PPSMI: Gapena Beri Kerajaan Tempoh Sehingga 31 Disember
24 Disember, 2008 00:59 AM
KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) memberi tempoh sehingga 31 Disember ini untuk kerajaan membuat keputusan sama ada mahu meneruskan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik (PPSMI) ke Bahasa Inggeris atau sebaliknya.
Ketua II Gapena Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar berkata gabungan itu mahu supaya kerajaan bertegas dan mengambil kata putus dalam isu berkenaan secepat mungkin.
"Menteri Pelajaran boleh cakap kami beremosi. Hakikatnya kami memang beremosi, tetapi ini ialah demi mempertahankan martabat bahasa Melayu seperti yang terkandung di bawah Perlembagaan," katanya pada pemberita selepas majlis makan malam Gapena bersama media, di sini, malam ini.
Gapena sebelum ini mendesak kerajaan supaya membuat keputusan untuk menukar kembali pengajaran dan pembelajaran kedua-dua subjek itu kepada bahasa Melayu.
"Kami bersedia untuk mengambil tindakan tegas termasuk membawa perkara ini ke mahkamah," katanya.
Majlis itu turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Datuk Kamaruddin Siaraf.Pada majlis yang sama, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) dan akhbar Utusan Malaysia menerima anugerah sulung Anugerah Citra Gapena. -- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan