Apa yang Baik Bagi Negara Kita
Oleh Dato' Baha Zain, Desa Kota, 4 Mac 2009
Alhamdulillah telefon dan internet saya kembali berdenyut setelah seminggu membisu. Hampir setiap pagi dan petang saya mengadu ke pejabat telekom sehingga timbul anggapan buruk dalam hati saya: kalau-kalau sengaja dibisukan.
Untuk menenangkan kerusuhan perasaan, saya berfikir dalam hati bahawa memang Malaysia sekarang berada dalam zaman kacau: ekonomi, politik, alam, dan malah bahasa pun kacau. Jadi tak mustahil komunikasi juga boleh kacau.
Kalau tidak, takkanlah sampai ahli-ahli YB Adun Perak sampai kena cari pokok untuk bermesyuarat dan membuat resolusi. Inilah akibat adanya dua tokoh (masing-masing mengaku dia betul ) dalam satu negeri.
Betul sungguh apa yang dikatakan oleh peribahasa Melayu lama: "Seperti dua nakhoda dalam satu kapal; tak sehaluan." Masing-masing kata dia betul. Kalau dua-dua salah, tak mungkin ada yang betul. Jadi salah seorang mesti salah.
Belum lagi Perak jernih, Kuala Lumpur mungkin keruh pula kalau pihak polis halang atau tembak air berkimia kepada rombongan yang hendak menyerahkan memorandum basmikan PPSMI pada Sabtu 7 Mac lusa ke Istana Agong.
Janganlah sampai macam itu. DYMM Agong pun sudah bersetuju wakilnya menerima memorandum tersebut. Kalau polis tak beri permit memanglah rombongan yang berjalan ke istana itu dianggap melanggar undang-undang. Ia harus ditafsirkan sebagai hendak menegakkan undang-undang dan perlembagaan kerana mereka hendak membela nasib bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.
Mengikut ucapan Ketua Polis Kuala Lumpur dalam TV malam ini , perarakan itu ada campur tangan parti politik PAS dan PKR. Bagaimana kalau UMNO turut serta? Saya harap UMNO juga turut sekali bagi membersihkan tangapan negatif terhadap peristiwa itu pada Sabtu ini.
Semoga pihak polis akan bertindak baik dan bijaksana, dan tidak berkasar atau ganas kepada ahli-ahli bahasa, pengarang dan budayawan yang selalu mencintai kedamaian dalam kebebasannya bersuara.
Lagi pun mereka tak dilatih untuk melawan dengan alat senjata, atau dengan kemahiran mempertahankan diri. Apalah mereka sangat.Mereka hanya menzahirkan hasrat dan kesetiaan yang tak berbelah bagi kepada bahasa negaranya. Bahasa kita bersama. Bahasa anak-anak kita. Mereka bukan memperjuangkan bahasa asing."
APA YANG BAIK BAGI BAHASA,
ADALAH BAIK UNTUK BANGSA;
APA YANG BAIK BAGI BANGSA,
ADALAH BAIK UNTUK BAHASA".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan