Sabtu, 17 Januari 2009

BI Diperpodoh Bahasa Asing

Susulan Isu PPSMI: Kepungan Ilmu
Bangsa Inggeris Pernah Dibodohkan oleh Bahasa Asing
Prof. Dr. Abdullah Hassan, 11 Disember 2008

Kenapakah kita ingin supaya pendidikan disampaikan melalui bahasa ibunda dan bukan bahasa pinjaman? Bahasa pinjaman membina tembok bahasa dan mewujudkan kepungan ilmu.

Bagaimanakah kepungan ilmu terjadi? Kita dapat melihat gejala ini berlaku di Eropah pada Zaman Pertengahan. Hanbury Brown, dalam bukunya, The Wisdom of Science: Its Relevance to Culture and Religion (1986) menunjukkan bagaimana ilmu terkepung dalam bahasa Latin, dan tidak dapat membantu menyelesaikan masalah dalam kehidupan masyarakat Eropah dalam Zaman Pertengahan.

Sejak kurun ke-16 lagi, pengetahuan mengenai bakteria dan kitaran darah sudah diketahui. Walau bagaimanapun pengetahuan ini terkepung dalam bahasa Latin. Oleh sebab bahasa Latin tidak difahami oleh rakyat, maka ilmu itu tidak sampai kepada mereka. Ilmu terkepung dalam bahasa Latin yang menjadi milik kalangan ilmuwan sahaja. Mereka menganggap ilmu itu untuk pengetahuan peribadi sahaja dan tidak perlu dikongsi oleh rakyat yang tidak mengetahui bahasa Latin. Akibatnya, ilmu tersebut tidak dapat dimanfaatkan bagi memajukan bidang ilmu perubatan.

Contoh kedua dapat dilihat daripada peristiwa yang berlaku kepada ilmu yang ditemui oleh John Isaac Newton. Newton menulis buku Philosophiae Naturalis Principia Mathematica dalam bahasa Latin pada tahun 1686. Buku itu dibahaskan di Royal Science Society of London, dan dapatan yang terkandung di dalamnya sangat dikagumi. Beliau diberi tepukan gemuruh selepas persembahan itu.

Selepas itu buku itu ditutup dan ilmu di dalamnya terpendam selama 200 tahun. Ilmu itu tidak dapat difahami oleh rakyat biasa oleh sebab ilmu itu dalam bahasa Latin. Hanya setelah 200 selepas Newton meninggal, barulah buku itu diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris. Selepas itu barulah ilmu dalam Philosophiae Naturalis Principia Mathematicaini dipelajari oleh rakyat. Ilmu itu banyak membantu kehidupan kita pada hari ini kerana ilmu itu mengandungi asas kejuruteraan moden yang digunakan dalam banyak barangan yang kita gunakan pada hari ini, daripada membina bangunan pencakar langit hinggalah kepada kapal angkasa.

Hanya apabila ilmu disampaikan dalam bahasa rakyatnya, barulah ilmu itu dapat difahami dan dimanfaatkan.

Bahasa Inggeris adalah bahasa asing kepada rakyat Malaysia. Robert Lado (1964) mengatakan mengajarkan seluruh rakyat sesuatu negara mempelajari sebuah bahasa asing itu adalah sia-sia, semustahil mengajarkan burung di rimba berkata-kata. Kita pun dapat melihat fenomena ini berlaku di negara-negara yang memaksa rakyatnya bahasa asing, sekalipun Inggeris.
Ini bermakna, hanya rakyat kelas menengah yang akan dapat mempelajari bahasa Inggeris dan menerima pendidikan. Rakyat di luar bandar, di estet, dan di kawasan pinggir bandar akan secara sistematis tersisih daripada pendidikan bahasa Inggeris, hanya mereka tidak akan dapat menguasai bahasa Inggeris sebaik kanak-kanak kelas menengah.

Itulah yang pernah berlaku di negara Inggeris. Bahasa Latin adalah bahasa pengantar pendidikan yang dikuasai oleh rakyat kelas menengah. Rakyat miskin tersisih daripada pendidikan. Bahasa Inggeris itu menjadi tembok yang akan memisahkan mereka daripada pendidikan. Ilmu yang terkepung dalam bahasa Inggeris itu tidak akan sampai kepada mereka.

Rakyat luar bandar, rakyat dalam estet, dan rakyat dalam kawasan pinggir bandar akan mengalami kesukaran yang amat sangat mempelajari bahasa Inggeris. Apabila mereka gagal, mereka akan terus disisihkan daripada hak mereka bagi menerima pendidikan.

Tiada ulasan: