Jumaat, 23 Januari 2009

Gapena Ikut-ikut Bantah (Lambat Sangat!)

Gapena Tegas Membantah PPSMI

KUALA LUMPUR 12 Disember 2008 (Utusan Malaysia) Kerajaan digesa tidak meneruskan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kerana ia dilihat tidak adil bagi pelajar sekolah terutamanya di luar bandar.

Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein berkata, pelaksanaan PPSMI akan mewujudkan jurang besar dari aspek prestasi pelajar sekolah luar bandar berbanding mereka di bandar.

Beliau berkata, kerajaan sepatutnya memberi penekanan yang berbeza terhadap kemahiran bahasa Inggeris pelajar sekolah di luar bandar dan di bandar kerana mereka diketahui kurang mendapat pendedahan.

“Ada cara untuk kita mempertingkatkan kekuatan bahasa kedua itu di kalangan pelajar dan yang pasti PPSMI bukan satu cara yang efektif,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ismail mengulas mengenai pelaksanaan PPSMI dan pendirian Gapena yang membantah sekeras- kerasnya sekiranya kerajaan mengambil keputusan untuk meneruskannya pada masa akan datang.

Katanya, Gapena tidak bersetuju dengan pelaksanaan PPSMI yang dilihat mampu mengetepikan martabat bahasa kebangsaan serta melanggar Perlembagaan negara.

“Saya berasa tidak adil dan kasihan kepada anak-anak Melayu di luar bandar. Sudahlah mereka lemah dalam Matematik dan Sains, kini ia menjadi lebih susah untuk mereka apabila PPSMI dilaksanakan.

“Ini sudah tentu akan memberi kesan buruk kepada mereka. Harus ada cara yang lebih baik untuk membantu,” katanya.

Menurut beliau, Gapena sendiri akan memainkan peranan bagi membantu golongan pelajar terutama di luar bandar memperkukuh bahasa Inggeris mereka tanpa perlu memberi penekanan terhadap penggunaannya dalam mata pelajaran Matematik atau Sains.

“Kita ada kepakaran. Kita setuju apabila ada cara untuk mempertingkatkan kemahiran bahasa Inggeris di kalangan pelajar tetapi bukan dengan pelaksanaan PPSMI. Ia harus diasingkan,” katanya.

Beliau berkata, Gapena akan menentang habis-habisan walaupun ada cadangan untuk melaksanakan pengajaran bahasa Inggeris di dalam mata pelajaran lain.

Tiada ulasan: