Sabtu, 31 Januari 2009

Saman: Gapena Jumpa Peguam

January 12th, 2009 at 10:22 pm
Saman K’jaan: Gapena jumpa peguam hari ini
i
Gabungan Penulis Nasional (Gapena) mengadakan perbincangan dengan peguamnya petang ini mengenai tindakan undang-undang terhadap kerajaan berhubung pelaksanaan dasar pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), yang didakwanya melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Setiausaha duanya, Prof Madya Dr Hashim Ismail berkata, ini adalah kali pertama pihaknya bertemu peguam selepas gabungan 24 persatuan penulis itu bertegas dengan keputusannya untuk menyaman kerajaan berhubung isu tersebut.

Ia ekoran kegagalan Kementerian Pelajaran untuk membuat keputusan berhubung pelaksanaan PPSMI selepas tamat tarikh akhir yang diberikan oleh Gapena untuk kementerian berkenaan berbuat demikian, iaitu pada 31 Disember lalu.

Ketika dihubungi hari ini, Dr Hashim berkata pihaknya juga telah memperolehi dana yang mencukupi untuk mengambil tindakan undang-undang tersebut.

Gapena melancarkan kutipan derma kilat minggu lalu untuk membiayai kos mereka untuk mengheret kerajaan ke mahkamah.

Dr Hashim berkata, pihaknya juga mengutus surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Hussin minggu lalu, meminta untuk mengadakan pertemuan itu.

Beliau berkata, sehingga ini, pihaknya masih belum mendapat sebarang maklum balas daripada mereka.

Ulas kenyataan menteri

“Mungkin kerana kesibukan menjelang pilihanraya kecil Kuala Terengganu, menyebabkan pertemuan itu tertangguh,” tambahnya.

Dr Hashim juga menyifatkan tindakan kabinet yang akan membuat keputusan segera berhubung perkata itu sebagai positif dan selari dengan permintaan Gapena.

“Kita minta kerajaan membuat keputusan (pelaksanaan PPSMI). Memang itu pun yang kita minta,” kata Dr Hashim yang juga pensyarah kanan di Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya.

Khamis lalu, Hishammuddin mengumumkan bahawa keputusan kajian pelaksaan PPSMI akan dibentangkan kepada kabinet dalam masa terdekat bagi mendapatkan keputusan muktamad mengenainya.

Hishammuddin juga dilaporkan meminta semua pihak supaya “jangan gopoh” kerana sebarang keputusan berhubung perkara itu hanya akan dilaksanakan pada tahun depan.

Sementara itu, ketika mengulas tindakan NGO Cina - diketuai persatuan pendidiknya Dong Jiao Zong - yang akan turut mengadakan siri bantahan jika kerajaan gagal membuat keputusan sehingga Mac ini, Dr Hashim berkata:

“Dia (Dong Jiau Zong) ada cara dia, kita ada cara kita. Perkara ini jangan dilihat sebagai (tindakan) politik.”

Kenyataan bersama

Tambahnya, NGO itu pernah beberapa kali mengadakan pertemuan dengan Gapena bagi memperjuangkan isu bersama itu.

Malah, tambah Dr Hashim, kedua -dua badan pernah bergabung membuat kenyatan bersama berhubung perkara itu.

Selain akan mengambil tindakan mahkamah, Gapena turut dilaporkan akan mengadakan “perarakan keranda” - dikenali Keranda 152 - sebagai simbol kematian bahasa jika kerajaan turut gagal membuat keputusan.

Dr Hashim dilaporkan berkata, mereka mungkin berarak dari pejabatnya di Jalan Dewan Bahasa dan Pustaka ke Istana Negara, Parlimen atau balai polis bagi menyatakan bantahan mereka.

Selain Gapena, Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang diketuai bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan turut mengadakan perhimpunan raksasa 100,000 orang ala-Bersih bagi tujuan yang sama.

Beberapa tokoh bahasa dan sastera dilaporkan menyertai gabungan itu sebagai ahli jawatankuasanya induknya.

Mereka termasuk Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Md Isa; bekas ketua pengarah DBP, Datuk Aziz Deraman; tokoh sastera Datuk Dr Anwar Ridwan dan penyair terkenal, Dinsman.-Malaysiakini

Tiada ulasan: