebut. Teka-teki ini belum terjawab.

Jikalau Tun Mahathir pernah dedahkan bahawa sikapnya memecat dan membuang Anwar itu adalah batil, maka tidak mustahil beliau pernah mengungkapkan hal yang sama. Iaitu, kemungkinan beliau mengakui kesilapannya selama ini berhubung isu PPSMI.

Manalah tahu. Tetapi hal ini boleh disiasat dengan lebih lanjut jika ada pita rakaman yang boleh mengesahkan hal yang berkenaan. Apa-apa pun, terpulang kepada semua
"Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat-benar (dalam segala perkara)" --- al-Ahzab, ayat 70.

http://bmppsmi.blogspot.com

11:45 p.m, 14 Februari Sekolah Pemikiran Kg Baru _

Tiada ulasan: