Isnin, 26 Januari 2009

Meja Bulat: Tujuh Pilihan

Dipetik daripada http://sekalibicara.blogspot.com/ (21 Disember 2008)
PPSMI: Antara Kepentingan Memberi Pendidikan dengan Menguasai Bahasa Inggeris
Oleh Fuad Razali

MEDIA massa arus perdana baru-baru ini melaporkan Persidangan Meja Bulat Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang berakhir di Putrajaya, merumuskan tujuh pilihan untuk dipertimbangkan kerajaan dalam membuat keputusan mengenai masa depan PPSMI.

Tujuh pilihan itu ialah:

1. Meneruskan PPSMI seperti sedia ada;

2. Menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di sekolah rendah tetapi meneruskan PPSMI di sekolah menengah;

3. Memulakan PPSMI dari Tahun Empat hingga sekolah menengah;

4. Menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di sekolah rendah dan digunakan sepenuhnya di sekolah menengah;

5. Penggunaan bahasa pengantar untuk Sains dan Matematik ditentukan oleh sekolah;

6. Penggunaan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di Tahun Satu hingga Tiga, diikuti dwibahasa pada Tahun Empat hingga Enam dan penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya di sekolah menengah, dan

7. Memansuhkan mata pelajaran Sains di Tahun Satu hingga Tiga, tetapi mengajar ilmu Sains dalam mata pelajaran lain.


Pilihan itu dirumuskan selepas lima sesi Persidangan Meja Bulat PPSMI diadakan, yang disertai tokoh akademik, penyelidik, parti politik dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Pakar dari Lembaga Pentaksiran dan Kurikulum Victoria, Australia (VCAA), William Perrin, turut menyertai persidangan semalam.

Ia diadakan bagi meneliti serta membahaskan semua laporan kajian, tinjauan dan pemantauan berkaitan PPSMI yang mencetuskan kontroversi berikutan desakan sesetengah supaya kerajaan mengkaji semula pelaksanaannya.

Secara peribadi, saya menyokong saranan supaya pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik kembali dilaksanakan sepenuhnya di sekolah - rendah dan menengah - dalam bahasa kebangsaan seperti sebelum PPSMI dilaksanakan.

Kita akui kepentingan kita dan anak-anak kita menguasai bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua sesuai dengan kedudukannya yang menjadi bahasa penting peringkat antarabangsa, termasuk dalam bidang sains dan teknologi. Bahkan saya menyokong untuk anak-anak kita mempelajari, bukan sahaja bahasa kedua, bahkan bahasa ketiga, keempat, dan berapa banyak lagi bahasa yang mereka mampu.

Bagaimanapun saya berpendapat, ada perkara yang lebih besar dan penting daripada itu iaitu kepentingan untuk memberikan pendidikan kepada anak-anak kita. Saya berpendapat ini jauh lebih penting demi menunaikan tanggungjawab kita memastikan anak-anak kita menjadi orang yang berilmu atau celik ilmu termasuk dalam bidang sains dan matematik.

Saya percaya jika anak-anak kita diajarkan subjek Sains dan Matematik dalam bahasa kebangsaan, walaupun tidak semua akan melanjutkan pelajaran ke universiti, sekurang-kurangnya mereka celik dan memahami apa itu sains dan matematik; setidak-tidaknya mereka memahami beberapa fenomena dalam sains dan matematik.

Kita semua tentu masih ingat, sewaktu Sains dan Matematik diajar dalam bahasa kebangsaan di sekolah kebangsaan serta diajar dalam bahasa ibunda di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT), murid-murid yang bersekolah di sekolah kebangsaan selalu dikatakan lemah, dan sangat lemah, dalam kedua-dua subjek itu berbanding rakan-rakan mereka di SJKC dan SJKT. Dan murid-murid yang belajar di sekolah kebangsaan ini, terutama di kawasan luar bandar, juga sering dilaporkan juga lemah dalam bahasa Inggeris.

Jika sewaktu belajar dalam bahasa kebangsaan pun, mereka dikatakan lemah dalam Sains dan Matematik, dan pada masa yang sama, mereka juga dikatakan lemah dalam bahasa Inggeris, maka bagaimanakah murid sedemikian dapat meningkatkan kefahaman mereka dalam Sains dan Matematik jika mereka mempelajarinya dalam bahasa Inggeris? Dan itulah realitinya yang berlaku di peringkat akar umbi.

Malah sejak pelaksanaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar dilaksanakan di semua peringkat persekolahan dan universiti, terutama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kita menyaksikan bilangan guru Melayu yang mengajarkan sains dan matematik semakin bertambah, sedangkan sebelum itu, boleh dikatakan pengajaran subjek sains dan matematik didominasi oleh guru bukan Melayu.

Begitu dengan kemasukan pelajar Melayu ke universiti semakin bertambah sejak pelaksanaan dasar berkenaan. Bahkan, ramai profesor di universiti tempatan yang dihasilkan menerusi dasar berkenaan kini mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Bagaimanapun, maklum balas guru-guru yang bertugas di sekolah, khususnya di kawasan luar bandar, sejak pelaksanaan PPSMI menunjukkan wujud permasalahan. Sebahagian guru-guru yang selama ini mengajarkan sains dan matematik menggunakan bahasa kebangsaan mendapati kesukaran untuk mengajarkan kedua-dua subjek berkenaan dalam bahasa Inggeris. Ini mungkin ada kaitan dengan kemampuan mereka sendiri untuk menguasai bahasa Inggeris.

Dengan itu, menyebabkan mereka merasakan pengajaran dalam kelas tidak lagi menyeronokkan. "Kita nak buat lawak dalam kelas menggunakan bahasa Inggeris pun kita tak reti!" kata seorang rakan guru.

Walaupun guru-guru yang mengajar subjek sains dan matematik diberikan elaun kerana mengajarkan kedua-dua subjek yang dikatakan kritikal itu bahasa Inggeris, atas alasan untuk memberi galakan dan sebagai insentif supaya mereka meningkatkan penguasaan dalam bahasa itu, persoalannya, adakah apa yang diharapkan itu berlaku?

Siapakah yang memastikan guru-guru terbabit benar-benar menggunakan insentif yang diberikan itu untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris mereka? Dan kita juga tidak boleh mengambil jalan mudah dengan cara meminta guru yang mahir berbahasa Inggeris mengajar sains dan matematik jika mereka tidak terlatih dalam kedua-dua subjek berkenaan.

Di pihak pelajar pula, mengikut maklum balas guru-guru, tidak tahu apa yang hendak ditanya kerana mereka pun tidak faham apa yang diajarkan. Saya tidak mengatakan semua pelajar demikian. Keadaan mungkin berlainan bagi pelajar yang tinggal di bandar terutamanya dan yang mempunyai ibu bapa berkelulusan tinggi. Tetapi bagaimana pula halnya dengan pelajar di kawasan luar bandar dan ibu bapa yang tidak berkelulusan tinggi?

Oleh itu, saya berpendapat masalah penguasaan dalam bahasa Inggeris serta penguasaan sains dan matematik adalah dua isu yang berbeza. Setiap satu ada jalan penyelesaiannya sendiri, dan tidak seharusnya dicampuradukkan.

Saya juga tertarik dengan satu kenyataan dalam laporan berkenaan yang menyebutkan bahawa PPSMI yang bermatlamat meningkatkan kecekapan pelajar sekolah rendah dalam bahasa Inggeris dimulakan dengan projek perintis lima tahun pada 2003.

Saya masih berada di Berita Harian sewaktu isu hendak melaksanakan PPSMI hangat dibincangkan. Sepanjang ingatan saya tidak pernah wujud apa yang disebutkan sebagai projek perintis selama lima tahun itu kerana jika wujud projek perintis seperti dilaporkan itu sudah tentulah hanya beberapa sekolah saja dipilih sebagai percubaan pelaksanaan PPSMI sehingga 2007 yang lalu, tetapi hakikatnya semua mengetahui bahawa pelaksanaan dasar dilaksanakan di semua di seluruh negara pada tahun berkenaan.

Cuma yang berbeza adalah cara pelaksanaannya. Mengikut idea atau cadangan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, PPSMI dilaksanakan pada semua peringkat semua pelajar iaitu tahun satu hingga tingkatan enam atas. Bagaimanapun, perbincangan yang dibuat pada peringkat Kementerian Pendidikan (sekarang Kementerian Pelajaran) memutuskan ia dilaksanakan secara bertahap iaitu bermula dengan tahun satu, tingkatan satu dan tingkatan enam rendah.

Saya rasa, wartawan yang membuat liputan dan laporan perlu menyemak semula fakta berkenaan atau Kementerian Pelajaran patut menyatakan fakta sebenar mengenainya.

Seperkara lagi yang menimbulkan tanda tanya adalah mengapa sewaktu PPSMI hendak dilaksanakan, sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) diberi kelonggaran atau kebenaran menggunakan dua bahasa iaitu bahasa Inggeris dan Mandarin bagi mengajar sains dan matematik, sedangkan sekolah kebangsaan pula “dipaksa” menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya bagi kedua-dua subjek berkenaan?

Tiada ulasan: