Wawancara Baha Zain Tentang Isu PPSMI
Nyza Ayob, Harakah Daily, 9 Januari 2009
“Tiada pilihan, kerajaan mesti batalkan terus PPSMI!”
Isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) bukan sahaja mencabar tokoh bahasa bahkan turut mendapat bantahan kalangan badan bukan kerajaan (NGO), parti politik, individu prihatin, juga ibu bapa. Mereka mahu bahasa Melayu kembali didaulatkan sebagai bahasa kebangsaan dalam pengertian sebenarnya. Wartawan Harakah, Nyza Ayob menemu bual Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Dato' Baharuddin Zainal, yang lebih dikenali sebagai Baha Zain mengenai isu yang hangat diperkatakan ini, Selasa, 6 Januari lalu.
HARAKAH: Sehingga kini apa tindak balas kerajaan terhadap bantahan pelaksanaan PPSMI ini?
BAHA ZAIN: Nampaknya tidak ada respons daripada pihak kerajaan. Sesi persekolahan telah pun dibuka dan sistem PPSMI ini masih diteruskan. Tiada perubahan. Ada badan penulis yang mahu mengambil tindakan terhadap kerajaan kerana meneruskan PPSMI.
Sejauh mana perkembangan terkini mengenai hal tersebut?
Persatuan-persatuan penulis akan bekerjasama dengan Gapena bagi mengambil tindakan berkenaan. Sekarang ini nampaknya Gapena bukan sahaja mendapat sokongan badan gabungannya tetapi NGO di luar gabungannya. Gapena sedang mengatur langkah untuk mengambil tindakan undang-undang.
Pada 15 Februari akan datang, Gapena akan mengadakan satu perhimpunan dan jika pada waktu itu kerajaan masih tidak memberi sebarang respons sewajarnya, Gapena akan membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang. Jadi, sebagai badan gabungan, Pena akan memberi kerjasama kepada Gapena.
Sekiranya tindakan undang-undang terhadap kerajaan dapat dilaksanakan, apakah Dato' yakin PPSMI ini tidak akan diteruskan?
Kita berharap langkah kita yang terakhir itu berjaya setelah membuat banyak rayuan dan gesaan. Malangnya pihak Kementerian Pendidikan seperti tidak mengetahui kehendak intelektual. Kita telah mengadakan pelbagai forum dan dialog mengenai isu ini, termasuklah membuat rayuan.
Sekarang “bola” itu di “kaki” kerajaan dan pihak kerajaan mesti melakukan tindakan yang tegas. Jadi, kita sebagai gabungan penulis, menetapkan pendirian kita, yakni tidak mahu kerajaan membuat keputusan “separuh-separuh”. Kerajaan mesti membatalkan terus dasar PPSMI ini dan mengembalikan bahasa pengantar bagi subjek Matematik dan Sains dalam bahasa Melayu, di sekolah rendah dan juga sekolah menengah.
Begitu juga dengan kehendak golongan cendekiawan dan NGO yang bersama-sama dengan persatuan penulis ini. Kami mahu pengajaran kedua-dua subjek ini dikembalikan sebagaimana asal. Jika kerajaan memikirkan beberapa langkah untuk pengajaran kedua-dua subjek ini dalam bahasa Inggeris, ia tidak boleh diterima oleh persatuan-persatuan penulis. Semua ingin ia dikembalikan sebagaimana sebelum ini. Terbaharu timbul pula keputusan untuk menganjurkan “Himpunan 100 ribu Selamatkan Bahasa Melayu”.
Sejauh mana sokongan yang telah diberikan oleh persatuan-persatuan penulis kepada inisiatif terbaharu ini?
Program “Himpunan 100 Ribu Selamatkan Bahasa Melayu” disepakati oleh Jawatankuasa Panitia, yang melibatkan antara lain Kesatuan Sekerja Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ABIM, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Teras dan banyak lagi. Jadi, kami dalam kalangan persatuan penulis menyokong himpunan tersebut. Ia merupakan satu gerakan yang lain daripada yang dilakukan sebelum ini. Kami memberikan sokongan kepada perhimpunan ini. Lebih banyak kumpulan yang menentang PPSMI ini, saya rasa ia lebih baik.
Mungkin perhimpunan ini nanti merupakan kemuncak bagi bantahan terhadap pelaksanaan PPSMI?
Tidak semestinya. Kumpulan yang ingin menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara merupakan satu kelompok. Dan perhimpunan pada 15 Februari anjuran Gapena adalah satu kelompok yang lain.
Bagaimanapun kita saling sokong menyokong setiap bantahan yang dilakukan. Maknanya, Gapena mempunyai tindakan yang lain bagi bantahan tersebut?
Sekarang kami persatuan penulis dalam peringkat merayu kepada kerajaan agar menghentikan PPSMI ini. Tetapi kami akan membuat keputusan terakhir pada perhimpunan 15 Februari ini. Pada perhimpunan ini Gapena akan menganjurkan pembacaan puisi selama satu atau dua hari.
Sebenarnya Gapena telah memberi tempoh sehingga 31 Disember lalu kepada kerajaan tetapi nampaknya tidak ada sebarang respons. Jadi 15 Februari merupakan tarikh akhir bagi Gapena meneruskan tindakannya.
Seterusnya kami akan membuat laporan polis dan tindakan undang-undang jika kerajaan tidak memberikan sebarang respons apa yang dikehendaki Gapena.
Jika kerajaan hanya mengumumkan PPSMI ini tidak akan diteruskan di peringkat sekolah rendah tetapi akan tetap diteruskan di peringkat sekolah menengah, perkara itu juga tidak dapat diterima oleh Gapena.- azm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan