Khamis 25 Disember 2008 26 Dzulhijjah 1429 Hijrah
Debat PPSMI: Bersediakah Hishammuddin Bertemu Tun Abdul Rahman Yaakob?
Ali Bukhari Amir, Wed Dec 24, 08 3:44:00 pm MYT
Baru-baru ini, Menteri Pelajaran Hishammuddin Tun Hussein mula menunjukkan maklum balasnya berhubung ugutan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) melalui kenyataan Ketua Satu pertubuhan itu, Tan Sri Pendeta Ismail Hussein.
Akhbar melaporkan kenyataan Hishammuddin sebagai: "Ugutan Gapena untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap Kementerian Pelajaran tidak membantu kerajaan mencapai keputusan terbaik berhubung isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)."
Hishammuddin dilaporkan berkata, tindakan itu bukan sahaja tidak membina malahan menyulitkan pihak kementerian membuat keputusan demi masa depan anak-anak bangsa.
Dengan tiba-tiba, Hishamudin mengeluh bahawa tindakan Gapena tidak banyak membantu kerajaan. Soalan yang amat penting ialah, adakah dasar PPSMI itu banyak membantu Hishammuddin dan para pelajar selama ini? Sebenarnya, PPSMI itu sendiri adalah bebanan paling besar daripada Tun Dr Mahathir yang kini terhempap ke atas pundak Kementerian Pelajaran itu.
Hishammuddin pun tidak berani mengaku bahawa PPSMI itu menyusahkannya. Kenyataan Dato' Dr Zainal Abidin Borhan dalam forum anjuran Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya dan Asasi baru-baru ini telah menjelaskan keadaan sebenar yang sedang dihadapi oleh kementerian sekarang.
Peruntukan PPSMI Banyak Penyelewengan?
"Jika dibuat tinjauan dan siasatan berhubung peruntukan untuk melaksanakan PPSMI ini di sekolah-sekolah, kita menemui banyak penyelewengan," kata beliau.
Hishammuddin pasti sedar masalah ini berlaku. Tetapi, adakah laporan ke atas penyelewengan ini boleh disiarkan dalam akhbar-akhbar secara terbuka? Ini adalah salah satu contoh yang menunjukkan PPSMI membawa kesan yang parah ke atasnya sendiri. Tetapi, Hishammuddin tentunya akan menafikan berhubung wujudnya penyelewengan-penyelewengan tersebut.
Jadi, kembali kepada tajuk bualan asal, maka sudah tentulah ugutan Gapena termasuk ancaman mahu membuat laporan polis oleh para pimpinan Gapena itu tidak banyak membantu beliau, malah ia akan semakin menyulitkan urusan Hishammuddin.
Namun, Hishammuddin perlu sedar suatu perkara. Iaitu, sama ada ugutan dan ancaman Gapena itu wujud atau tidak, hakikat bahawa PPSMI itu sebagai suatu bebanan berat yang perlu digalasnya tak boleh dinafikan lagi. Jadi, bukan salah Gapena mengugut. Tanpa ugutan Gapena sekali pun, Hishammuddin sudah berdepan dengan masalah, inikan pula ketika beliau sedang berdepan dengan ugutan.
Namun, Hishammuddin tidak mengalah. Beliau kembali menyalakan pertanyaan, "Mengapa sekarang selepas enam tahun dasar ini dilaksanakan, baru Gapena mahu mengugut dan mengancamnya?"
"Lebih-lebih lagi apabila kebelakangan ini sudah lima perbincangan meja bulat diadakan dan sekarang hanya tinggal peringkat akhir untuk membuat rumusan," kata Hishammuddin lagi.
Bagi menjawab soalan cepu emas ini, biarlah Gapena sendiri yang menjawabnya. Cuma, sebagai peserta yang hadir di dalam forum dan seminar Jumaat lalu, saya rasa terpanggil untuk menilai semula kenyataan Hishammuddin itu.
Untuk pengetahuan Hishammuddin, sejak lemasnya BN dalam tsunami politik menerusi pilihan raya umum Mac lalu, Gapena telah menganjurkan Kongres Permuafakatan Melayu di Persada, Johor Mei lalu.
Dalam kongres itu, telah wujud bantahan demi bantahan ke atas dasar PPSMI hatta dalam kalangan warga Umno sendiri.
Pada hari terakhir kongres tersebut, dalam satu sidang media, saya terdengar lafaz Pendeta Ismail Hussein lebih kurang begini bunyinya: "Semoga pimpinan negara akan hormat akan keputusan kongres ini, memandangkan kami ini adalah guru-guru mereka sendiri. Mungkin mereka akan segan dan hormat kepada kami."
Sesuai dengan gelarannya sebagai pendeta atau guru, maka Tan Sri Ismail mungkin berharap, segala laungan saranan yang bergema lewat kongres tersebut dapat dilantunkan terus ke dalam alam fikiran pimpinan negara khasnya Hishammuddin yang berkeras mempertahan dasar PPSMI sebelum ini.
Tapi ternyata, bukan tradisi Umno sekarang menghormati guru dan pendeta. Yang memegang tampuk pemerintahan parti bukan lagi bekas-bekas guru dan mereka yang punya jiwa pendeta. Lalu dengan biadap, bantahan kongres itu ke atas PPSMI telah ditutup sebelah mata.
Gapena sebagai penganjur kongres mula menakung amarahnya di lembah prasangka. Kocakan kata-kata biadap Hishamuddin menyebabkan riak gelombang air yang tenang itu mula menggunung tinggi, membadai sebagai tsunami!
Gapena hilang sabar, tapi bersediakah Hishammuddin pertahan PPSMI?
Ternyata, saranan orang-orang Gapena yang pro-Umno sendiri tidak diendahkan. Maka, inilah puncanya setelah enam tahun sang guru pendeta cuba berbahasa dengan baik, tapi Hishammuddin tetaplah tegar dan degil dengan keputusannya. Apabila teguran demi teguran mula dinilai sebagai sampah, maka hukumanlah jawapannya.
Terbaharu, Gapena mendakwa bahawa pelaksanaan PPSMI secara jelas telah mencabul Fasal 152, Perlembagaan Persekutuan yang memutuskan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Dalam laporan terbaharu, Ismail sendiri menegaskan bahawa tindakan keras itu adalah kemuncak kekecewaan Gapena, kalangan cendekiawan termasuk pencinta bahasa Melayu selepas desakan supaya PPSMI tidak diteruskan, tidak mendapat maklum balas sewajarnya daripada kerajaan.
Maka, selepas hampir lima ke enam tahun desakan secara baik tidak diendahkan, maka kini tibalah waktunya Hishammuddin dikenakan tindakan keras. Inilah pengajaran keras yang harus dikenakan ke atas Menteri Pelajaran.
Kita sering melihat, kalau murid-murid bersikap nakal, maka rotan gurulah yang menjadi penawarnya. Kini, pendeta mula merotan Hishammuddin melalui libasan kata-kata. Namun, 'murid-murid yang nakal' seperti Hishammuddin Tun Hussein serta Tun Dr Mahathir ini perlulah dibawa ke mahkamah dan dibicarakan kesalahan mereka dalam membentuk dan mempertahan PPSMI selama ini.
Ada baiknya, Hishammuddin diberi peluang memberikan penjelasan, kenapakah PPSMI perlu dipertahankan. Tapi, bersediakah Hishammuddin mempertahan idea dan pendapatnya itu?
Saya syor, Gapena dan Kumpulan Prihatin membawa Hishamuddin bersama Tun Abdul Rahman Yaakob selaku bekas Menteri Pelajaran, mengusung dan mengheret perdebatan, muzakarah dan muqabalah di dalam isu PPSMI ini.
Lihatlah bagaimanakah kedua-dua tokoh ini mahu pertahankan pandangan mereka. Kita semua maklum bahawa Tun Abdul Rahman Yaakob tidak pernah bersetuju dengan dasar PPSMI ini.
Tapi, persoalan yang maha penting, adakah Hishammuddin berani ke depan untuk meraih sokongan guru-guru untuk memihak kepada hujahnya? Guru-guru semuanya mestilah diwajibkan menonton acara debat muzakarah tersebut.
Kalau muzakarah, muqabalah, debat ini dapat dilangsungkan dan ditakdirkan beliau kalah berhujah, adakah Hishammuddin bersedia menerima kekalahan dengan memansuhkan PPSMI?
http://bmppsmi.blogspot.com
24 Disember, 3:13 p.m Sekolah Pemikiran Kg Baru .
Tiada ulasan:
Catat Ulasan