Jumaat, 30 Mac 2012

Pernyataan Akhbar GMP 22 Oktober 2011

Bil. 3/2011, 31 Oktober 2011

GMP (Gerakan Memansuhkan PPSMI) yang dianggotai oleh 148 persatuan/kumpulan kerabatnya menyatakan terima kasih buat kesekian kalinya atas keprihatinan kerajaan mendengar rintihan kami yang mewakili rakyat terbanyak (yang diwakili oleh GMP) dengan menetapkan dasar bahasa yang baharu dalam pendidikan sekolah, iaitu memansuhkan PPSMI mulai 2011.

Baru dua tahun dasar baru ini berjalan kedengaran kembali golongan elitis yang amat minoriti dan memang penyokong PPSMI dahulu mendesak kerajaan mengubah dasar tersebut supaya mewujudkan kembali PPSMI sebagai pilihan rakyat kerana kononnya ramai rakyat mahu PPSMI diteruskan. Selain tinjauan pandangan awam oleh kumpulan minoriti itu, yang amat dipertikaikan kesahannya oleh GMP dan pelbagai pihak lain, pelbagai helah lain lagi diutarakan oleh kumpulan ini untuk mencapai hasrat menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama pembangunan pendidikan di negara ini (menggantikan bahasa Melayu, bahasa rasmi negara).

Baca lagi.

Khamis, 22 Mac 2012

Pendekatan Soft-Landing PPSMI

Oleh Official, Kementerian Pelajaran Malaysia, 8 November 2011.

Kenyataan Akhbar
YAB Tan Sri Dato’ Hj Muhyiddin Hj Mohd Yassin
Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Pelajaran
Mengenai Pelaksanaan Soft-Landing PPSMI

Kerajaan pada tahun 2009 telah mengambil keputusan untuk memansuhkan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan menggantikannya dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Dengan pemansuhan PPSMI, murid di sekolah rendah akan mengikuti pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia di Sekolah Kebangsaan, Bahasa Cina di SJKC dan Bahasa Tamil di SJKT. Manakala di sekolah menengah, Bahasa Malaysia akan digunakan sepenuhnya dalam pengajaran Matematik dan Sains.

Untuk membolehkan murid menyesuaikan diri dengan perubahan bahasa dalam tempoh peralihan dasar, Mesyuarat Jemaah Menteri pada bulan Julai 2009 juga telah membenarkan Kementerian Pelajaran melaksanakan pendekatan soft-landing.

Berdasarkan keputusan tersebut, Kementerian Pelajaran pada tahun 2010 telah menetapkan dasar MBMMBI dimulakan pada tahun 2011 di mana murid Tahun 1 pada tahun ini mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia sepenuhnya. Sebagai langkah intervensi untuk mempercepat proses peralihan daripada bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia di semua peringkat persekolahan, Kementerian juga memutuskan bermula tahun 2012, murid Tingkatan 1 akan mengikuti pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains dalam bahasa Malaysia sepenuhnya.

Walau bagaimanapun, peralihan kepada bahasa Malaysia pada Tingkatan 1 bermula tahun hadapan telah menimbulkan kerisauan ibu bapa kerana dibimbangi anak-anak mereka yang telah mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris selama enam tahun di sekolah rendah tidak dapat menyesuaikan diri dengan peralihan bahasa secara mendadak.

Setelah mengambil kira pandangan ibu bapa, kabinet pada hari ini memutuskan untuk membenarkan murid sekolah rendah kohort PPSMI untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris sepenuhnya, bahasa Malaysia sepenuhnya atau dalam kedua-dua bahasa apabila mereka memasuki Tingkatan 1 bermula tahun hadapan.

Ini bermakna semua murid kohort PPSMI yang mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris dibenar untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris sehingga tamat Tingkatan 5.

Perlu diperjelas di sini juga, murid Tahun 3 hingga Tahun 6 2012 dibenarkan untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris, bahasa Malaysia atau kedua-dua bahasa di sekolah kebangsaan; bahasa Inggeris, bahasa Cina atau kedua-dua bahasa di SJKC; dan bahasa Inggeris, bahasa Tamil atau kedua-dua bahasa di SJKT seperti yang diputuskan oleh jemaah Menteri pada bulan Julai 2009.

Bagi murid yang telah mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia atau dalam kedua-dua bahasa, mereka dibenar mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Malaysia sepenuhnya.

Dengan keputusan ini, pemansuhan PPSMI adalah kekal. Kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan semula PPSMI seperti yang dituntut oleh sesetengah pihak.

Bagaimanapun, kerajaan berharap keputusan yang membenarkan murid kohort PPSMI, iaitu murid Tahun 2 hingga Tingkatan 5 tahun ini untuk meneruskan pembelajaran dalam BI sehingga tamat tingkatan 5 dapat melegakan hati ibu bapa. Kerajaan yakin dengan keputusan ini pencapaian murid kohort PPSMI dalam peperiksaan UPSR, PMR dan SPM tidak akan terjejas.

Dengan pendekatan soft-landing ini, pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains di sekolah rendah akan dilaksanakan dalam bahasa Malaysia sepenuhnya pada tahun 2016. Manakala di sekolah menengah, penggunaan bahasa Malaysia sepenuhnya bagi kedua-dua mata pelajaran ini adalah pada tahun 2021.

Kajian Kementerian Pelajaran ke atas semua sekolah di bawah Kementerian menunjukkan bahawa kebanyakan sekolah telah melaksanakan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Malaysia.

Dapatan kajian menunjukkan, kurang 5 peratus daripada jumlah kelas di 7,495 buah sekolah rendah menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains. Manakala di peringkat sekolah menengah, kurang 9 peratus daripada jumlah kelas di 2,192 buah sekolah menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains. Berdasarkan dapatan ini, kebanyakan murid mengikuti pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains dalam bahasa Malaysia. Dapatan kajian ini membuktikan bahawa PPSMI tidak dapat dilaksanakan sepertimana yang dihasratkan.

Hasil kajian lapangan yang dijalankan oleh Kementerian dengan mengumpulkan maklumat melalui pemerhatian di dalam kelas, pengalaman guru dan amalan di bilik darjah serta temu bual murid-murid mendapati murid sukar memahami mata pelajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris. Murid mengambil masa yang lama untuk memahami konsep matematik dan sains kerana mereka tidak faham bahasa Inggeris. Ini memaksa guru-guru untuk mengajar dalam bahasa Malaysia supaya murid dapat memahami kedua-dua mata pelajaran tersebut. Masalah seperti ini bukan sahaja dialami oleh sekolah-sekolah di luar bandar, tetapi juga di bandar. Oleh hal yang demikian, sekiranya PPSMI diteruskan, sebahagian besar murid di negara kita tidak akan dapat menguasai ilmu matematik dan sains dengan baik dan mereka akan terus ketinggalan.

Pemansuhan PPSMI tidak bermakna kerajaan mengabaikan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris. Di bawah dasar MBMMBI, Kementerian sedang melaksanakan pelbagai inisiatif baru yang lebih efektif untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid.

Antara inisiatif tersebut ialah penambahan masa pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris, penambahbaikan kurikulum bahasa Inggeris di bawah pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), penyediaan guru, pengambilan penutur jati bagi meningkatkan kapasiti pensyarah dan guru Bahasa Inggeris, penyediaan bahan sokongan yang berkualiti seperti bahan bacaan tambahan dan bahan digital bagi menyokong pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

Kementerian Pelajaran juga sedang mengkaji beberapa inisiatif baru untuk dilaksanakan seperti program Oracy Skills (OPS-ENG) yang bertujuan untuk meningkatkan penguasaan lisan dalam kalangan murid, kelas berdasarkan Sistem Set, peningkatan kualiti dan kepelbagaian bahan pengajaran, pembangunan profesionalisme guru dan kecekapan pengurusan panitia bahasa Inggeris di sekolah.

Kerajaan berharap pemansuhan PPSMI dan pelaksanaan dasar MBMMBI dapat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, ilmu sains dan matematik di kalangan pelajar serta mendaulatkan bahasa kebangsaan.

Pejabat YAB Timbalan Perdana Menteri
4 November 2011
Sumber: https://www.facebook.com/note.php?note_id=306975049312877

Rabu, 21 Mac 2012

Penyokong PPSMI Tidak Kehilangan Sesiapa

Hilangnya Pejuang Bahasa Melayu
Oleh Ku Seman Ku Hussain, Arkib Utusan Online, 4 September 2009

KEPADA pejuang bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan nasional, tidak usahlah menganggap kepulangan pejuang bahasa Melayu, Datuk Hassan Ahmad satu "kehilangan" kepada bangsa dan negara. Mereka tidak kehilangan apa-apa.

Bahasa Melayu Dibongsaikan untuk Ditalkinkan?

Bahasa Melayu Menjelang 2021: Membina Persepsi dan Realiti
Oleh Profesor Dr. Sohaimi Abdul Aziz
Presiden Persatuan Karyawan Pulau Pinang.
Detik Daily, 14 November 2011

Sebelum 4 Nov 2011, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin nampak begitu tegas untuk menghapuskan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik di dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Semenjak Julai 2009, TPM telah mengisytiharkan PPSMI akan ditamatkan pada 2012. Ekoran itu, pelbagai reaksi positif dan negatif terhadap kenyataan TPM ini.

Selasa, 20 Mac 2012

Mansuh Terus PPSMI! - TERAS


TERAS Tuntut Kerajaan Mansuh Terus PPSMI, Bukan Ubah SuaiOleh Mohd Farhan Darwis, The Malaysian Insider, 14 March 2012

KUALA LUMPUR, 14 Mac — Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) hari ini sekali lagi menuntut kerajaan memansuhkan dengan serta-merta pelaksanaan Pelajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik melalui bahasa Inggeris (PPSMI), dan bukannya melakukan pengubahsuaian terhadap sistem berkenaan.

Rabu, 14 Mac 2012

Perhimpunan Pagoh April 2012


Kuala Lumpur, 10 Mac 2012

Himpunan Desak Mansuh Segera PPSMI April Depan
Anis Nazri, Harakahdaily, 10 Mac 2012

KUALA LUMPUR, 10 Mac: Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) akan menggerakkan satu himpunan rakyat bagi mendesak kerajaan menyegerakan pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Himpunan yang dirangka pada awal April itu akan diadakan di Pagoh, Johor sebagai langkah awal menggerakkan semula bantahan berhubung dasar tersebut.

Resolusi Kongres di UPSI 2002

KONGRES BAHASA DAN PERSURATAN MELAYU KE-VI
Dewan Tun Abdul Razak, Tanjung Malim, Perak.
5 September 2002

Resolusi Kongres
Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-VI yang bersidang di Dewan Tun Abdul Razak, Tanjung Malim, Perak Darul Ridzuan, pada 5 September 2002, dan dihadiri oleh 500 pejuang dan pencinta bahasa Melayu, bersetuju dengan tujuan kerajaan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Walau bagaimanapun, Kongres melahirkan kebimbangan yang amat besar terhadap langkah kerajaan menukar bahasa pengantar mata pelajaran matematik dan sains daipada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris. Langkah tersebut akan menghentikan perkembangan sihat ilmu dan teknologi dalam bahasa Melayu, dan membawa kesan negatif kepada khususnya anak-anak Melayu luar bandar dan mereka daripada golongan yang tidak berada;

MAKA Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-VI mengusulkan, supaya:

1. Kerajaan mengekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi mata pelajaran sains dan matematik dalam sistem pendidikan negara;

2. Kementerian Pendidikan Malaysia menubuhkan jawatankuasa khas untuk mencari langkah-langkah yang berkesan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar dengan tidak menjejaskan kedudukan dan fungsi bahasa Melayu; dan

3. Pihak penaja Kongres segera mengambil langkah sewajarnya menemui Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad untuk menyampaikan resolusi Kongres.

Dewan Tun Abdul Razak,Tanjung Malim,
Perak Darul Ridzuan,
5 September 2002

Kongres ini dihalang daripada diadakan di Dewan SITC, UPSI oleh Timbalan Naib Canselor Akademiknya pada masa itu. Walau bagaimanapun, pihak berkuasa Tempatan dan Polis memberi kebenaran ia diadakan di Dewan Tun Razak, di luar pagar UPSI.