Jumaat, 23 Januari 2009

PPSMI demi Masa Depan Anak Bangsa?

Debat PPSMI: Bersediakah Hishammuddin Bertemu Tun Abdul Rahman Yaakob?
Ali Bukhari Amir, 24 Disember 2008

Baru-baru ini, Menteri Pelajaran Hishammuddin Tun Hussein mula menunjukkan maklum balasnya berhubung ugutan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) melalui kenyataan Ketua Satu pertubuhan itu, Tan Sri Pendeta Ismail Hussein.

Akhbar melaporkan kenyataan Hishammuddin sebagai: "Ugutan Gapena untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap Kementerian Pelajaran tidak membantu kerajaan mencapai keputusan terbaik berhubung isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)."

Hishammuddin dilaporkan berkata, tindakan itu bukan sahaja tidak membina malahan menyulitkan pihak kementerian membuat keputusan demi masa depan anak-anak bangsa.

Dengan tiba-tiba, Hishamudin mengeluh bahawa tindakan Gapena tidak banyak membantu kerajaan. Soalan yang amat penting ialah, adakah dasar PPSMI itu banyak membantu Hishammuddin dan para pelajar selama ini?

Sebenarnya, PPSMI itu sendiri adalah bebanan paling besar daripada Tun Dr Mahathir yang kini terhempap ke atas pundak Kementerian Pelajaran itu.

Hishammuddin pun tidak berani mengaku bahawa PPSMI itu menyusahkannya.

Kenyataan Dato' Dr Zainal Abidin Borhan dalam forum anjuran Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya dan Asasi baru-baru ini telah menjelaskan keadaan sebenar yang sedang dihadapi oleh kementerian sekarang.

Peruntukan PPSMI Banyak Penyelewengan?

"Jika dibuat tinjauan dan siasatan berhubung peruntukan untuk melaksanakan PPSMI ini di sekolah-sekolah, kita menemui banyak penyelewengan," kata beliau.

Hishammuddin pasti sedar masalah ini berlaku. Tetapi, adakah laporan ke atas penyelewengan ini boleh disiarkan dalam akhbar-akhbar secara terbuka?

Ini adalah salah satu contoh yang menunjukkan PPSMI membawa kesan yang parah ke atasnya sendiri. Tetapi, Hishammuddin tentunya akan menafikan berhubung wujudnya penyelewengan-penyelewengan tersebut.

Jadi, kembali kepada tajuk bualan asal, maka sudah tentulah ugutan Gapena termasuk ancaman mahu membuat laporan polis oleh para pimpinan Gapena itu tidak banyak membantu beliau, malah ia akan semakin menyulitkan urusan Hishammuddin.

Namun, Hishammuddin perlu sedar suatu perkara. Iaitu, sama ada ugutan dan ancaman Gapena itu wujud atau tidak, hakikat bahawa PPSMI itu sebagai suatu bebanan berat yang perlu digalasnya tak boleh dinafikan lagi.

Jadi, bukan salah Gapena mengugut. Tanpa ugutan Gapena sekali pun, Hishammuddin sudah berdepan dengan masalah, inikan pula ketika beliau sedang berdepan dengan ugutan.

Tiada ulasan: