Rabu, 28 Januari 2009

Semua Kesatuan Guru Tolak PPSMI

Berita Harian Online, 30 Disember 2008
Oleh Syuhada Choo Abdullah

KUALA LUMPUR: Semua 25 kesatuan dan persatuan yang mewakili kira-kira 350,000 guru di seluruh negara sebulat suara menolak pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada peringkat sekolah rendah.

Kepemimpinan semua pertubuhan guru terbabit menyuarakan pendirian sepakat itu atas tiket Majlis Permuafakatan Kesatuan/Persatuan Guru Kementerian Pelajaran Malaysia dan sudah mengemukakan memorandum rasmi mengenai keputusan berkenaan kepada Menteri Pelajaran serta Ketua Pengarah Pelajaran.

Pengerusi majlis permuafakatan itu, Jemale Paiman, berkata melalui memorandum berkenaan, mereka menggesa kerajaan mengembalikan penggunaan bahasa Melayu dan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar kedua-dua mata pelajaran berkenaan masing-masing di sekolah kebangsaan (SK) serta sekolah jenis kebangsaan (SJK).

Beliau berkata, kesatuan dan persatuan berkenaan sependapat bahawa PPSMI hanya wajar dilaksanakan mulai pendidikan menengah selepas murid mendapat pendedahan, pemahaman serta penguasaan asas yang kukuh dua subjek itu melalui pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Melayu atau bahasa ibunda mereka di sekolah rendah.

Sehubungan itu, katanya, Kementerian Pelajaran disaran menggunakan semula bahasa Melayu dan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik di sekolah rendah mulai 2011 membabitkan murid Tahun Satu, sekali gus tidak menjejaskan proses pembelajaran murid sedia ada yang sedang mengikuti PPSMI.

"Cadangan supaya PPSMI dimansuhkan pada peringkat sekolah rendah dalam tempoh dua tahun lagi ialah supaya penggunaan semula bahasa Melayu dan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar subjek Sains dan Matematik dilaksanakan secara terancang, teratur, bukan tergesa-gesa serta tanpa mencetuskan konflik kemudian.

"Memorandum itu dikemukakan kepada Menteri Pelajaran dan Ketua Pengarah Pelajaran melalui Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Zulkifly Mohd Wazir, pada mesyuarat antara majlis permuafakatan dan Kementerian Pelajaran di Putrajaya yang turut dihadiri semua pemimpin kesatuan serta persatuan guru berkenaan, termasuk dari Sabah dan Sarawak, 20 Oktober lalu," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Antara kesatuan dan persatuan guru yang menganggotai majlis permuafakatan itu ialah Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pendidikan, Kesatuan Perkhidmatan Pendidikan Kebangsaan, Kesatuan Kebangsaan Guru Bahasa Melayu Se-Malaysia, Kesatuan Kebangsaan Guru-guru Besar Malaysia, Persatuan Kebangsaan Pengetua Sekolah Menengah, Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia, Kesatuan Guru-guru Sabah, Kesatuan Guru-guru Sarawak, Kesatuan Kebangsaan Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia, Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat, Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia, Kesatuan Kebangsaan Guru-guru Agama Malaysia Barat, Persatuan Pengelola Pendidikan Sekolah-sekolah Malaysia, Majlis Guru Kaunseling Kebangsaan serta Kesatuan Kebangsaan Guru-guru Sekolah Tamil.

Kemelut PPSMI semakin meruncing apabila Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) menetapkan 15 Februari depan sebagai tempoh muktamad untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya kerajaan masih meneruskan pelaksanaan PPSMI.

Selain itu, peguam dan juga bekas Pengarah Urusan MAS, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, menerusi artikelnya dalam akhbar ini semalam menyatakan bahasa Melayu mesti menjadi bahasa pengajaran mata pelajaran teras termasuklah Sains dan Matematik seperti diperuntukkan dalam Seksyen 1 dan 6, Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 17(1) Akta Pendidikan 1996, di sekolah rendah dan menengah kebangsaan.

Jemale berkata, antara rasional utama gesaan memansuhkan pelaksanaan PPSMI di sekolah rendah ialah murid mesti diberi peluang memperoleh pendidikan awal dalam bahasa ibunda yang “mesra” dengan kehidupan harian untuk menarik minat, memudahkan pemahaman serta memantapkan penguasaan asas mereka.

Dalam konteks ini, katanya, pelaksanaan PPSMI di sekolah rendah menyebabkan murid yang lemah bahasa Inggeris bukan saja menjadi mangsa keciciran dalam penguasaan dua subjek kritikal itu, malah berasa tersisih, rendah diri dan seolah-olah dinafikan peluang pembelajaran sama rata.

"Apabila bahasa pengantar Sains dan Matematik di sekolah rendah ditukarkan semula kepada bahasa Melayu serta bahasa ibunda kelak, murid boleh diberi pendedahan awal menghadapi pelaksanaan PPSMI di sekolah menengah melalui pembelajaran istilah berkaitan yang banyak diajar menerusi mata pelajaran Bahasa Inggeris.

"Dari segi pengukuhan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid pula, ia perlu dilakukan menerusi kemantapan guru, prasarana serta proses pengajaran dan pembelajaran subjek itu sendiri, bukan melalui mata pelajaran Sains ataupun Matematik," katanya.

Tiada ulasan: