Pencinta Bahasa Melayu, Datanglah Ramai-ramai ke KT
Dinsman, Wed Jan 14, 09 11:59:11 pm MYT
Malam itu kawan-kawan saya - Razali, Kassim, Hasni, Ainon, Anuar, Sutung, Mohd Daud, Rahimidin, Dr. Saiful, meneruskan “mesyuarat” di luar pintu rumah Gapena, sambil berdiri.
Mesyuarat dengan Gapena di dalam sudah selesai. Tetapi kawan-kawan ini banyak tak puas hati dengan hasil mesyuarat. Tak perlulah saya ceritakan lagi apa hasilnya itu. Baha Zain pun sudah menceritakannya dalam Harakah keluaran lalu. Berkenaan dengan tindakan yang hendak diambil bagi menghalang PPSMI diteruskan.
Tak selesai juga mesyuarat sambil berdiri itu, kami sambung ke kedai mamak, tak jauh dari bangunan DBP. (Ainon dan Anuar tak ikut). Berbincang dan berbincang, akhirnya timbul cadangan untuk bawa isu PPSMI ini ke Kuala Terengganu. Minta kerjasama kawan-kawan orang politik (PAS atau KeADILan), berikan sedikit ruang untuk para penulis dan penyair membaca puisi khas membantah pelaksanaan PPSMI.
Ajak Sesiapa yang Berminat
Kami pun menghubungi kawan-kawan politik di Kuala Terengganu, menyatakan hasrat itu. Dan sambil itu kami juga menghubungi kawan-kawan penulis dan ahli bahasa di seluruh negara, ajak sesiapa yang berminat untuk turun memeriahkan kempen kita membantah diteruskan pelaksanaan PPSMI. Kita menumpang kempen pilihan raya itu.
Sebenarnya bukan kita menumpang. Isu PPSMI adalah satu isu besar, yang boleh menggugat keutuhan bangsa Melayu sebagai suatu bangsa berdaulat, dan boleh menyebabkan bahasa Melayu akan pupus suatu hari nanti. Kita tidak menumpang dalam kempen itu, tetapi isu ini sebenarnya adalah isu yang penting. Ia sebahagian daripada masalah utama yang dihadapi rakyat Malaysia hari ini.
Sementara itu pada pagi Khamis 8 Januari, kami membuat pertemuan dengan Datuk Hassan Ahmad, bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka. Ini adalah lanjutan inisiatif Hasni Abas, Presiden Kesatuan Pekerja Dewan Bahasa dan Pustaka, untuk menggembleng tenaga ke arah perhimpunan 100 ribu rakyat Malaysia menuntut supaya PPSMI dihapuskan.
Turut sama dalam rombongan kami ialah rakan-rakan politik dari PAS dan KeADILan, dan juga wakil ABIM. Tujuannya, meminta persetujuan Datuk Hassan untuk mengetuai gerakan. Alhamdulillah, setelah berdolak-dalik dan berbasa-basi, cuba menolak, akhirnya dia bersetuju.
Kami berbincang panjang. Datuk Hassan membatalkan temu janji makan tengah harinya di luar, sebaliknya kami makan tengah hari bersama, sambil berbincang. Begitu begini, tanpa diduga akhirnya dia juga bersetuju untuk pergi ke Kuala Terengganu, pada 14 Januari.
Ajak Datuk Hassan
Memang itulah yang saya harap-harapkan. Sehari sebelumnya saya telah berbincang dengan Hasni, untuk cuba mengajak Datuk Hassan datang ke Kuala Terengganu, bagi memeriahkan lagi majlis bacaan puisi-puisi menentang PPSMI. Bukan setakat memeriahkan, tetapi memberi makna dan impak yang besar.
Saya menaruh harapan yang besar kepada bekas boss saya sewaktu di DBP dahulu itu, untuk sanggup turun bersama memperjuangkan isu bahasa ini. Turun bergerak bersama-sama dengan rakyat. Tetapi walaupun menaruh harapan besar, saya tidaklah menduga yang dia akan bersetuju untuk turun ke gelanggang secepat itu.
Biarlah tak usah disebut apa agenda Datuk Hassan turun ke Kuala Terengganu pada 14 atau 15 Januari itu. Yang pentingnya ialah dia juga akan hadir ke majlis bacaan puisi dan ceramah pendek mengenai PPSMI yang akan kita adakan pada 14 - 16 Januari, sempena kempen pilihan raya kecil itu. Ini yang sangat menarik pada saya.
Orang-orang sastera, orang-orang bahasa, orang-orang budaya, turun mengisi pentas kempen pilihan raya, dengan membawa satu isu yang besar, yang menyentuh keutuhan dan kedaulatan bangsa. Kita turun ke dalam kempen politik, tetapi kita tidak berpolitik, sebaliknya kita berkempen untuk kepentingan kebudayaan dan tamadun bangsa kita.
Ini yang cukup menarik. Perjuangan bahasa kembali menjadi isu penting dalam politik Malaysia. Suatu waktu dulu, dalam tahun-tahun 60-an, isu bahasa pernah menjadi isu penting dalam politik kita. Tetapi apabila agenda ekonomi mengambil tempat utama dalam kehidupan orang Malaysia sekitar tahun-tahun 80-an dan 90-an, isu bahasa dan budaya pun terpinggir.
Kejar Kemajuan
Begitu tidak pentingnya bahasa dan budaya bagi orang-orang Malaysia yang sedang mengejar kemajuan materialisme ini, hinggalah apabila Perdana Menterinya menukar penggunaan bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah, pun mereka menerimanya. Padahal penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di sekolah dan di universiti itu adalah suatu pencapaian besar dalam perjuangan nasional mereka beberapa tahun sebelumnya.
Alhamdulillah, hari ini kesedaran budaya itu nampaknya mulai hidup kembali dalam jiwa sebahagian orang Malaysia. Mungkin dalam pilihan raya kecil di Kuala Terengganu ini kita akan dapat melihat bagaimana faktor budaya (bahasa) akan mengambil peranan penting bagi menentukan masa depan politik Malaysia.
Saya sangat gembira apabila wakil-wakil dari parti politik yang menyertai "Gerakan Mansuhkan PPSMI" sengaja mencari orang budaya untuk memimpin gerakan tersebut, manakala mereka bersedia menyertainya sebagai AJK biasa, dan PAS misalnya mewakilkan Timbalan Presidennya sendiri, Ustaz Nasharuddin Mat Isa, untuk menjadi AJK gerakan ini.
Maka dalam suasana inilah saya ingin menyeru kepada kawan-kawan penulis dan aktivis seni di seluruh negara, marilah kita sama-sama meraikan kesedaran budaya yang sedang memekar ini, dengan hadir beramai-ramai ke Kuala Terengganu, bagi menjayakan majlis bacaan puisi yang menyuarakan bantahan terhadap PPSMI.
Kita bukannya nak bantah apa pun. Kita membantah usaha-usaha yang hendak meminggirkan bahasa Melayu. Itu saja. Tak ada sebab pun bahasa Melayu hendak dipinggirkan, melainkan kalau otak kita masih lagi terjajah oleh anasir-anasir jahat yang kini sedang berusaha untuk meletakkan seluruh dunia di bawah kuasa penjajahan materialisme mereka. Wallahuaklam!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan