28 Julai 2008
Assalamualaikum.
Yang Berbahagia Dato’ Haji Alimuddin bin Mohd Dom.
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.
Isu Bahasa Pengantar dalam Sains dan Matemartik
Diucapkan setinggi terima kasih atas kesudian Dato’ mempelawa sesiapa yang berhasrat menyampaikan pandangan tentang soal “Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)”, untuk dihantar melalui alimuddin.dom@moe.gov.my, seperti yang tersiar dalam akhbar Sunday Star, 20 Julai 2008.
Ini adalah suatu tindakan demokratik yang sangat baik supaya pihak kerajaan dapat mengetahui pelbagai pendapat untuk nanti membuat keputusan matang dan bijaksana kerana isu ini bukan hanya menyangkut masalah bahasa dan pendidikan sahaja, tetapi agenda negara yang lebih besar, iaitu pembangunan akal budi, tamadun, jati diri dan perpaduan bangsa yang berasaskan tradisi setempat dan sejarah perjuangan kemerdekaan. Selain itu keputusan yang akan dibuat, mahu tidak mahu, akan ada implikasi politiknya.
Keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri Malaysia pada 2002, dan dilaksanakan melalui Menteri Pelajaran, dan Ketua Pengarah Pelajaran (almarhum) pada 2003 sangat bersifat authoritarian, dan tidak menghormati perjuangan kemerdekaan bangsa kerana pendaulatan bahasa Melayu adalah salah satu landasan perjuangan kemerdekaan. Itulah juga sebabnya Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai badan perancangan dan pembangunan bahasa, ditubuhkan (1956) setahun lebih awal sebelum kemerdekaan diisytiharkan (1957).
Apa pun alasan dan agenda yang terselindung di sebalik tindakan yang tidak boleh dianggap beretika itu (kerana rakyat tidak dirunding dahulu dalam soal yang besar ini) ia adalah suatu diskriminasi terhadap orang Melayu sendiri yang telah bermati-matian pada zaman penjajahan memperjuangkan kedaulatan bahasa Melayu.
Selain itu sejak tahun 1970-an lagi bahasa ini sudah menjadi bahasa pengantar ilmu pengetahuan dengan jayanya sehingga jutaan ilmuwan, profesional dan cendekiawan dikeluarkan dan menjadi modal insan yang membangunkan pendidikan, pentadbiran, kebudayaan dan ekonomi negara.
Sehingga ini alasan-alasan dan hujah yang dikeluarkan sangatlah kabur dan mengelirukan rakyat.
Pada mulanya PPSMI ini dikatakan bertujuan untuk memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris. Ini adalah alasan yang cetek dan telah dikritik kerana ia bukanlah pendekatan yang berkesan dan masuk akal untuk mencapai tujuan tersebut.
Kemudian diterangkan bahawa ia bertujuan untuk menerangkan konsep sains dan matematik. Alasan ini lebih lemah kerana untuk tujuan itu mengajar melalui bahasa Melayu atau bahasa ibunda adalah lebih mesra pelajar, lebih berkesan dan lebih difahami.
Setelah demikian ramai individu serta organisasi menyatakan bantahan dengan hujah yang objektif, dan juga beberapa penyelidikan ilmiah dikemukakan untuk membuktikan kesan negatif PPSMI terhadap pelajar, Alhamdulillah, pihak kerajaan mengeluarkan kenyataan bahawa ketetapan akan diputuskan selepas keputusan UPSR 2008.
Pengumuman tersebut namun menimbulkan anggapan bahawa keputusan UPSR akan menjadi asas pertimbangan untuk sama ada meneruskan atau menamatkan amalan yang diperkenalkan sejak 2003. Terakhir YB Menteri pelajaran menafikannya kerana yang dimaksudkan ialah hanya selepas ujian itu baru diumumkan keputusan kerana kerajaan memerlukan waktu untuk menyelesaikan sesi rundingan meja bulat tentang isu ini.
Kalau disoroti kembali sekalian keterangan dan kenyataan yang kabur, dan mengelirukan itu jelas bahawa banyak sekali andaian atau premis fikiran yang berubah-ubah sehingga telah berlaku krisis epistemologi dalam usaha menghuraikan kebijaksanaan pendidikan dan kebahasaan yang sangat penting ini.
Saya menerima baik penjelasan Menteri Pelajaran di atas (lihat Sunday Star, 20 July , 2008) bahawa UPSR bukanlah asas untuk memutuskan sama ada PPSMI diteruskan atau tidak kerana ia tidak relevan sama sekali dengan isu bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu sesuai dengan statusnya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, dan akta-akta tertentu.
Isu pokok dan paling dasar ialah amalan yang diperkenalkan mulai 2003 dalam Tahun Satu dan Tingkatan Satu itu sedang menghapuskan status dan fungsi Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pada masa depan. Apabila sampai ke sekolah menengah lebih 70 peratus mata pelajaran yang berasaskan sains dan matematik akan diajar dalam bahasa Inggeris.
Akibat sangat buruk seterusnya daripada amalan itu ialah akan terbantut perkembangan persuratan, wacana ilmiah dan intelektual, kesenian dan kebudayaan Melayu Islam yang menjadi teras keperibadian dan pola-pola kehidupan umat Melayu Islam di negara ini.
Bahasa Melayu sebagai wadah emosi dan akal, nilai-nilai dan pandangan dunia terhadap kehidupan dan agama tidak boleh dipisahkan, malahan aspek yang sangat penting bagi kebudayaan Melayu. Jadi keputusan menyingkirkan kedudukan dan fungsi Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara sekarang ini adalah satu serangan terhadap kebudayaan Melayu yang sepatutnya menjadi asas kepada kebudayaan kebangsaan.
Selain itu ia boleh ditafsirkan sebagai tindakan diskriminasi songsang (reverse discrimination) yang dilakukan oleh pemimpin politik dan pemimpin pendidikan Melayu terhadap bangsanya sendiri.
Perlu juga ditegaskan bahawa pendapat dan pendirian yang dikemukakan di sini tidak sama sekali menentang usaha kementerian untuk meningkatkan kemahiran ( membaca, bertutur, menulis dan menterjemah) melalui bahasa Inggeris atau melalui mana-mana bahasa lain pun.
Persoalan ini tidak timbul kerana kebolehan berkomunikasi dalam bahasa-bahasa antarabangsa adalah satu aset penting bagi membina modal insan yang moden. Hanya ia tidak layak mengambil alih tempat bahasa kebangsaan dalam sistem pendidikan negara sebagaimana juga yang diamalkan di negara-negara maju lain.
Jadi sangatlah penting dipisahkan masalah penguasaan bahasa Inggeris daripada isu status Bahasa Melayu yang terjejas pada hari ini. Maka dengan hormat serta harapan yang tinggi kami memohon masalah yang rumit dan boleh berpanjangan ini akan diselesaikan segera dengan mengembalikan bahasa Melayu kepada tempatnya yang sah sebagai bahasa pengantar matematik dan sains.
Hanya sekian, dan salam hormat daripada saya.
Baha Zain
Timbalan Presiden .
Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan