Isnin, 26 Januari 2009

Jangan Hilang Tumpuan dalam Membantah PPSMI

Jangan Hilang Tumpuan dalam Membantah PPSMI
Ali Bukhari Amir, Wed Dec 31, 08 4:00:58 pm MYT

Seorang sahabat saya, seorang guru, dengan nama pena Nizam Shah kerap melontarkan pandangannya lewat Harakah atas kebebalan parti pemerintah meneruskan PPSMI. Sebagai guru, dia tidak boleh bertindak lebih jauh daripada itu.

Tindakan tersebut amat terpuji. Soal beliau khuatir, bimbang dan risau beliau akan dapat masalah jikalau identitinya terdedah, itu satu soal lain.Yang paling penting, beliau adalah salah seorang guru yang sangat faham dengan suasana di sekolahnya sekarang dan beliau telah berjuang dengan caranya yang tersendiri menuju ke arah pemansuhan dasar yang tidak masuk akal ini.

Mutakhir ini, kita semua terkejut dengan serangan di Gaza oleh tentera biadap Israel dan diharapkan semua ini tidak akan menyebabkan tumpuan kita lari.

Dalam seminar di Pusat Dialog Peradaban tanggal 19 Disember lalu, seorang graduan membangkitkan pertanyaan tentang masalah kehilangan fokus ini dalam perjuangan memansuhkan PPSMI ini.

Hilang Tumpuan Atas PPSMI

"Kita kadang-kadang beralih-arah kepada isu ketuanan Melayu. Kita menyebut fasal 153 dab kemudiannya terlupa dan kita abaikan fasal 152 yang menyentuh kedudukan bahasa Melayu dalam perlembagaan. Saya syor kita tumpukan 152 dahulu," kata beliau.

Pandangan beliau itu dimajukan kepada Dr. Abdul Latif sebagai wakil Gapena yang turut bersetuju dengan saranan tersebut.

Sambil mengangguk-angguk atas saranan tersebut, beliau berkata, "Ya betul, memang kita lari sekejap daripada membincangkan tuntutan atas pemansuhan PPSMI ini. Saya rasa, kali ini kita tidak boleh lari lagi daripada mauduk PPSMI ini."

Kadang-kala, apa yang kita lihat ialah, wujudnya ketidakseragaman bertindak dalam memajukan bantahan terhadap sesuatu isu.

Misalnya golongan itulah yang akan berhempas-pulas menjawab isu Ketuanan Melayu, golongan itu juga membantah isu serangan Israel dan mereka jugalah yang membantah PPSMI.

Ini mungkin menyebabkan wujudnya keletihan, hilang tumpuan dan akhirnya merugikan.

Golongan-golongan yang berasakan jiwanya lebih tertumpu kepada usaha memansuhkan PPSMI sepatutnya akan hanya menumpukan usaha terus-menerus ke atas PPSMI ini dan begitulah halnya dengan kumpulan-kumpulan lain.

Sejak 2006, Encik Mohamad Nizar Jamaluddin (kini Dato' Menteri Besar Perak) melalui anak beliau telah memfailkan saman ke atas kerajaan Persekutuan berhubung isu PPSMI ini. Tapi, kenapa agaknya, kes beliau seolah-olah tenggelam dan terbenam jauh ke dasar bumi, tidak diselongkar buat pengetahuan khalayak?

Ada banyak andaian yang boleh dititipkan di sini. Salah satu andaiannya ialah mungkin kerana terlalu sibuk dengan isu-isu lain sehinggakan isu yang maha penting dewasa ini telah tertanggal daripada lipatan ingatan masyarakat.S

Sejak 2006, tidaklah diketahui sejauh manakah peranan ahli parlimen pembangkang yang aktif bertanya di Parlimen mengenai perkembangan saman ke atas kerajaan itu.

Dalam kumpulan Yahoo Groups, telah timbul desas-desus andaian dan spekulasi sama ada wujud kemungkinan pihak eksekutif (Kerajaan Persekutuan) telah mengeluarkan satu arahan ke atas mahkamah agar melewat-lewatkan proses perundangan.

Inilah yang akan terjadi apabila rakyat tak mendapat maklumat sewajarnya. Mereka akan “berjuang” menyusun andaian demi andaian, membentuk spekulasi demi spekulasi.Hanya ahli Parlimen pembangkang yang boleh menjawab hal ini, iaitu sejak 2006, sudah berapa kali pertanyaan dimajukan kepada sidang Parlimen tentang perkembangan saman sejak dua tahun lalu.

Adakah hal ini terjadi kerana individu yang sama turut terbeban dengan tugas-tugas yang lain sehinggakan mereka seolah-olah terlupa?

Dalam e-mel saya masih tersimpan catatan wawancara bersama bapa kepada para pelajar itu. Temu bual maya itu berlaku sekitar Februari 2006. (Boleh dirujuk Siasah sekitar Feb. 2006).

Tapi, ketika itu juga terdengar bisikan-bisikan seperti:"Sebaiknya, jangan dihebahkan nombor akaun bank dalam akhbar," kata mereka.

"Takut nanti dijadikan hujah oleh pemerintah bahawa tindakan ini didalangi pembangkang."

Saya akur. Biarlah hal itu berlaku begitu sahaja, seolah-olah itu mewakili kehendak orang awam yang kononnya tiada kaitan dengan parti pembangkang.

Syor menyaman kerajaan itu timbul dalam Kongres Kepentingan Bangsa ekoran saranan seorang pensyarah.

Namun akhir-akhir ini, timbul desas-desus kecil pula gara-gara tersiarnya laporan bahawa Gapena mahu menyaman kerajaan.

"Nampaknya orang dah lupa bahawa pembangkang terlebih dahulu memajukan saman itu ke atas parti pemerintah," kata seorang rakan.

Terkadang, susah juga mahu mencari mana pendirian seseorang dalam individu ini.

Ada yang enggan melihat proses menyaman itu terbit melalui pembangkang kerana mahu dilihat bantahan itu suci dan jernih daripada sentuhan kepartian. Tetapi, setelah ada syor sama oleh NGO, tiba-tiba ada pula pihak yang mahu dihebohkan saman pada 2006 itu ada kaitannya dengan sentuhan kepartian.

Jika anda adalah wartawan atau pemilik akhbar yang berdiri antara situasi sebegini, tentu berasa gelisah dan sesekali berasa meradang juga melihat pertikaian sebegini.

Himpunan 100,000 Selamatkan Bahasa Melayu

Namun, ada perkembangan terbaharu dan agak baik juga mutakhir ini berhubung bantahan ke atas dasar PPSMI.

Semalam, 30 Disember, telah wujud perbincangan antara badan bukan kerajaan dan parti politik di Yayasan Penataran Ilmu yang membabitkan Kesatuan Sekerja DBP, wakil Pas, Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), PKPIM, Abim, Gamis, Teras dan Persatuan Pelajar Bahasa Melayu, Universiti Malaya.

Melalui blog milik Timbalan Pengarah Badan Pelaksana Sekretariat Selamatkan Bahasa Melayu Suhaizan Kayat, pihak sekretariat telah memajukan usul mengadakan Himpunan 100 Ribu tahun ini untuk menyerahkan memorandum kepada Istana Negara.

"Isi kandungan memorandum ini adalah untuk membantah PPSMI seperti Himpunan Bersih sebelum ini.

"Badan ini berfungsi menghimpunkan semua tokoh pejuang bahasa Melayu. Di bawah badan induk ini akan diwujudkan badan pelaksanaan yang menumpukan usaha mobilasi Himpunan 100 Ribu Selamatkan Bahasa Melayu," kata beliau melalui blog itu.

Nyatakan keghairahan anda untuk menghadiri HIMPUNAN 100,000 SELAMATKAN BAHASA MELAYU di e-mel ibnuamir@yahoo.com. Alamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya.

Tiada ulasan: