Jumaat, 30 Januari 2009

Memorandum Pelbagai Kaum 2007

Mengembalikan Penggunaan Bahasa Ibunda sebagai Bahasa Pengantar dan Bahasa Peperiksaan bagi Mata Pelajaran Sains dan Matematik di Sekolah Rendah

Memorandum kepadaYAB Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi
Perdana Menteri Malaysia

Daripada Pertubuhan-Pertubuhan Pendidikan Pelbagai Kaum
27 November 2007

1. Pengenalan
Pelaksanaan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) mulai tahun 2003 telah mendapat bantahan daripada semua kaum. Walau bagaimanapun, kedua-dua mata pelajaran tersebut masih diajarkan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Manakala di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), sebagai hasil kompromi politik Majlis Tertinggi Barisan Nasional, formula “2-4-3” telah dilaksanakan mulai tahun 2003 untuk Tahap I dengan menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa Cina secara serentak dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik, manakala bagi Tahap II, formula “6-2-3-2” telah dilaksanakan mulai tahun 2006 untuk tujuan tersebut.

Dasar PPSMI adalah satu dasar yang akan mendatangkan impak yang mendalam kepada negara. Justeru, kerajaan seharusnya terlebih dahulu mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak serta menjalankan kajian-kajian ilmiah untuk memperjelas keberkesanan dasar PPSMI.

Malangnya, sehingga hari ini, setelah 5 tahun pelaksanaan, kerajaan masih tidak mengumumkan sebarang laporan terperinci mengenai keberkesanan pelaksanaan dasar PPSMI. Sebaliknya, berdasarkan maklum balas daripada pelbagai pihak, khasnya kaji selidik pertubuhan-pertubuhan pendidikan pelbagai kaum dan ahli-ahli akademik, jelas sekali menunjukkan bahawa dasar PPSMI telah membawa kesan negatif yang mendalam kepada semua aliran sekolah rendah, terutamanya menjejaskan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

Memandangkan keadaan yang cukup tenat di semua aliran sekolah rendah, maka kami, Pertubuhan-Pertubuhan Pendidikan Pelbagai Kaum yang menandatangani bersama, dengan tulus ikhlasnya mengemukakan memorandum yang berjudul “Kembalikan Bahasa Ibunda: Mengembalikan Penggunaan Bahasa Ibunda sebagai Bahasa Pengantar dan Bahasa Peperiksaan bagi Mata Pelajaran Sains dan Matematik Di Sekolah Rendah” untuk rujukan dan pertimbangan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri supaya memandang serius dan menimbang semula dasar ini demi kepentingan negara.

Pertubuhan-pertubuhan pendidikan pelbagai kaum yang bersama-sama
menandatangani memorandum:

1. Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah China Malaysia (Dong Zong)
2. Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong)
3. Malaysia Tamil Education Research and Development Foundation
4. Pusat Pendidikan SRI-SMI Bhd (MUSLEH)
5. Gabungan Persatuan Alumni Universiti Taiwan Malaysia
6. Persekutuan Persatuan-Persatuan Alumni Sekolah China Malaysia
7. Nanyang University Alumni Association Of Malaya
8. The Group of Concerned Citizens
9. Pertubuhan Jemaah Islah Malaysia
10. Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur & Selangor
11. The Association of Graduates from Universities and Colleges of China, Malaysia

Baca kandungan penuh memorandum itu di sini.

Tiada ulasan: