Isnin, 26 Januari 2009

PPSMI: Lawan Berterusan dan Berhabis-habisan

Respons Bantahan PPSMI (Koleksi Ali Bukhari Amir - 2)
PPSMI: Lawan Berterusan dan Berhabis-habisan
Oleh Hashim Othaman, PPBMM (Harakahdaily, 2 Januari 2009)

Tidaklah dapat hendak dibayangkan malangnya nasib bahasa Melayu apabila bahasa Inggeris dibenarkan mendominasi pengajaran dan pembelajaran bidang Sains, Matematik dan teknologi dalam sistem pendidikan di negara kita.

Akhirnya, bahasa Melayu akan kehilangan maruah dan martabat, nilai ekonomi serta peranan sebagai pembentuk jati diri warga di negaranya sendiri.

Dengan bilangan penuturnya hampir 300 juta, segala usaha pemimpin yang mendahului kita untuk membina tamadun dan menjadi bangsa besar dan bermaruah akan terkubur apabila bahasa kita sendiri tidak diyakini dapat memainkan peranan alat komunikasi dan alat menimba dan menyebarkan ilmu.

Tidak ada cara lain bagi meneruskan perjuangan untuk menjadi bangsa besar dan bermaruah dengan memanfaatkan semua aspek yang dianugerahi oleh Allah kepada sesuatu bangsa (termasuk bahasa), kecuali menentang dasar PPSMI ini secara berterusan dan berhabis-habisan oleh pejuang dan pencinta bahasa Melayu.

Kini sudah tiba masanya kita (pejuang dan pencinta bahasa Melayu) bersatu bagi menunjukkan sokongan terhadap usaha mengembalikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama semua bidang ilmu dalam sistem pendidikan (dari sekolah rendah hingga ke peringkat universiti).

Inilah masanya perjuangan Gapena dan badan-badan bukan kerajaan lain yang membantah dasar PPSMI disokong seluruhnya.

Di samping semua usaha digerakkan untuk menentang penerusan dasar PPSMI, iaitu melalui luahan perasaan, bantahan, saluran perundangan serta penggunaan kuasa undi dalam pilihan raya, saya mencadangkan setiap insan Melayu yang prihatin dengan bangsa dan bahasanya; yang bimbang dengan bencana keruntuhan jati diri yang bakal ditimpakan ekoran dasar PPSMI; dan yang mengharapkan kehidupan sejahtera sebagai satu bangsa bermaruah, untuk bersolat hajat bersama-sama di seluruh negara pada satu waktu yang sama (misalnya pada setiap malam Jumaat awal bulan Hijrah) bagi memohon pertolongan Allah Subhanahu Wata’ala.

Setelah kita telah berusaha sekuat tenaga berjuang menolak dasar PPSMI tetapi pihak yang memegang kuasa masih berdegil dengan pendirian mereka atas alasan tertentu, solat hajat merupakan cara memohon bantuan Yang Esa.

Kepada yang belum terbayangkan bencana yang bakal menimpa bangsa Melayu akibat dasar PPSMI yang bakal mencacamerbakan bangsa dan generasi akan datang, hayatilah lagu "Ayam Den Lapeh", sebuah lagu klasik masyarakat Minang yang terkenal sejak 1960-an di tanah asalnya di Sumatera dan di Malaysia.

Mesej lagu tersebut membawa maksud tiada guna menyesali apa yang telah berlaku apabila semuanya sudah terlewat! Menjelang tahun 2020, pastikah kita mencapai status negara maju melalui penguasaan bidang sains dan teknologi?

Atau, masihkah kita menyanyikan lagu "Ayam Den Lapeh" ketika semuanya telah terlepas? Masih adakah maruah bahasa dan jati diri bangsa!

Tamat.

Tiada ulasan: