Rabu, 28 Januari 2009

Diberi Betis, Hendak Paha

Catatan Mohd Isa bin Abd Razak tentang PPSMI, 001, 9 Januari 2009
Oleh Mohd Isa bin Abd Razak, 9 Januari 2009, http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/

Saya mengucapkan terima kasih kepada Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan kerana menterjemah dan menyiarkan laporan Pengerusi Parent Action Group for Education (PAGE) di blognya. Saya tidak membaca akhbar itu. Jadi, pada saya, maklumat ini baharu walaupun terlewat.

Kandungan laporan ini juga menarik. Pada saya, Ada empat sebab laporan ini menarik.
Pertama, Pengerusi PAGE yang menyokong Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) itu ialah orang Melayu. Menariknya, orang Melayu menyokong dasar yang dicipta oleh parti Melayu. Menarik juga, orang Melayu ini menjadi alat penyata hasrat (jikalau benar) orang Cina, India dan pelbagai suku kaum di tempat-tempat yang terdapat dalam laporan itu.

Kedua, dia (Pengerusi PAGE) menggambarkan bahawa ibu bapa yang menyokong PPSMI itu banyak dan menyeluruh. Jelas dinyatakan ada Cina dan India. Berdasarkan tempat, tentulah termasuk ibu bapa pelbagai suku kaum. Misalnya, di Keningau banyak Murut dan orang Penampang majoritinya Kadazan. Menariknya, respons positif itu dikatakannya daripada “ibu bapa di pekan-pekan luar bandar”. Antara pekan luar bandar itu ialah Keningau.

Ketiga, dia mengemukakan dua hujah. Hujah pertamanya, bahasa Inggeris (BI) ialah bahasa antarabangsa dan sedia menjadi bahasa sains dan matematik. Menariknya, hujah ini sama dengan hujah murid sekolah rendah dalam pertandingan bahas. Hujah keduanya, Teori Piaget mengatakan bahawa perkembangan bahasa berlaku dengan pesat antara umur dua hingga tujuh tahun. Menariknya, hujah ini tidak sah kerana yang dibincangkan ialah pembelajaran sains dan matematik – bukan pemerolehan bahasa.

Keempat, dia mengimplikasikan dua hujahnya dengan mencadangkan “kanak-kanak mula diberi pelajaran BI daripada sekolah tadika dan seterusnya.” Menariknya, perkara ini sedang berlaku. Kalau begitu, mungkin yang tersirat dalam cadangan ini ialah BI menjadi bahasa pengantar di tadika. Wah, jikalau PPSMI sekarang ialah betis, dia hendak paha!

Ada Juga Ibu Bapa Luar Bandar yang Dilaporkan Mahu Bahasa Inggeris!

Supaya kita lebih arif, ada baiknya kita melihat juga pendapat dan pendirian pihak yang menyokong bahasa Inggeris.

Disadur dan diterjemahkan daripada laporan NOOR AZIMAH ABDUL RAHIM, Pengerusi, Parent Action Group for Education (PAGE), Kuala Lumpur dalam NST Online, 2008/12/15.

Parent Action Group for Education (PAGE) mahu menjelaskan bahawa kami tidak hanya mewakili ibu bapa yang mempunyai anak-anak di sekolah-sekolah bandar, tetapi juga ibu bapa dan guru luar bandar, yang menyokong dasar sekarang.

Kami mendapat respons positif daripada ibu bapa di pekan-pekan luar bandar seperti Keningau, Penampang dan Tawau di Sabah, Long Lama (Sarawak), dan pekan kecil seperti Kodiang (Kedah), Bukit Baru (Melaka), Tampin (Negeri Sembilan), Beserah, Kuala Lipis dan Jengka (Pahang), Kuala Kangsar (Perak), Bukit Keteri (Perlis), Bukit Mertajam (Pulau Pinang), Jeli (Terengganu (seperti dalam teks asal)) dan Pengkalan Chepa (Kelantan).

Umpan balik positif ini tidak datang daripada ibu bapa yang mempunyai anak di Sekolah Kebangsaan sahaja, tetapi ramai juga daripada sekolah Cina dan Tamil.

Ramai mereka menyatakan sebab utamanya adalah kerana bahasa Inggeris itu sudah menjadi bahasa Sains dan Matematik, dan juga bahasa Inggeris itu adalah bahasa antarabangsa dan bahasa perdagangan. (Hujah 1: (a) BI bahasa sains dan matematik; (b) BI bahasa antarabangsa.)

Generasi akan datang ini mesti menguasai bahasa Inggeris secepat mungkin. Ini adalah kerana Teori Perkembangan Kognitif yang dihasilkan oleh Piaget mengatakan bahawa perkembangan bahasa berlaku dengan pesat antara umur 2 hingga 7 tahun. (Hujah 2: Teori Piaget) Selepas itu upaya belajar bahasa menurun secara mendadak.

Oleh yang demikian, kami mencadangkan kanak-kanak mula diberi pelajaran bahasa Inggeris daripada sekolah tadika dan seterusnya. (Implikasi hujah: BI bermula di tadika.) Sekiranya mereka bermula pada tahap sekolah menengah maka pada kebanyakan mereka ini sudah terlambat.

Page ingin menyatakan bahawa kami bersuara untuk semua ibu bapa yang menyokong dasar ini.

Parent Action Group for Education dapat diterjemahkan sebagai “Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Demi Pendidikan

Tiada ulasan: