Kesatuan Guru Tolak Tujuh Pilihan PPSMI
Oleh Amir Hamzah Nordin, bhnews@bharian.com.my
JERANTUT: Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) menolak ketetapan dibuat dalam Persidangan Meja Bulat Pengajaran dan Pembelajaran Sains serta Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang merumuskan tujuh pilihan untuk dipertimbangkan kerajaan dalam membuat keputusan mengenai masa depan PPSMI.
Presidennya, Mohamad Sabri Mohamad Arsad, berkata tujuh pilihan itu menjadi semakin keliru dan menyukarkan semua pihak untuk membuat pilihan.
"Kita mahu bahasa Melayu dijadikan bahasa teras untuk memudahkan pelajar mempelajari kedua-dua subjek itu tanpa kekangan bahasa.
"Dua subjek itu membebankan dan ditambah pula dengan masalah bahasa akan menjadikan bebanan berganda kepada pelajar, sekali gus menyebabkan mereka terus keciciran," katanya kepada Berita Harian, semalam.
Mohamad Sabri berkata, tujuh pilihan disediakan itu seolah-olah tidak memberi peluang dan ruang untuk rakyat memilih kerana semuanya turut menjurus ke arah mahu mengadakan pengajaran dalam bahasa Inggeris.
Katanya, antara masalah dikenal pasti ialah kemahiran guru dalam bahasa Inggeris untuk mengajar dua subjek berkenaan adalah terhad dan ia bakal memberi masalah kepada murid.
"Perkara ini menjadi lebih kritikal di pedalaman, malah keluarga di bandar juga menghadapi masalah sama jika bahasa Inggeris bukan bahasa harian mereka.
"Jadikanlah pemansuhan tulisan Jawi di sekolah rendah pada 60-an sebagai iktibar kerana kesannya kepada generasi sekarang menyebabkan mereka tidak boleh menulis dan membaca jawi dengan lancar sehingga akhbar jawi terus ditutup," katanya.
Mohamad Sabri berkata, peratusan pelajar yang dihantar ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang juga masih rendah, berbanding mereka yang berada di negara ini.
"Jika kita mahu menghantar pelajar ke luar negara, mereka perlu menghadiri kelas khas atau persediaan seperti diamalkan sebelum ini dan mampu berjaya cemerlang di luar negara.
"Jadi, alasan pengajaran dalam bahasa Inggeris itu untuk menyaingi dan selari dengan keperluan global adalah tidak patriotik sekali," katanya. Beliau juga menyokong pendapat Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan yang mahu bahasa Melayu kekal dalam subjek berkenaan.
Komen A.F. Yassin:
Persatuan Guru telah berkata. Pakar bahasa telah berkata. Pejuang-pejuang bahasa telah berkata. Ertinya sebahagian besar rakyat akar umbi telah berkata. Hanya orang yang ingin mempertahankan sesuatu kepentingan sahaja yang enggan berkata dan mahu bahasa Inggeris dikekalkan seperti sekarang untuk pengajaran dalam Sains dan Matematik.
Tidak tahulah apa istilah yang harus digunakan untuk kumpulan yang ingin mempertahankan bahasa Inggeris dalam pengajaran kedua-dua subjek ini. Mungkin kepentingan peribadi kumpulan lebih penting daripada kepentingan masa depan anak cucu. Dan bukan tidak mungkin kumpulan ini terdiri daripada orang-orang yang masih merasa dirinya lebih terhormat dan lebih dimuliakan jika tidak menggunakan bahasa Melayu!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan