Rabu, 28 Januari 2009

Jawapan Mahathir Terhadap PPSMI - Balasan Shaharir

Jawapan Mahathir Terhadap PPSMI - Balasan Shaharir
Super Admin, 14 November 2008 10:12

(Pandangan Dr. Mahathir ini dipetik daripada blognya sendiri yang saya disedari adanya pada 23/08/08. Untuk memudahkan pembaca, pandangannya dipaparkan kembali satu persatu di sini dan pandangan balas saya terus diberikan perkara demi perkara itu.

*Shaharir bin Mohd Zain ialah mantan Profesor Matematik Fizik, UKM & dan Mantan Profesor Matematik UMT.)

Mahathir 1: Saya mengaku bertanggungjawab berkenaan mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Kerana itu ramai yang menuduh saya tidak bersemangat kebangsaan Melayu, tidak utamakan bahasa saya.

Shaharir 1:

Pertama: Maknanya dasar beliau itu tidak mendapat persetujuan sepenuhnya daripada UMNO!

Kedua: Memang beliau wajar menerima tuduhan yang disebutkannya itu kerana jelas makna “semangat kebangsaan” beliau berbeza daripada kebanyakan orang; dan makna “utamakan bahasa” beliau juga amat berbeza daripada sesiapa pun. Beliau suka memutarbelitkan isu dengan ayat logik yang betul tetapi berimplikasi kabur dengan harapan orang terperangkap. Umpamanya “semangat kebangsaan ialah semangat yang mengutamakan bangsa” tetapi beliau menterbalikkannya “orang yang tidak mengutamakan bangsa ialah orang yang tidak bersemangat kebangsaan”. Lojiknya betul tetapi beliau menyelewengkan makna “bangsa” pula kerana beliau tidak menerima “bahasa menunjukkan bangsa” atau lebih dalam lagi “bahasa jiwa bangsa”.

Lagi satu, “Orang yang mengutamakan bahasanya bermakna bahasa lain berada di tangga bawah”, atau terbaliknya “Orang yang tidak meletakkan bahasa lain di tangga bawah bermakna orang itu tidak mengutamakan bahasa sendiri”; tetapi Dr. Mahathir lari daripada dua-dua bentuk ayat yang secara lojiknya betul ini dengan mengatakan “Orang yang ingin menguasai bahasa lain tidak bermakna dia tidak mengutamakan bahasanya sendiri”. Betul, tetapi dia menutup orang menumpukan kepada cara menguasai bahasa lain itu, sedangkan cara itu kalau salah, seperti yang dilakukannya itu, jelas bukan sahaja tidak mengutamakan bahasa sendiri tetapi menyisih, mengembiri atau mematikan langsung bahasa sendiri.

Inilah sebenarnya cara beliau dalam dasar pendidikan beliau yang tidak membenarkan bahasa sendiri digunakan dalam Sains dan Matematik itu kerana dasar beliau itu menjadikan lebih daripada 60% peratus pelajar sekolah berada di aliran Inggeris (lebih drp 70% subjek bagi pelajar aliran sains menjadi dalam bahasa Inggeris). Beliau Berjaya mengalih pandangan orang kepada hakikat ini.

Sumber: Prihatin. Muat turun buku Mengapa Kami Bantah! cetakan pertama, percuma! Klik pautan yang berkenaan.

Baca sambungannya di http://www.scribd.com/doc/11451268/PPSMI-Jawab-Mahathir-Shahril

Tiada ulasan: