Isnin, 26 Januari 2009

Klinik Bahasa – Maklum Balas PPSMI (2)

Sabtu 27 Disember 2008 28 Dzulhijjah 1429 Hijrah
Klinik Bahasa – Maklum Balas PPSMI (2)
Ali Bukhari Amir, Fri Dec 26, 08 6:15:03 pm MYT

Maklum Balas

Assalamualaikum. Saya cuma nampak perdebatan PPSMI ini tak akan ke mana-mana. Saya lebih suka kalau ada dualiti, lebih pun tidak mengapa. Faedah lebih banyak, disebabkan faktor ekonomi. Buang semua ketamakan politiking. Bagi sahaja semua kepada anak-anak kita. Dan mereka patut menguasai ilmu supaya mereka lebih sederhana dalam tindakan mereka.

Wallahuaklam.

- Saiful.

Saudara,

Pertamanya, terima kasih atas kesudian saudara menghubungi kami. Persoalan mengenai debat atau bantahan isu PPSMI ini tidak ke mana-mana tentu banyak jawapannya. Sebagai muslim, ada jawapan yang bersifat keduniaan dan juga bersifat akhirat. Secara ringkasnya begini.
Jika ditinjau dari sudut keduniaan, perang antara kebenaran merempuh kebatilan tentunya akan memihak kepada kebenaran. Inilah janji Tuhan.

PPSMI ialah dasar yang silap. Tuhan mengutuskan nabi-nabi dan rasul-rasul menurut bangsa mereka sendiri agar bani memahami ilmu yang disampaikan para nabi. Nas ini boleh dirujuk kepada guru-guru agama.

PPSMI ialah dasar yang bertentangan dengan roh, jiwa dan lari daripada semangat penghayatan al-Quran. Ilmu sains dan matematik yang mahu diajar kepada “bani Melayu” tidak diajarkan dalam bahasa Melayu.

Guru-guru bagaikan “nabi” yang menuturkan pengertian sesuatu ilmu itu secara langsung ke atas “bani-bani”, sesuai menurut lidah bangsa itu. Ini sunnahtullah dan sunah para nabi yang terdahulu.

Amalan BidaahJadi, secara ringkasnya, tindakan mengajarkan ilmu Sains dan Matematik dalam bahasa yang bukan milik sesuatu bangsa itu adalah amalan bidaah dalam pemerintahan negara kita. Semua umat Islam yang faham hakikat ini, mestilah menolak amalan bidaah yang dilakukan dalam sistem pendidikan negara Islam Hadhari ini.

Mengikut sunah pemerintahan nabi-nabi, hal pendidikan dan asuhan ke atas umat itu mesti dilakukan dengan bahasa sesuatu kaum itu sendiri. Tuhan menyebut, bahawa setiap bangsa itu diberikan nabi dalam kalangan mereka.

Ya, perjuangan ini memang lama. Dan kita jangan berputus asa dengan sebab lamanya perjuangan itu. Ketika Kisra Parsi mengoyak surat baginda Rasulullah s.a.w., baginda bersabda bahawa Kisra akan tumbang. Ternyata, tumbangnya Kisra Parsi itu ketika zaman pemerintahan Sayidina Umar, sedangkan baginda telah lama wafat.

Perjuangan menolak PPSMI mungkin bukan terhasil dalam zaman kita ini. Tetapi percayalah bahawa kemungkinan PPSMI ini ditolak ketika generasi pertama seperti kita sudah tiada lagi. Percayalah bahawa anak cucu cicit kita akan mengenang jasa-jasa generasi hari ini membantah PPSMI.

Barang siapa yang masih hidup 40 tahun akan datang, insya-Allah, barang diizinkan Tuhan, nanti dia bakal menyaksikan bagaimana teruknya Menteri Pelajaran dan Perdana Menteri kini dipandang rendah kerana tidak memansuhkan PPSMI.

Penguasa yang dipandang mulia pada hari ini akan jatuh terhina pada masa depan selepas tamat pemerintahannya. Sebaliknya, golongan yang setia membantah PPSMI, walaupun kalah pada kemudian hari, akan dipandang mulia dan ternobat sebagai pahlawan agama, bangsa, dan tanah air. Inilah jawapan untuk habuan di dunia.

Bahagian AkhiratUntuk habuan akhirat, sebagai muslim kita tidak pernah memperhitungkan sama ada segala tindakan kita itu membuahkan hasil atau tidak. Berjaya atau tidak kita dalam usaha membantah PPSMI ini bukan lagi persoalannya. Yang ditanya Tuhan kelak adalah, "Apakah yang kamu lakukan di dunia ini?"

Kita tidak ditanya, apakah kita menang atau tidak dalam medan pertempuran membantah PPSMI. Jika kita termasuk dalam golongan yang membantah PPSMI, maka semua amalan ini akan menjadi amal soleh kita dan bekalan kita di akhirat kelak. Maka, beruntunglah mereka yang membantah PPSMI ini tanpa menghiraukan sama ada mereka menang atau kalah.

Amat malang bagi pimpinan Melayu yang menganjurkan PPSMI ini. Perdana Menteri, Menteri Pelajaran, mantan Perdana Menteri dan juak-juak penyokong PPSMI akan ditanya kenapakah mereka tergamak menyusahkan semua guru dan para pelajar di seluruh Malaysia melalui dasar ini.

Mereka perlu bertanggungjawab atas setiap masalah yang timbul, masalah dihadapi oleh guru-guru yang lumpuh semangat mengajar ilmu itu dalam bahasa ibunda mereka. Pada hari akhirat kelak, mereka dan lain-lain perlu berdepan dengan para pelajar yang berasa susah dengan pengajian mereka di dunia dahulu.

Jangan PM kita mengira, bahawa kedudukan sebagai cucu orang-orang yang soleh itu akan dapat membantunya di akhirat. Semua anak bekas tahanan ISA akan menyerbunya menuntut pembelaan.

Janganlah pula Menteri Dalam Negeri fikir bahawa darah keturunan syed yang mengalir dalam tubuhnya akan menyebabkan nenek moyangnya Nabi Muhammad s.a.w. akan memberi syafaat dalam keadaan beliau mempertahan ISA. Sesungguhnya, Rasulullah s.a.w. menolak konsep tahanan tanpa bicara.

Jangan main-main dengan semua perkara ini. Hari akhirat itu ialah hari yang tiada bermakna lagi segala harta dan keturunan kecuali bagi mereka yang datang menemui Allah SWT dengan membawa pulang hati yang sejahtera.

Saudara Saiful yang dihormati dan rakan-rakan,

Sesungguhnya, saya dan rakan-rakan telah jelas dengan matlamat hidup. Kami meyakini bahawa penghujung segala kemuncak perjuangan membantah PPSMI ini ialah akhirat jua yang kekal abadi itu. Kalah di dunia tidak mengapa. Lagi pun, bukankah dunia ini cuma sementara?
Hujah-hujah seperti ini tak perlu diperjelas kepada orang bukan Islam. Dong Jiao Zhong yang bukan Islam pun turut berjuang membantah PPSMI ini, dalam keadaan mereka sifar makna terhadap kehidupan selepas kematian. Tetapi, semangat mereka untuk terus berjuang membantah PPSMI tetap wujud walaupun pada mereka, belahan kehidupan ini hanya terhad di dunia sahaja.

Wallahuaklam.

7:29 a.m, 26 Disember Sekolah Pemikiran Kg Baru

Tiada ulasan: