Berita Harian, 5 Mac 2009
KUALA LUMPUR: Polis tidak akan bertolak ansur dengan pihak yang masih berdegil untuk meneruskan perhimpunan di hadapan Istana Negara Sabtu ini, kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman.
Katanya, polis tidak akan berkompromi dengan pihak yang menganjur dan membabitkan diri dalam perhimpunan tanpa permit yang boleh menggugat ketenteraman awam.
"Kita telah memberi amaran berkali-kali sebelum ini bahawa tindakan tegasakan diambil terhadap penganjuran perhimpunan sebegini, namun masih ada segelintir penganjur yang berdegil," katanya.
Beliau berkata, polis sudah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan tersebut dengan menempatkan anggota polis di beberapa kawasan sekitar Istana.
"Kita tengok pada situasi yang akan berlaku pada hari itu dan mengambil tindakan jika keadaan di luar kawalan," katanya.
Semalam, Pengerusi Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) Datuk Dr Hassan Ahmad, berkata perhimpunan yang akan diadakan di depan Istana Negara tetap akan diadakan walaupun tanpa permit polis. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan