Rabu, 28 Januari 2009

Persoalan Sains dan Matematik di Sekolah

Oleh Baha Zain, 20 Ogos 2008

Isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) masih diperbincangkan. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) akan mengatur Persidangan Meja Bulat pada 27 Ogos dan mengundang sejumlah wakil-wakil NGO's untuk memberi pandangan masing-masing.

Baguslah KPM bertindak demikian kerana ini isu yang besar dan mempunyai implikasi politik serta kesan yang jauh dalam kehidupan generasi akan datang. Jangan lagi berulang keputusan yang bersifat kuku besi memaksa tanpa dirujuk kepada rakyat atau kelompok yang prihatin sewaktu PM mengarahkan PPSMI pada 2003.

Tentang isu yang sama Tun Dr .Mahathir dalam blognya chedet.com pada 10 Ogos telah mempertanggungjawabkan keputusannya itu dengan memberi alasan yang kira-kira boleh dirumus begini:

* Dia mahu bangsanya kuat dan boleh bertanding dengan negara-negara maju.

* Untuk tujuan itu dia mahu memperhebat penguasaan ilmu oleh bangsanya.

* Ilmu Sains dan Matematik sangat penting bagi kemajuan ilmu pengetahuan sesuatu bangsa.

* Untuk segera menguasai ilmu-ilmu baru serta ilmu Sains dan Matematik gunakan bahasa Inggeris.

* Bahasa Inggeris memiliki segala macam ilmu.

*Terjemahan ke dalam bahasa Melayu lambat dan terbatas.

* Untuk segera mencapai matlamat strategi ini gantikan bahasa Melayu sebagai pengantar dalam Sains dan Matematik dalam kelas tahun satu, dan tingkatan satu mulai tahun 2003.

* Mereka yang menentang keputusannya ini hanya mengutamakan bahasa Melayu sahaja dan tidak boleh mendakwa sebagai pejuang bangsa dan agama.

Mereka tidak faham akan makna nasionalisme yang sebenar atau tanggungjawab orang Islam terhadap agama mereka.

Saya berharap saya berlaku adil merumuskan pandangan Tun Mahathir seperti di atas, dan tidak salah mentafsirkannya.

Berdasarkan kenyataan di atas kita patut puji niat dan impian Tun Mahathir. Tak mungkin ada nasionalis yang tak mahu bangsanya kuat dan setanding dengan bangsa-bangsa lain. Juga tak ada sesiapa yang sihat akalnya menganggap ilmu tidak penting.

Sehingga hari ini masih tak terbukti ada nasionalis atau pejuang-pejuang bahasa kebangsaan yang mengatakan bahasa Inggeris tidak penting sehingga mengutamakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda sahaja. Kalau ada sesiapa yang berkata begitu, ia adalah suatu fitnah.

Sekali baca hujah atau alasan-alasan Tun Mahathir nampak meyakinkan dan mudah difahami, dan tidak susah diikuti jalan fikirannya. Tetapi apabila diteliti secara mendalam, apa implikasinya, dan cara pelaksanaannya, maka jalan fikiran Tun Mahathir adalah simplistik, tidak berpandangan jauh dan tidak bijaksana.

Selain itu dia berfikir secara hitam putih (binary), iaitu sesiapa yang menentang penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik, bererti mereka mengutamakan "penguasaan bahasa ibunda sahaja". Ini tidak benar kerana yang ditentang ialah penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar menggantikan bahasa Melayu dalam Sains dan Matematik. Bukan bahasa Inggeris per se yang ditentang.

Keputusan dan pelaksanaan PPSMI tersebut pada 2003, dilakukan secara tergesa-gesa selepas diumumkan pada September 2002 . Pada mulanya dijelaskan untuk memperkukuh kemahiran bahasa Inggeris, dan kemudian konon untuk mengajar konsep-konsep sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.

Kedua-dua alasan ini tidak betul kerana untuk meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris harus diajar subjek itu dengan sempurna, dan untuk mengajar konsep atau idea Sains dan Matematik kepada kanak-kanak pada awal zaman persekolahan adalah lebih berkesan melalui bahasa ibunda masing-masing.

Semua ini menunjukkan tidak jelas serta tidak kukuh rationale bagi PPSMI ini kerana andaian atau premis bagi keputusannya sering berubah-ubah. Ia membuktikan pemikiran yang terperinci tidak diberikan bagi memahami masalah pelaksanaannya serta kesan-kesan positif dan negatif yang timbul dalam jangka pendek dan panjang .

Apabila kita bercakap tentang ilmu pula, kita tidak hanya memikirkan ilmu Sains dan Matematik dan ilmu-ilmu lain yang berasaskan Sains dan Matematik saja. Ilmu itu sangatlah luasnya dan bukan yang bersifat kuantitatif saja. Bangsa kita harus berimbang rohani dan jasmaninya, kebendaan dan akhlaknya, kebebasan dan patriotismenya, dunia dan akhiratnya. Ilmu-ilmu sains sosial, kemanusiaan, falsafah, estetika, etika, sejarah, undang-undang, agama dan sejumlah yang lain adalah juga penting bagi kehidupan jasmaniah dan rohaniah yang berimbang.

Dalam zaman globalisasi sekarang bahasa Inggeris itu memang penting dan harus kita kuasai. Kita juga perlu insaf bahasa Inggeris itu pula bukan segala-galanya. Tidak semua keperluan ilmu dapat diberikan olehnya. Bahasa Jerman, Perancis, Mandarin, Jepun, Sepanyol, Rusia dan Arab juga memiliki khazanah dan ilmu yang kita perlukan bagi kekuatan bangsa.

Dalam waktu yang sama kita harus juga fikirkan kepentingan bahasa Melayu bagi kesinambungan nilai-nilai dan jati diri bangsa kita. Kalau kita abaikan kita akan ditelan oleh proses globalisasi yang didominasi oleh bahasa Inggeris dan agenda Amerika yang hendak menyebarkan fahaman demokrasi dan hegemoninya ke atas dunia Islam dan negara membangun.

Maka di sinilah diperlukan suatu dasar pendidikan yang membolehkan kita melalui bahasa menyerap kekayaan ilmu dari dunia luar dan dalam waktu yang sama memelihara kelangsungan sosial dan budaya bangsa.

Bagaimanakah ikhtiar kita untuk memanfaatkan bahasa-bahasa antarabangsa dan membina bahasa kebangsaan kita dalam satu sistem yang menang-menang dan tidak membantutkan bahasa Melayu dalam perkembangannya sebagai bahasa ilmu yang moden. Ini persoalannya.

Usaha terjemah menterjemah melalui tenaga profesional manusia dan melalui bantuan komputer harus dijadikan suatu agenda besar negara bagi tujuan memperkaya ilmu dan bahasa kebangsaan. Mengadakan dua atau tiga ratus tenaga penterjemah yang ahli dalam bahasa Perancis, Jerman, Jepun, Mandarin, Sepanyol, Itali, Arab dan Rusia bukanlah suatu kemewahan, tetapi adalah suatu keperluan yang mendesak untuk digembleng dalam sebuah institusi atau akademi yang moden.

Kalau kita boleh bina KLCC, Putrajaya, dan Litar Formula One, adalah aneh kalau kita menganggap cita-cita ini tidak penting. Sudah tiba waktunya kita memikirkan pembangunan literasi dan akal budi bangsa kita sama pentingnya dengan pembinaan prasarana ekonomi. Di tengah-tengah sekalian pembangunan itu adalah pembangunan manusia.

Di sinilah Dasar Pendidikan, Dasar Kebudayaan dan Dasar Ekonomi harus berhubung kait antara satu dengan yang lain.

***

Isu besar akibat PPSMI ini ialah bukan saja kemerosotan pelajaran ratusan ribu pelajar, terutama anak-anak Melayu di luar bandar, tetapi juga akan hancurnya bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Kita tidak menyedari bahawa bahasa Melayu itu dari segi jumlah penutur dan kekuatan ekonomi di belakangnya adalah antara kelompok 10 bahasa terbesar di dunia.

Dengan pelaksanaan PPSMI ini bererti kerajaan kita melakukan serangan terhadap bahasa Melayu; dan dalam beberapa tahun lagi akan membunuhnya sebagai bahasa ilmu di Malaysia.
Siapakah yang berani mengaku bertanggungjawab? Siapakah sekarang yang harus bertanggungjawab membetulkan semula kesalahan yang berlaku?

Tiada ulasan: