Isu PPSMI: “Political Will” atau “Cultural Will”?
Dinsman, (Harakahdaily, 1 Januari 2009)
Jeritan dan rintihan para budayawan dan orang-orang yang sedar budaya terhadap isu PPSMI atau (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris), nampaknya seperti mencecah ke puncak.
Yang tak pernah marah akan kerajaan pun dah mula tunjukkan aksi marah. Malah ada yang sudah mengajak beramai-ramai pergi pecahkan dinding penjara Kamunting. (Heh, kelakar. Kalau Hishamuddin Rais tahu perkara ni tentu dia ketawa.)
Khabarnya jeritan dan laungan yang terakhir itu datangnya daripada orang Gapena. Hai, macam tak percaya pula. Tiba-tiba sahaja! Barangkali sebab tak ada orang beritahu mereka yang isu itu boleh terjadi sampai begitu parah sebenarnya adalah disebabkan mereka juga. Bukannya orang lain. Merekalah yang sepatutnya membantah sewaktu Dr. Mahathir mengumumkan dia nak buat benda itu dulu. Mengapa dulu membisu dan tidur nyenyak, sekarang tiba-tiba hendak menggelupur?
Heh, heh, tak mengapalah ya. Inilah senario dunia kita. Maka dilaporkanlah juga beberapa orang profesor kita yang prihatin pun mulai memberi amaran awal bahawa bahasa Melayu tak lama lagi akan menjadi bahan sisipan sahaja dalam akhbar-akhbar, kalau kedaulatannya sebagai bahasa ilmu tidak segera dikembalikan.
Hal yang bergejolak itu pun rupa-rupanya tertempias juga hingga ke pangkuan kami dalam PAKSI (Seniman Paksi Rakyat). Dalam pertemuan kami baru-baru ini ada sahabat yang mencadangkan supaya Paksi pun ikut sama menyertai gerombolan memprotes dan menjerit itu. Panas jugalah perbincangan kami.
Hujah menghujah itu mengingatkan saya kepada buku Mengapa Kami Bantah! yang disusun oleh Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan. Bagi saya, dengan adanya buku itu sebenarnya kita tak perlu nak berhujah lagi. Rujuk dan baca sajalah buku itu. Segalanya dijelaskan sejelas-jelasnya di situ.
Nak bukti apa lagi! Semuanya ada dalam buku itu. Melainkan anda memang tak berminat dengan agenda memajukan bangsa Melayu yang beridentiti Melayu.
(Muat turun buku Mengapa Kami Bantah! cetakan pertama, percuma! Klik pautan yang berkenaan.)
Inilah masalah kita sebenarnya. Bukan masalah hujah. Sewaktu Dr. Mahathir nak menguatkuasakan perkara itu, dia tak berhujah atau membuka ruang untuk orang berhujah pun. Dia tak tanya pun pendapat pakar dan para profesor kita. Dia ada agenda dia sendiri. Dan orang itu, seperti yang kita semua tahu, kalau dia ada agenda dia sendiri bukannya dia nak peduli sangat pendapat orang lain.
Agenda Mahathirisme
Soalnya, apa agenda dia? SM Zakir kata itu agenda Mahathirisme. Tetapi sekarang era Mahathir sudah berlalu. Era Pak Lah Badawi pun nak berlalu juga. Era Najib Rosmah belum tahu lagi. Hishamuddin Hussein itu pula apa agenda dia pun kita tak tahu. Dewan Bahasa (DBP) sudah masuk lapan bulan tak ada Ketua Pengarah, dibiarkannya begitu saja. Isu PPSMI ini lagilah! Dia tak nampak pun agaknya apa perlunya bahasa pengantar itu ditukar semula ke bahasa Melayu. Apa untungnya pada dia?
Kita sekarang berhadapan dengan saki baki pimpinan Umno yang kebanyakan mereka bukannya berfikir macam kita, berjuang untuk kepentingan dan kebajikan rakyat. Mereka itu berjuang untuk kepentingan diri dan kebajikan keluarga dan kroni.
Seorang menteri boleh pecat seorang Ketua Pengarah semata-mata kerana isterinya tak suka dengan artis yang dijemput oleh Ketua Pengarah tersebut. Cubalah fikirkan. Macam mana tu! Apa agenda dia ada? Dan macam mana pula kita nak berurusan dengan pemimpin politik yang seperti itu? Nak mengharapkan political will mereka? Hentikanlah.
Itulah makanya ketika memikirkan hal ini secara kebetulan ada cerita kumpulan JERIT yang mengadakan kempen jelajah negara dengan berbasikal, membawa slogan “Rakyat Pengayuh Perubahan”. Saya jadi sangat tertarik dengan kempen itu. Barangkali isu PPSMI ini pun memerlukan kempen yang seperti itu.
Jelajah negara. Bertemu dengan rakyat. Isu ini sebenarnya adalah isu rakyat. Hampir semua keluarga rakyat Malaysia terlibat dengan isu ini. Ini bukan isu orang Melayu sahaja. Ini isu bahasa kebangsaan.
Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan. Bahasa kita rakyat Malaysia. Peliknya orang-orang Umno dan pro-Umno yang masih berjiwa terjajah itu, apabila mereka bercakap pasal isu PPSMI ini, mereka langsung tidak menyentuh soal perlunya kita kepada identiti bangsa, kepada jiwa bangsa, kepada kedaulatan kita sebagai bangsa yang ada budaya dan tamadun sendiri.
Konon dalam dunia globalisasi hari ini kalau kita belajar dengan bahasa Melayu kita tak sempat nak kejar ilmu yang banyak berada dalam bahasa Inggeris. Apa mereka itu fikir orang yang berbahasa Inggeris itu semuanya pandai dan tinggi belaka ilmu mereka? Apakah TG Nik Aziz itu misalnya, kurang kualitinya sebagai pemimpin disebabkan dia tidak fasih berbahasa Inggeris?
Sebenarnya siapa yang lebih berkualiti sebagai pemimpin (bertaraf dunia) dibandingkan antara Dr. Mahathir dengan TG Nik Aziz? Buatlah undian peringkat nasional hari ini kita tengok, siapa yang menjadi pilihan rakyat Malaysia pelbagai kaum. Semestinya TG Nik Aziz!
Apatah lagi kalau kita fikirkan keperluan hidup ini bukan setakat ilmu untuk dunia saja, tetapi juga ilmu untuk akhirat. Pemimpin paling berkualiti tak syak lagi TG Nik Aziz jadi pilihan rakyat Malaysia.
Jadi, kita berbasikal jelajah negara, dengan semangat “Cultural Will”, bawa isu ini dan gembleng rakyat supaya bersuara menuntut kedaulatan bahasa Melayu dikembalikan. Boleh? Mahukah kawan-kawan kita kaum penulis dan seniman di seluruh negara menyahut cabaran ini?
Hidupkan cultural will kita.
Saya tak tahu, dan saya tak pasti. Tetapi kalau berdasarkan apa yang dapat dilihat sejak PM itu buat hal dengan isu PPSMI ini, tak banyaklah yang boleh diharapkan kepada kaum penulis dan seniman kita di seluruh negara. Kebanyakan mereka itu bernaung di bawah Gapena. Sedangkan pimpinan Gapena pun baru saja terbangun dari tidur mereka yang nyenyak bermimpikan kembara mencari Melayu di seluruh dunia. Dan mereka terbangun pun disebabkan tidur mereka terganggu oleh jeritan yang semakin kuat dan bingit di sekeliling mereka.
Itu hanya sebagai satu kemungkinan saja. Barangkali ada cara dan pendekatan lain yang lebih baik dan berkesan.
Sementara itu Paksi telah bersetuju untuk menganjurkan satu seminar yang akan mendedahkan beberapa fakta menarik (dan mungkin mengejutkan) mengenai industri buku bahasa Melayu. Sesuatu yang belum pernah dibincangkan secara terbuka sebelum ini. Timbalan Presiden Paksi, Ainon Muhamad, seorang tokoh bisnes yang terlibat dalam industri berkenaan, sedang memimpin persiapan ke arah mengadakan seminar tersebut - ke arah mengembalikan kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Insya-Allah! azm
(Penulis boleh dihubungi dengan e-mel dinsman_49@yahoo.com.my Alamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan