Ulasan Dato’ Baha Zain terhadap Penjelasan Mahathir tentang PPSMI
Tun Dr. Mahathir telah menulis tentang, “Mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris,” dalam blognya, chedet.com, pada 10 Ogos, 2008. Tulisannya panjang juga, merangkumi 22 perenggan, bagi menjelaskan kenapa beliau memutuskan supaya Sains dan Matematik diajarkan dalam bahasa Inggeris sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri.
Sangatlah penting beliau memperjelas dirinya kerana isu kebahasaan dan pendidikan ini bukan isu kecil, dan keputusan Tun Mahathir mengetepikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam mata pelajaran sains dan matematik sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri adalah suatu keputusan yang membawa kesan sejarah yang buruk terhadap:
(a) kedudukan Bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu;
(b) Pendidikan pelajar-pelajar di sekolah rendah dan menengah; dan
(c) Jati diri dan tamadun bangsa yang menghadapi cabaran globalisasi yang didominasi oleh nilai-nilai moral, kebebasan dan kapitalisme Barat.
Kesediaan Tun mengaku bertanggungjawab dalam keputusan ini sangat dipuji kerana sebagai bekas Perdana Menteri beliau mesti berani dan jujur mengakui tindakannya sama ada baik atau buruk akibatnya. Sikap ini tidak ternampak pada ramai bawahannya dahulu yang terang-terang menyuarakan sokongannya terhadap Tun dalam tindakan menggantikan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Sekarang mereka bungkam seolah-olah menyorokkan muka kerana Tun tidak lagi mempunyai kuasa dan pengaruh dalam kerajaan.
Oleh sebab saya antara yang tersangat tidak setuju dengan keputusan Tun, dan telah banyak kali mengkritik beliau dengan keras, saya berminat mengulas keterangannya tentang topik ini. Setelah membacanya saya menjadi bertambah yakin bahawa kritikan saya terhadapnya sebelum ini tidak meleset kerana apa yang diterangkannya kali ini tidak juga memberikan alasan-alasan serta hujah yang baik dan meyakinkan bagi mengubah penentangan masyarakat terhadap penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar wajib dalam sains dan matematik di sekolah.
Adalah penting dalam soal kebudayaan dan tamadun bangsa, kita tidak berfikiran taasub, memutar belitkan alasan dan hujah, tetapi berusaha mencari pencerahan fikiran, terutama apabila menginsafi bahawa bahasa Melayu bukan hak milik seorang pemimpin, seorang individu atau sekumpulan elit politik, tetapi warisan kolektif suatu bangsa.
Baca seterusnya di http://www.scribd.com/doc/11450944/PPSMI-Sanggahan-Baha-Zain-Terhadap-Tulisan-Mahathir
Tiada ulasan:
Catat Ulasan