Catatan Mohd Isa bin Abd Razak tentang PPSMI, 005, 13 Januari 2009
Oleh Mohd Isa bin Abd Razak, 13 Januari 2009, http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/
Pendidikan di sekolah rendah hendaklah menggunakan bahasa ibunda. Inilah pendapat Pengerusi Majlis Permuafakatan Kesatuan/Persatuan Guru Kementerian Pelajaran Malaysia, Tuan Jamale Paiman.
Pendapat Tuan Jamale Paiman disiarkan oleh sebuah media atas talian seperti yang dilampirkan di bawah.
Pendapat Tuan Jamale betul. Sayang, betulnya cuma suku. Pendapat keseluruhannya betul ialah bahasa ibunda berkesan digunakan untuk menyampaikan ilmu di semua peringkat pendidikan, iaitu dari sekolah rendah hingga ke peringkat universiti.
Pendapat yang keseluruhannya betul seperti di atas menjadi pegangan negara maju. Sekadar contoh, pendapat ini menjadi pegangan dan amalan negara Jepun, Jerman, China, Korea, Taiwan, Finland, Sweden, Norway, Denmark, dan Belgium. Malah England sendiri menukar bahasa asing (Latin) dan menggunakan bahasa Inggeris untuk menyampaikan ilmu kepada rakyatnya.
Kerajaan kita berpegang pada pendapat ini sejak merdeka. Kerajaan kita mengamalkan pendapat ini hingga tahun 2002. Amalan dasar ini menyebabkan pendidikan kita menjadi cemerlang, gemilang dan terbilang. Ribuan cerdik pandai, termasuk dalam bidang sains dan matematik, lahir daripada amalan dasar ini. Beberapa banyak antara mereka mempunyai kepakaran yang sangat tinggi dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Namun, pada tahun 2003 pegangan kerajaan kita terhadap pendapat ini mula goyah. Asal mulanya, pada tahun 2001 dan beberapa tahun sebelumnya kerajaan kita mendapati pelajar kita lemah dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris. Untuk mengatasi kelemahan itu, Perdana Menteri pada masa itu mengarahkan mata pelajaran Sains dan Matematik diajarkan dalam bahasa Inggeris.
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) akur dengan arahan itu. KPM membuat dasar Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan mengeluarkan pekeliling untuk melaksanakannya. Maka pada tahun 2003 dilaksanakanlah PPSMI.
Banyak cerdik pandai kita menentang dasar itu. Dapat dirumuskan, tiga sebab utama mereka menentang dasar itu.
Yang pertama, dasar itu silap kerana kelemahan bahasa Inggeris cuba diatasi dengan mengajarkan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Ringkasnya, KPM salah rawat atau “lain luka, lain pula dibebat”.
Yang kedua, dasar itu menyusahkan pelajar. Pelajar yang paling tertekan dengan dasar itu ialah pelajar luar bandar. Mereka sedia lemah dalam mata pelajaran Sains dan Matematik. Dasar itu akan menyebabkan mereka bertambah lemah dalam mata pelajaran itu.
Yang ketika, dasar itu melanggar undang-undang. Undang-undang yang dilanggar ialah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta Pendidikan dan Akta Bahasa Kebangsaan. Dengan sendirinya dasar itu bertentangan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan menafikan prinsip Rukun Negara.
Tidak kurang juga pihak yang menyokong dasar itu. Mereka itu kebanyakannya pengagum jati pendapat Perdana Menteri pada masa itu. Sudah tentu sebahagian besar daripada mereka ialah pendukung parti utama dalam barisan kerajaan kita. Penyokong itu juga terdiri daripada mereka yang mendapat laba daripada dasar itu.
Dengan dasar itu, tiba-tiba sahaja kerajaan kita termasuk dalam kumpulan yang kurang percaya dengan pendapat bahawa bahasa ibunda berkesan digunakan untuk menyampaikan ilmu di semua peringkat pendidikan. Kepercayaan terhadap pendapat ini hanya untuk mata pelajaran tertentu sahaja.
Kerajaan kita tidak mahu mengaku kalah. Hujah dan dapatan kajian yang dikemukakan oleh cerdik pandai kita mereka abaikan. Kerajaan terus menegakkan benang basah. Pendapat Tuan Jamale Paiman pula dapat dianggap benang lembap.
Tuan, suku sahaja tidak cukup. Kena ambil semua. Hapuskan PPSMI. Ajarkan kembali Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan