PPSMI: Kerajaan Bersikap Terbuka
Utusan Malaysia Online, 25 Januari 2009
TEMERLOH 24 Jan. - Kementerian Pelajaran memberi jaminan akan bersikap terbuka bagi memastikan semua suara rakyat Malaysia diambil kira sebelum menentukan hala tuju Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kementerian sentiasa menghargai pandangan semua pihak bagi memastikan mereka diberi ruang untuk menyuarakan pandangan, cadangan mahupun kebimbangan dalam suasana yang kondusif dan membina berhubung PPSMI.
Sehubungan itu beliau memberitahu, kementerian sedang memperkemas PPSMI dengan mengambil kira kesannya terhadap pelajar, kesediaan guru-guru dan kesan jangka panjang terhadap bahasa kebangsaan.
''Kerajaan juga mengambil kira implikasinya dari segi perundangan dan Perlembagaan Persekutuan serta jurang pencapaian para pelajar bandar dan luar bandar.
''Saya harap semua pihak bersabar dan memberi sedikit masa kepada kementerian supaya dapat menghasilkan cadangan yang baik, tepat dan bernas untuk dibawa ke peringkat Jemaah Menteri," katanya ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan pegawai pelajaran seluruh Pahang di sini hari ini.
Kata Hishammuddin, beliau sendiri sentiasa memantau setiap perkembangan yang berlaku dan menyedari masih terdapat kelompok-kelompok tertentu dalam masyarakat yang resah, bimbang dan risau pandangan mereka tidak diambil kira oleh kementerian.
Menurutnya, soal tidak puas hati atau tindakan membantah dasar itu pada hakikatnya tidak harus wujud kerana kerajaan belum membuat sebarang keputusan mengenainya.
Beliau memberitahu, kerajaan sangat mengambil berat mengenai PPSMI terutama selepas tamat tempoh enam tahun pelaksanaannya di peringkat sekolah rendah.
''Kerajaan menyedari betapa pentingnya PPSMI ditangani secara teliti demi kepentingan bersama tanpa mengetepikan pihak-pihak yang berkepentingan kerana masa depan para pelajar tidak boleh diambil mudah," katanya.
Hishammuddin menambah, Jawatankuasa Induk Pelaksanaan PPSMI yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, (KPPM), Datuk Alimuddin Md. Dom telah selesai meneliti semua pandangan yang diterima daripada pelbagai pihak berkepentingan.
''Saya insaf dan sedar bahawa isu PPSMI merupakan satu isu besar dan mempunyai implikasi berkekalan kepada anak bangsa dan masa depan negara kita.
''Oleh itu, usaha-usaha ini diharap dapat memastikan sebarang keputusan yang bakal dibuat menjadi keputusan kolektif rakyat Malaysia," katanya.
Katanya, sejak Persidangan Meja Bulat Pertama pada 14 Julai lalu hingga Persidangan Meja Bulat Kelima pada 16 Disember lalu, pihaknya telah mendapatkan pandangan daripada lebih 600 peserta antaranya daripada profesional pendidikan, kesatuan dan persatuan guru, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan profesional, korporat, pemimpin komuniti dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Kata Hishammuddin, semua pandangan itu diterima termasuk melalui memorandum, saluran media dan sebagainya serta pandangan dan kajian yang dibentangkan di dalam Persidangan Meja Bulat Pertama sehingga yang Kelima baru-baru ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan