Sabtu 27 Disember 2008 28 Zulhijah 1429 Hijrah
Gapena Perlu Berani Raih Sokongan, Bantah PPSMI
Ali Bukhari Amir, Fri Dec 26, 08 8:00:14 pm MYT
Gapena mula menyinga! Kali ini, setelah lima tahun, sergahan itu ternyata agak keras sedikit tanpa berselindung. Kita hanya mampu berdoa semoga Gapena tidak hilang taringnya dalam beberapa siri gempuran yang akan datang.
Walaupun ramai yang mencemuh: "Kenapa tidak dari dahulu Gapena membantah?"
"Benarkah Gapena bersungguh-sungguh dalam memajukan bantahan ini?"
Namun, ancaman telah dilakukan. Hanya menunggu tindak balas Menteri Pelajaran.
Dan, di sana ada banyak lagi pertanyaan kepada Gapena. Pada 19 Disember lalu, ketika Dr. Abdul Latif berkata, nota ugutan dan ancaman ke atas Hishammuddin Tun Hussein akan bermula pada 15 Mac tahun depan, hati saya penuh bergelumang syak wa sangka.
"Kenapa lama sangat?" demikian saya bertanya penuh syak wa ragu-ragu pula.
"Alang-alang mahu mengancam Hishammuddin, jangan lama sangat. 40 hari cukuplah. Sebulan pun jadilah."
Sebenarnya, dalam kelemahan dan “track-record” gelap ketika memajukan bantahan PPSMI ini pun, Gapena tetap mendapat sokongan ramai pihak.
Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia (Pendidik) dengan nombor pendaftaran 1561 misalnya, telah menyatakan sokongan mereka secara terbuka kepada Gapena ini.
"Dengan ini, kami mengumumkan sokongan dan berdiri teguh bersama Gapena berhubung isu memansuhkan polisi PPSMI," kata Presiden Pendidik, Dr. Rajiee Hadi.
Sokongan Pelajar"PKPIM menyokong penuh pendirian Gapena itu dan berkongsi pendirian yang sama demi memastikan martabat bahasa Melayu terus dipertahan demi kelangsungan bangsa Melayu dan bangsa Malaysia di negara kita ini.
"Tindakan Gapena ini sebenarnya mencerminkan ketegasan badan itu untuk memastikan dasar PPSMI ini tidak diteruskan. Kerajaan tidak hak meneruskan dasar PPSMI. Hal ini jelas dalam Perlembagaan Persekutuan menerusi Perkara 152 yang menjamin bahasa kebangsaan atau bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam negara," kata Naib Presiden PKPIM Muhammad Faisal Abdul Aziz.
Beliau yang juga Pengerusi Gerakan Anti PPSMI (GAP) berkata, dasar PPSMI dianggap sebagai tidak sah, terbatal disebabkan kewujudan beberapa peruntukan dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).
"Seksyen 17(1) akta itu dengan tegas menyatakan, bahasa kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam sistem pendidikan kebangsaan.
"Sementara itu, akta itu juga memberikan definisi yang jelas kepada maksud sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan. Menurut Seksyen 2, sekolah kebangsaan ditakrifkan sebagai sekolah rendah kerajaan atau sekolah rendah bantuan kerajaan (b) yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama," kata beliau.
Sekolah menengah kebangsaan pula, tambah Muhammad Faisal, ditakrifkan sebagai sekolah menengah kerajaan atau sekolah menengah bantuan kerajaan - (b) yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama.
"Maka, kami rasa menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menguatkuasakan sepenuhnya segala peruntukan undang-undang bagi menjamin kedudukan bahasa kebangsaan dalam negara ini.
"PKPIM akan terus beriltizam dalam perjuangan menyelamatkan bahasa Melayu agar kedudukan bahasa ini terjamin dan tidak terus digugat, malah diangkat dan dimartabatkan," kata beliau.
Orang Ramai Sokong Gapena Saman KerajaanDalam pada itu, tambah Muhammad Faizal, PKPIM juga menyambut baik suara orang ramai yang diluahkan menerusi undian SMS anjuran stesen penyiaran televisyen swasta Edisi 7 pada 24 Disember lalu.
"Keputusan undian itu jelas menunjukkan bahawa, 83 peratus responden telah menyokong tindakan Gapena menyaman kerajaan jika dasar PPSMI ini diteruskan. Manakala bakinya, hanya 17 peratus sahaja yang menentang.
"Oleh itu, PKPIM turut menggesa seluruh pihak khasnya pertubuhan bukan kerajaan mencontohi ketegasan pendirian Gapena demi memastikan nasib bahasa kebangsaan tidak pupus ditelan zaman," kata beliau.
26 Disember, 7:53 p.m. Sekolah Pemikiran Kg Baru.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan