Isu PPSMI: Pemuda PAS Sokong Gapena Ambil Tindakan Undang-undang
Oleh Zanariah Abd Mutalib, Rabu Disember 24, 2008, mStar
PETALING JAYA: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP) hari ini menyokong tindakan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) yang akan mengambil tindakan mahkamah terhadap Kementerian Pelajaran Malaysia sekiranya meneruskan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik.
Ketua Penerangan DPP, Suhaizan Kaiat berkata, tindakan Gapena untuk mengambil tindakan itu amat wajar kerana sudah sampai masanya individu dan badan bukan kerajaan (NGO) memperkukuh hubungan, merangka pelan tindakan bersama dan melangkah tahap kedua bantahan ini.
"Sebelum ini Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, seorang peguam kanan telah menyatakan bahawa pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) bercanggah dengan undang-undang negara.
"Kementerian Pelajaran telah menganjurkan persidangan meja bulat kononnya untuk mendapatkan maklum balas daripada semua pihak. Malangnya tujuh pilihan yang dirumuskan pada 16 Disember lalu itu kabur dan mengelirukan sehingga menyusahkan ibu bapa dan para pelajar selepas ini," katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau berkata, beratus-ratus bantahan juga telah dibuat melalui persidangan dan kenyataan media daripada pelbagai golongan dan ramai individu. Bagaimanapun, kerajaan khususnya Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tidak langsung menunjukkan langkah positif ke arah mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu.
Suhaizan berkata, PAS sangat tegas dalam memperjuangkan isu bahasa Melayu ini termasuk telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Januari 2006 yang mana kes itu kini masih berjalan.
"Bagi mengajar orang-orang politik, pendekatan sekadar bantahan tidak menggugat undi mereka dalam pilihan raya umum atau pemilihan dalam perhimpunan agung parti mereka, selagi itulah mereka tidak berganjak.
"Bagaimanapun, mereka cukup cemas jika ada individu dan NGO yang berani," katanya.
Beliau berkata, tidak mustahil Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) digunakan bagi mereka yang membantah PPSMI kerana tindakan ini boleh menggugat kerajaan.
"Selain itu, kerajaan akan menggunakan semua kekuatan media dan akta-aktanya untuk menekan para pejuang ini," katanya.
Gapena semalam memberi tempoh sehingga 31 Disember ini untuk kerajaan membuat keputusan sama ada mahu meneruskan PPSMI ke Bahasa Inggeris atau sebaliknya.
Mereka sebelum ini mendesak kerajaan supaya membuat keputusan untuk menukar kembali pengajaran dan pembelajaran kedua-dua subjek itu kepada bahasa Melayu dan bersedia membawa perkara ini ke mahkamah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan