Thursday, December 25, 2008, http://igpis.blogspot.com/
Mendesak PPSMI Dihentikan Adalah Satu AGENDA UMMAH
Usaha untuk menghentikan pelaksanaan dasar PPSMI bukan sekadar isu biasa, sebaliknya harus dipandang serius dan dinilai sebagai satu AGENDA UMMAH. Perjuangan mendesak PPSMI dihentikan harus digalasi oleh semua umat Islam di Malaysia.
Hal ini demikian pelaksanaan PPSMI dilihat mengundang bencana besar terutama kepada ramai kalangan pelajar Melayu Islam. Antara kesan pelaksanaan PPSMI ialah
1. Merudumkan penguasaan pelajar Melayu Islam dalam bidang matematik dan sains.
Jika dilihat sebelum pelaksanaan PPSMI, pelajar kita sudah sedia lemah dalam menguasai dua subjek penting tersebut dan berada agak terbelakang berbanding dengan pelajar dari bangsa lain. Lebih mendukacitakan kelemahan menguasai dua subjek tersebut bukan sahaja berlaku dalam kalangan pelajar Melayu Islam luar bandar malah juga di bandar. Kini apabila pengajaran dan pembelajarannya ditukar kepada bahasa Inggeris, menyukarkan lagi penguasaan mereka dalam subjek tersebut.H
asilnya umat Islam di Malaysia pada masa depan bakal mengalami ketandusan sedikit demi sedikit pakar-pakar dalam bidang matematik dan sains. Kursus penting seperti perubatan dan kejuruteraan di IPTA dan IPTS hanya akan didominasi oleh mahasiswa dari bangsa lain lantaran pelajar Melayu Islam tidak mempunyai kelayakan yang cukup untuk memohon kursus tersebut. Akhirnya, pada masa hadapan kita sukar sekali dapat melihat umat Melayu Islam tampil menjadi golongan professional di Malaysia.
2. Menggelapkan masa depan pelajar Melayu Islam di kawasan luar bandar dan masyarakat orang asli di pedalaman.
Kesan kesukaran mempelajari subjek matematik dan sains paling dirasai oleh golongan ini kerana mereka memang benar-benar bergantung pada guru mereka di sekolah untuk belajar subjek tersebut. Berbanding pelajar yang tinggal bandar, mereka berpeluang untuk mendapatkan tuisyen selepas waktu sekolah. Selain itu juga, rata-rata mereka terdiri daripada keluarga yang berpendidikan. Justeru, mereka masih dapat mengulang kaji pelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris dengan bantuan ibu bapa mereka.
Namun, kebanyakan ibu bapa pelajar yang tinggal di luar bandar terdiri dari petani dan peniaga kecil. Mereka tidak dapat membantu secara langsung anak-anak mereka. Mereka juga sukar untuk mendapatkan tuisyen tambahan. Maka mereka akan terus ketinggalan dalam subjek Matematik dan Sains sekali gus menjejaskan keputusan peperiksaan mereka.
Kesannya, kebanyakan pelajar Melayu Islam yang tinggal di luar bandar hanya akan layak melanjutkan pelajaran dalam kursus yang tidak popular di universiti. Risiko dari tindakan ini berlakulah gejala pengangguran.
3. Mengikis keyakinan dan jati diri pelajar Melayu Islam.
Mereka seolah-olah didoktrinkan kejayaan hanya akan dicapai apabila kita mengikut cara Barat termasuklah untuk menuntut ilmu. Sedangkan Jepun, Perancis dan Jerman tetap maju walaupun menggunakan bahasa mereka sendiri.Antara kejayaan penjajah semasa menjajah sesuatu bangsa itu adalah dengan memadamkan keyakinan diri bangsa yang dijajah. Bangsa tersebut menjadi tidak yakin dengan kemampuan yang mereka miliki termasuklah untuk menggunakan bahasa ibunda mereka sendiri.
Kesan untuk jangka panjang, pemikiran pelajar Melayu Islam akan berkiblatkan barat dan tiada lagi keyakinan terhadap jati diri mereka sebagai bangsa Melayu yang beragama Islam. Perkara ini amat ditegah dalam Islam. Firman Allah:"Dan bahawa inilah jalanku yang lurus, maka ikutilah ia dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain) kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu bertakwa." (Al-An’am: 153)
Peranan Kita Mahasiswa Islam IPG
1. Menulis dan menghantar tulisan demi tulisan pada KPM, akhbar dan majalah yang mendesak supaya dasar PPSMI ini dihentikan. Jangan mengharapkan orang lain melakukannya tetapi sepatutnya kita. Tulislah walaupun sekadar mengolah isi yang sama kerana usaha ini amat memberi kesan.
2. Menerangkan kepada rakan-rakan di IPGM masing-masing tentang dasar PPSMI dan kesan buruk pelaksanaannya melalui sebaran artikel dan berusaha menjadikannya isu PPSMI ini antara “topik sembang” dalam kalangan rakan-rakan.
3. Menyokong usaha yang dilakukan oleh mana-mana individu atau kumpulan yang memperjuangkan supaya PPSMI dihentikan.
4. Memohon dan bermunajat kepada Allah SWT supaya Allah membantu dalam merealisasikan hasrat kita.KesimpulanJusteru, seluruh Mahasiswa Islam IPG harus segera sedar akan realiti dasar PPSMI ini. Kita bukanlah menentang bahasa Inggeris. Namun, cara untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar adalah dengan memperkasakan subjek bahasa Inggeris dan bukan mengaplikasikan dasar PPSMI ini.
Kita selaku Mahasiswa Islam IPG yang terlibat secara langsung dalam dunia pendidikan di Malaysia seharusnya kita adalah komuniti yang lebih lantang dan sensitif dalam sesuatu isu pendidikan negara. Sudah tiba masanya kita maju setapak ke hadapan untuk lebih berani dalam menyatakan pendirian dan memunggah idealisme mahasiswa kita ke tengah masyarakat.
Secara kesimpulannya, usaha mendesak dasar PPSMI dihentikan harus dilihat sebagai satu agenda ummah. Semoga atas nawaitu ini, segala usaha ke arahnya akan diterima sebagai amal kebajikan di sisi Allah SWT. Firman Allah: "Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. " (At-Taubah: 111)Artikel disumbangkan oleh:Muhammad Ehsan bin Abd. HalimPISMP-IPGM Sains IP Ipohhttp://ehsanhalim.blogspot.com/
Posted by Ikatan Guru Pelatih Islam Se-Malaysia at 10:15 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan