Posting asal: “PPSMI: Menyamakan PPSMI dengan Hal Bidaah Tertolak?” Oleh Ali Bukhari Amir, Ahad 28 Disember 2008 29 Zulhijah 1429 Hijrah
Mana Mazhab Agamawan Membantah PPSMI?Dalam mana-mana zaman, ada dua kelompok yang mendukung peradaban. Pertamanya, golongan falsafah yang turut digelarkan pendeta, cendekiawan, rausyan fikr (dalam bahasa Parsi), ahli fikir, pemikir dan sebagainya.
Mereka menggunakan laluan akliah untuk mencari pencerahan tanwiri. Mereka penggerak “enlightenment”, pencari pencerahan kebenaran dalam simpang-siur lebuh raya pemikiran.
Keduanya, golongan ahli agama, agamawan, mufti, ustaz, syeikh, paderi, Al-'Allamah, sami dan lain-lain watak lagi. Golongan ini lazimnya menggunakan intuisi, pancaran ilham dan wahyu dalam menyuluh jalan untuk mencari kebenaran. Dalam al-Qur'an, ayat-ayat ini mungkin boleh disandarkan sebagai rujukan atas kewujudan kedua-dua kelompok ini.
"… Dan demi sesungguhnya, engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani." Yang demikian itu, disebabkan ada antara mereka pendeta-pendeta dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong." Surah al-Ma'idah: 82.
Dalam agama Kristian, dua golongan ini dipecahkan, iaitu qissisin (pendeta dan ahli falsafah) dan ruhban atau ahli agama, paderi-paderi.
"Allah mengangkat darjat orang-orang yang beriman dan 'orang-orang yang diberikan ilmu dengan beberapa darjat." Al-Mujadilah: 11
Daripada nas di atas, orang yang beriman itu adalah merujuk kepada golongan yang punya hati, sementara orang-orang yang diberikan ilmu itu merujuk kepada golongan yang punya fikiran. Hati yang dipenuhi cahaya kebenaran itu merujuk kepada agamawan, sementara fikiran yang bergeliga untuk mencari pencerahan kebenaran itu merujuk kepada filasuf.
"… Dia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri yang membacakan mereka ayat-ayat Allah, dan membersihkan mereka, serta mengajarkan mereka al-Kitab dan Hikmah. (Ali Imran: 164)
Kehadiran golongan al-Kitab (ahli agama) dan kaum al-Hikmah (ahli falsafah) adalah antara prasyarat utama dalam usaha membangunkan sesebuah peradaban itu. Titik.
Tapi, dalam soal PPSMI ini, di manakah suara agamawan itu? Ini suatu persoalan yang mungkin jarang-jarang difikirkan orang. Maka, berhubung hal bidaah, itu adalah pandangan peribadi saya. Saya tidak risau dikritik. Pandangan itu jika disanggah sekali pun, tidaklah mendatangkan apa-apa kesan ke atas PPSMI. PPSMI tetap berjalan seperti biasa.
Berhubung isu bidaah dalam pemerintahan ini, saya pernah utarakan dalam ruangan agama dalam Harakah Daily. Ia merujuk hadis pertama yang terangkum dalam 40 Hadis Mengenai Kiamat susunan Ustaz Fahmi Zam Zam al-Banjari.
Saya tersilap kerana tidak bekalkan nas-nas yang lengkap bagi tujuan menyokong pandangan itu. Tapi, jika ada permintaan atau saya rasa ada keperluan nanti, akan saya huraikan nanti insya-Allah Ta'ala.
Sebenarnya, saudara, ada terselit kekecewaan peribadi saya ke atas golongan agamawan. Baiklah, selanjutnya, mari kita bertanya, PPSMI ini dibantah oleh golongan semacam apa?
Sasterawan, ahli-ahli bahasa, guru-guru, pensyarah universiti, pelajar dan beberapa kumpulan yang lain. Ini kelompok yang tampak aktif melawan PPSMI.
Soalan kedua, adakah kita pernah mendengar setakat ini, khutbah-khutbah Jumaat yang menyuarakan bantahan PPSMI ini? Bolehkah kita senaraikan masjid-masjid yang berkhutbah membantah PPSMI ini pada hari Jumaat secara terus-menerus?
Maaf kalau memang ada masjid yang membantah PPSMI. Tapi, sejauh yang saya tahu, tiada langsung agaknya! Mana perginya suara ustaz-ustaz itu? Di manakah pendirian agamawan, mufti kita dalam hal ini? Khalayak mahu tahu, apakah pendirian agama Islam berhubung hal pengajaran dan pembelajaran dalam suatu bahasa yang bukan bahasa ibunda.
Saya tertanya-tanya di manakah suara ahli-ahli agama ketika pelajar guru, pensyarah, ahli bahasa, sasterawan sedang bertungkus-lumus menyiapkan senjata fakta, memikul data untuk membantah PPSMI ini?
Orang macam saya tertanya-tanya apa hukum PPSMI ini? Haruskah? Mubah? Sunat? Makruh atau bidaah? Selalunya, lafaz ini yang terkait dengan lafaz seorang agamawan, iaitu wajib, sunat, harus, mubah, bidaah dan sebagainya. Jadi, di manakah fatwanya? Mungkin hukumnya bukan bidaah. Barangkali ada pecahan mazhab yang menyatakan PPSMI itu makruh atau haram.
Kalau pun ada agamawan yang memfatwakan PPSMI itu hukumnya wajib atau sunat muakkad, mungkin itu fatwa agamawan Umno, fatwa ulama as-su' yang menagih darjat, pangkat dan bintang kehormatan daripada kuasa eksekutif.
Agamawan Bersuara dalam Isu Pendidikan SeksPada satu ketika dahulu, kita terdengar bantahan agamawan ke atas pendidikan seks yang hendak diajar di sekolah-sekolah. Tetapi, ketika PPSMI mahu diterapkan, di manakah fatwa, suara dan pendirian agama dan agamawan?
Apakah hubungan dunia pendidikan sudah terasing daripada urusan akhirat? Tampaknya lingkaran sekular yang memisahkan agama daripada juzuk keduniaan ternyata masih membekas di hati kita.
Maka rasa-rasanya perlu digerakkan agamawan untuk bersekali dalam gerakan membantah PPSMI ini. Khutbah-khutbah Jumaat perlu dengan lebih garang menyerang PPSMI.
Sengaja saya selitkan unsur-unsur agama seperti bidaah ini. Mana tahu kalau-kalau ada yang menegur, khasnya agamawan. Ternyata saudara dengan jujur telah bersuara. Saya tahu, mesti ada yang marah dengan cara menulis begini. Tapi, dalam isu-isu begini, kita terpaksa serius berkontra demi kesejahteraan umat seluruhnya.
Berterus-terang sangat pahit. Tapi, pahit itulah penawarnya. Dalam hal PPSMI ini, saya ada masalah dengan agamawan.
Baguslah saudara terdorong bertanya tentang hal-ehwal bidaah ini. Saya percaya suara saudara itu sebenarnya titipan Allah juga untuk membetulkan saya jika saya tersasar. Ini kerana, saya berjanji bahawa saya tidak akan melebarkan bahasan ini jika tiada orang yang akan kembali membangkitkan soal bidaah ini.
Memang dalam universiti, kuliah-kuliah tertentu di UIAM misalnya, saya pernah melihat pengajaran itu dilakukan dalam bahasa Arab dan ada juga yang disampaikan dalam bahasa Inggeris.
Menurut hemat saya, sikap dan pendirian ini bukanlah keputusan menyeluruh. Ia cuma kes-kes istimewa, bersifat terpencil yang melibatkan juzuk-juzuk terkecil di universiti tertentu atas keperluan-keperluan istimewa yang hanya terhad di universiti itu sahaja.
Pengajaran agama dan ilmu-ilmu lain dalam bahasa Arab dan Inggeris di kuliah tertentu atas sebab kedua-dua bahasa itu difahami oleh pelajar-pelajar antarabangsa tak termasuk dalam kategori bidaah.
Bayangkan, dalam kuliah yang memuatkan para pelajar Timur Tengah, Bosnia, Iran, Arab Saudi, Nigeria dan lain-lain, adakah bahasa Melayu difahami siswa itu? Maka, bahasa Arab dan Inggeris itulah dua jenis bahasa yang dianggap mampu difahami oleh semua siswanya.
Tetapi, dalam keadaan sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kita yang rata-ratanya bangsa Melayu dan faham dalam bahasa Melayu, kenapakah tergamak para pemimpin kita meminta anak-anak bangsa mempelajari kedua-dua ilmu ini di dalam bahasa yang bukan bahasa ibunda mereka? Aneh, tak masuk akal bukan?
"Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya dia (Rasul) menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka.." (Ibrahim: 4)
Nas di atas inilah yang menunjukkan bahawa, berdasarkan fitrah kejadian, atau sunnahtullah yang kemudian telah menjadi sunah dalam pemerintahan Rasulullah s.a.w (dalam urusan berdakwah), ajaran Islam ini disampaikan menurut bahasa sesuatu kaum itu.
Para sahabat dikirim ke China sehingga wafat di sana. Adakah sahabat nabi itu mengajar Islam dalam bahasa Arab? Ada kemungkinan besar para sahabat ini menguasai bahasa Cina untuk melancarkan dakwah mereka itu.
Jika rasul-rasul diturunkan dalam bahasa kaumnya untuk memudahkan kaum itu memahami ajaran Tuhan, maka dalam kiasan yang sama, segala ilmu warisan pusaka termasuk sins dan matematik ini sepatutnya diajarkan dalam bahasa kaum itu juga. Inilah sunnahtullah, inilah sunah, inilah sikap asal Tuhan, inilah amalan para nabi.
Yang bercanggah daripada jalan ini, adalah bidaah adanya. Sekian penjelasan saya yang mungkin ada kelemahan di sana sini. Bagaimanapun, saya jujur ketika memutarkan pandangan ini.
Mana Fatwa, Mana Khutbah Jumaat Menyelar PPSMI?
Saudara Ariff Putera,
Syahadan, ternyata saudara adalah salah seorang intan terpilih yang digerakkan hati dalam hal ini, sehingga mendorong saya membangkitkan pertanyaan yang telah lama saya nantikan: Di mana suara agamawan? Di mana fatwa tentang PPSMI? Di mana khutbah Jumaat yang menyelar PPSMI?
Semoga ada kalangan agamawan yang sudi memberikan maklum balas, dan akhirnya mereka serius bergerak bersama, menuju ke arah bantahan atas PPSMI ini.
Sekian, segala yang baik itu daripada Allah, yang buruk terbit daripada PPSMI, iaitu suatu dasar oleh Kementerian Pelajaran (warisan Tun Dr. Mahathir) yang menjahanamkan anak bangsa kita hari ini.
Segala bantahan dan saranan ke atas PPSMI boleh dimajukan melalui ibnuamir@yahoo.com.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan