Posting asal: “PPSMI: Menyamakan PPSMI dengan Hal Bidaah Tertolak?”
Oleh Ali Bukhari Amir, Ahad 28 Disember 2008 29 Zulhijah 1429 Hijrah
Terima kasih atas kejujuran pandangan saudara itu. Sebenarnya, kita sehaluan. Kita cuma berbeza pandangan dari sudut cara menentang PPSMI itu. Dalam kes ini, saya menarik kesimpulan mudah, iaitu penentangan itu terkait dengan isu bidaah yang saya kemukakan dahulu.
Kupasan dan perbahasan mengenainya panjang juga. Nanti, lari daripada tajuk perbualan kita. Bidaah adalah pintu ke arah kesesatan. Dan kesesatan melayakkan seseorang menuju ke neraka. Saya lari sekejap daripada membicarakan bidaah dengan menarik kesimpulan mudah.
Mengikut mafhum sepotong hadis, jika saya tersalah dan tersilap, maka kesilapan saya dimaafkan dan saya berhak dapat satu pahala kerana berusaha mengeluarkan “ijtihad” dan “fatwa”. Sekiranya saya benar, maka saya mendapat dua pahala. Pertama, pahala kerana benar dalam ijtihad. Kedua, pahala kerana berusaha melahirkan fatwa dan ijtihad tersebut.
Tiada masalah jika saya bersalah. Hal ini demikian, pandangan saya tidak dijadikan rujukan dan sandaran sebagaimana PPSMI yang terpakai ke atas seluruh sekolah di Malaysia sehingga menyusahkan guru-guru dan murid-murid.
Mazhab yang Menentang PPSMIAda banyak kaedah menentang. Mazhab pertama melihat PPSMI akan menyusahkan pelajar-pelajar sekolah. Maka, atas sebab ini PPSMI harus ditolak. Tapi, mazhab ini ada kelemahan.
Misalnya, kalau ada sekolah sudah mahir berbahasa Inggeris, ertinya, PPSMI bolehlah dilaksanakan. Maka, kementerian akan sentiasa ada ruang untuk memperalatkan mazhab ini untuk meneruskan dasar PPSMI. Kebanyakan orang awam, guru-guru dan murid-murid suka memegang aliran falsafah mazhab ini.
Kita namakan mazhab ini buat sementara waktu sebagai mazhab anti-PPSMI yang dipelopori oleh orang-orang awam.
Mazhab kedua lebih kukuh. Mazhab ini lazimnya dipelopori oleh pejuang bahasa, Kumpulan Prihatin, Gapena dan mereka yang terdiri daripada ahli undang-undang, cerdik pandai yang faham kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Mazhab ini berkata, bahasa Melayu perlu dipertahan sebagai bahasa pengantar atas alasan, ia adalah maruah negara.
Syahadan, mazhab kedua ini berpendapat, kalau PPSMI berjaya sekali pun, misalnya keputusan peperiksaan baik walaupun BI dijadikan bahasa pengantar, maka PPSMI tetap wajib dibantah kerana dasar ini membabitkan maruah negara sekali gus mencalarkan Perlembagaan Persekutuan sebagai nadi tunjang, tulang belakang, dan asas pembinaan negara bangsa.
Kesimpulannya, inilah dua mazhab yang mesti difahami untuk mereka yang mahu memahami asas-asas kenapa PPSMI itu wajib ditentang. Mazhab pertama sering dipakai oleh orang awam dan mazhab kedua dipelopori oleh ahli falsafah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan