PPSMI Bidaah 1: Respons Ariff Putra
Posting asal: “PPSMI: Menyamakan PPSMI dengan Hal Bidaah Tertolak?”
Oleh Ali Bukhari Amir, Ahad 28 Disember 2008 29 Zulhijah 1429 Hijrah
(Dengan sedikit suntingan)
Salam perkenalan dan salam muhibah buat saudara. Saya tertarik melihat saudara bersungguh-sungguh membantah pelaksanaan PPSMI. Saya bersetuju agar PPSMI tidak dilaksanakan di sekolah-sekolah.
Namun, saya tidak sependapat dengan alasan saudara yang mengatakan bahawa pelaksanaan PPSMI itu satu bidaah. Pada saya, isu bidaah tidak patut dibangkitkan dalam hal ini. Bidaah dalam sistem pendidikan? Maaf mungkin saudara perlu kaji dengan lebih mendalam lagi.
Jika dilihat di IPT-IPT tempatan, banyak ilmu yang tidak diajar dalam bahasa kepada pemilik bangsa. Tidak menjadi isu bidaah bukan?
Saya hadir di sini bukan untuk membalas hujah saudara. Cuma berpendapat bahawa PPSMI tidak wajar dicampurkan dengan urusan agama - saudara seolah-olah cuba memberi fatwa.
Saya ingin mencurahkan pendapat mengapa saya katakan tidak setuju terhadap pelaksanaan PPSMI ini. Hadis yang saudara kemukakan memang sesuai untuk digunakan hujah agar PPSMI tidak dilaksanakan. Namun saya lebih suka berpendapat secara logik akal (saya bukan golongan Muktazilah).
Mungkin saya kekurangan fakta, tapi jika dilihat kepada tujuan pelaksanaan PPSMI ini tidak silap saya adalah untuk melatih penggunaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah.
Perbincangan meja bulat pihak kementerian, PIBG, pakar-pakar berkaitan meletakkan tujuh pilihan bagi meneruskan PPSMI ini, keputusan yang cemerlang dalam UPSR dan SPM pula dibanggakan pihak tertentu kerana memuaskan dan pelaksanaan ini dikatakan berjaya.
Namun jika dilihat kembali kepada tujuan asalnya maka ia nyata tersasar. Penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar tetap tidak menunjukkan sebarang rangsangan melainkan mereka tahu beberapa istilah sahaja dalam BI.
Apa yang saya kesalkan ialah kerajaan tidak sepatutnya memanjangkan kajian ini dan buat keputusan secepatnya. Membuang masa, itulah yang boleh saya katakan kepada kementerian yang sibuk bercerita mengenai PPSMI sehingga ada pencinta bahasa yang akan mengambil tindakan undang-undang jika kementerian tegar untuk terus melaksanakan PPSMI.
Sebaliknya, pihak kementerian sepatutnya lebih cakna dan memberi perhatian berterusan terhadap perkembangan sekolah, kemudahan, pembinaan, kepadatan pelajar, kekurangan guru yang jauh lebih serius berbanding perkara ini.
Ariff Putra
Tiada ulasan:
Catat Ulasan