Isnin, 26 Januari 2009

PPSMI: Empat Persoalan yang Mesti Difikirkan

Respons Bantahan PPSMI (Koleksi Ali Bukhari Amir - 1)
PPSMI: Empat Persoalan yang Mesti Difikirkan
Oleh Haji Abdul Rani bin Wahab, Setiausaha Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Lipis, 31 Disember 2008 (Harakahdaily, 1 Januari 2009)

Assalamualaikum Wrt. Wbt,

Sejarah menunjukkan bangsa-bangsa besar yang maju mempelajari ilmu dalam bahasa asing tetapi tidak menggunakan bahasa tersebut dalam tamadun mereka.

Penemuan arkeologi menunjukkan Tamadun Indus mendalami ilmu pengetahuan mereka daripada Tamadun Mesopotamia tetapi mereka membangunkan tamadun mereka dengan bahasa mereka. Buktinya ialah penemuan transkripsi tulisan mereka sendiri yang belum boleh dibaca oleh pakar-pakar masa kini.

Ketika tradisi keilmuan Islam berkembang, orang-orang Eropah yang dalam zaman kegelapan pergi ke pusat-pusat keilmuan Islam untuk mendapatkan ilmu. Mereka kembali ke tanah air mereka hingga membawa kepada kemunculan revolusi Eropah. Bangsa Eropah tidak menggunakan bahasa Arab tetapi mereka mengadaptasi mengikut keperluan semasa.

Dalam era moden, Jepun yang tewas kepada Amerika Syarikat dalam Perang Dunia Kedua menghantar pelajar-pelajarnya untuk menuntut ilmu di Amerika Syarikat. Mereka kembali ke tanah air mereka dan mengembangkan ilmu pengetahuan. Tidak lama selepas kekalahan itu, mereka datang kembali ke Asia Tenggara, malah ke seluruh dunia dengan kuasa ekonomi yang kuat akibat peningkatan ilmu pengetahuan.

Persoalannya 1: Bahasa Menunjukkan Bangsa

Bagaimana hendak dikatakan bangsa Melayu akan wujud lagi suatu masa nanti kalau bahasanya sudah tiada.

Buktinya surat khabar jawi telah menjadi akhbar sisipan seminggu sekali selepas kira-kira 30 tahun ia ditinggalkan dari arus perdana pendidikan. Kemungkinan senario ini terhadap surat khabar bahasa Melayu akan terjadi tetapi berdasarkan keadaan semasa, tempoh 30 tahun adalah terlalu lewat untuk melihat buktinya.

Persoalan 2: Penghormatan Bangsa Lain Terhadap Orang Melayu

Analogi yang mudah, suatu masa dahulu, ketika sebelum pelaksanaan SPM pensijilan terbuka, pelajar-pelajar bukan Melayu akan cuba meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu kerana keperluan kredit untuk mendapatkan gred 1 ataupun gred 2 dalam SPM.

Tetapi apabila pensijilan terbuka, calon-calon hanya perlu lulus dalam Bahasa Melayu untuk mendapatkan kelulusan dalam SPM. Selain itu mereka juga perlu meningkatkan kemahiran dalam bahasa Melayu untuk menguasai mata pelajaran lain. Siapakah yang berani mengatakan penghormatan itu semakin meningkat pada hari ini?

Persoalan 3: Kaitan dengan Agama Islam

Bahasa jiwa bangsa. Umumnya di Malaysia orang Melayu masih lagi sinonim dengan agama Islam. Perlembagaan Persekutuan menjelaskan maksud yang hampir sama. Bangsa ini telah terdidik dengan roh Islamnya sejak ratusan tahun dahulu.

Istilah-istilah dalam bahasa Melayu banyak berkaitan dan berasal dari hal-hal keagamaan. Secara tak langsung apabila istilah-istilah tersebut ditinggalkan, lama-kelamaan amalan agama juga turut terjejas.

Buktinya, salah satu elemen penting dalam bahasa Melayu ialah tulisan Jawi. Apabila tulisan jawi tidak digunakan maka banyak istilah agama menjadi tidak tepat sebutan dan maknanya jika ditulis dalam tulisan Rumi.

Persoalan 4: Perbandingan dengan Bangsa Lain

Bangsa lain tidak sedikit pun mau berganjak daripada mempertahankan bahasa mereka. Malahan mereka menggerakkan di setiap ruang yang ada. Mereka pertahankan pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah rendah jenis kebangsaan dalam bahasa ibunda mereka.

Mereka usahakan untuk meletak walaupun sepatah perkataan di atas sebatang jalan. Buktinya mereka tegakkan papan tanda dalam bahasa mereka apabila berkuasa walaupun dalam ruang yang terbatas.

Tamat.

Tiada ulasan: