Isnin, 26 Januari 2009

PPSMI: Hishamuddin Mesti Isytiharkan Dirinya Cerdik

PPSMI: Hishamuddin Mesti Isytiharkan Dirinya Cerdik
“PPSMI: Nasib Hishamudin Menjelang Perhimpunan Agung Umno” Oleh
Hishamul Hisham Al Hashim, Harakah Daily, 2 Januari 2009

"Hishamuddin mesti bangkit mengisytiharkan dirinya sebagai menteri yang cerdik dan tidak lagi selamanya diperbodoh."

Beberapa wakil NGO yang bersidang pada satu tempat di satu hari, selepas persidangan Meja Bulat yang diadakan pada 16 Disember 2008 dan kemudiannya dibaca satu memo dan pernyataan bersifat 'tidak menghormati lagi' sesiapa pun yang cuba merobek kedaulatan Bahasa Melayu, sepatutnya Menteri Pelajaran Dato' Hishamuddin tidak memandang ringan.

Hishamuddin tidak perlu membacanya tetapi cukuplah dengan menyedari kini, bahawa bukan lagi selamanya sebahagian besar rakyat main angguk dengan pemimpin mereka, tetapi rakyat menunggu masa untuk menderhaka wacana pemimpinnya, kerana selama mereka memerhati, ternyata sekian banyak pemimpin yang bodoh tetapi tidak mahu mengakui kebodohan itu, ramai yang tegar tetapi tidak menyedari tegarnya dan sekian lama mereka memerhati bagaimana saki baki pemimpin tajaan Mahathir masih takut bayang-bayang Mahathir.

Dan Hishamuddin sepatutnya sedar, tidak ada gunanya mempertahankan Bahasa Inggeris dalam Matematik dan Sains tajaan Mahathir, kerana Mahathir bukanlah orang yang mempunyai jati diri Melayu dan Mahathir bukan orang berguna lagi sekarang.

Satu hal yang Hishamuddin mesti sedar, Pemilihan Agung Umno bulan Mac ini adalah penentu kedudukannya. Jika cita-cita untuk mendapat undi terbanyak menjadi Timbalan Presiden atau Naib Presiden atau Presiden sendiri bergantung kepada berapa ramai perwakilan yang membuktikan 'tidak meluat'. Jika ramai perwakilan yang meluat, impian Hishamuddin akan berubah bentuk.

Apakah Hishamuddin tahu ini?

Hishamuddin sedang tahu ini. Cuma yang mampu beliau menahan gelisahnya ialah kerana sikap pegawai di kementerian, perwakilan dan guru-guru yang terbabit dalam soal ini, beberapa orang lagi yang jadi pengampu dan pembodek beliau, tidak berani lagi jadi 'Jebat'. Mereka masih tunduk macam Pokka tetapi satu hari nanti mereka akan bangkit dan membantah bos mereka. Ketika itulah Hishamuddin akan tersentak.

Ini sudah diketahui ramai orang, termasuk cerdik pandai pejuang bahasa dan pegawai-pegawai Hishamuddin sendiri.

Tulisan ini tidak mahu menghala masalah PPSMI kepada orang lain. Sebenarnya mahu atau tidak dilanjutkan hanya terletak di tangan Hishamuddin tetapi sayang Hishamuddin tidak mahu belajar dari kebodohannya. Kebodohan yang dimaksudkan di sini ialah kerana Hishamuddin masih menganggap Mahathir Perdana Menterinya, bukan Abdullah Badawi. Sedangkan Mahathir tidak punya apa-apa kuasa lagi. Mahathir cuma ingin melihat benih busuk yang ditanamnya dulu akan menjadi masalah kepada orang yang menggantinya.

Mahathir bukan saja menanam buah busuk dalam masalah bahasa, tetapi banyak lagi benih busuk yang ditanamnya kerana dia mahu orang Melayu tidak akan mampu melebihinya dan melebihi dinastinya.

Mahathir bukan tidak tahu dia akan tua, akan lemah, akan nyanyuk dan akan mati. Jadi apa pentingnya dia meninggal sesuatu yang penting atau tidak penting kepada bangsanya. Mahathir orang yang cerdik. Dia sangat yakin, selepas kematian, seseorang itu tidak akan dapat berbuat apa-apa dan orang pun tidak boleh buat apa-apa kepadanya. Di situlah kekebalan sebenarnya. Alangkah baiknya jika Hishamuddin sedar soal ini.

Kita rasa inilah masanya Hishamuddin selaku Menteri Pelajaran bangkit mengisytiharkan dirinya sebagai menteri yang cerdik dan tidak lagi selamanya diperbodoh. Menteri Pelajaran bukan menteri yang berpelajaran tinggi. Menteri Pengajian Tinggi ialah menteri yang berpelajaran tinggi.

Menteri Pelajaran mungkin hanya berpelajaran taraf sekolah rendah.

Hishamuddin perlu membersihkan ini kerana dalam tradisi Pemilihan Agung Umno, perwakilan sering memilih yang tidak cerdik menjadi ketua dan pemimpin. Perwakilan sering memilih yang tamak, yang menipu, yang rasuah, yang hipokrit dan yang honar menjadi pemimpin dan bukan yang telus, jujur atau iklhas dalam perjuangan.

Sekarang sudah ada gerakan senyap yang hendak menafikan Hishamuddin untuk mencapai tahap yang dicalonkan kepadanya hanya kerana satu sebab: Hishamuddin tidak mampu menilai masa lalu untuk menjadi seorang menteri yang bijak, sekurang-kurangnya menjadi Menteri Pengajian Tinggi, bukan menteri sekolah rendah.

Jadilah Menteri yang Cerdik

Hishamuddin sepatutnya sudah lama sedar dari tidur kebodohannya. Sudah berapa kali, sekurang-kurangnya sudah lima kali beliau diperbodoh dengan pencapaian keputusan markah UPSR yang kononnya pencapaian Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris mampu dicapai oleh anak-anak Melayu.

Hishamuddin tidak pernah membanding kenapa murid-murid Cina dan India lebih baik dalam Matematik dan Sains dan pelajar Melayu juga kononnya mencapai tahap yang baik?

Hishamuddin tidak pernah bertanya kepada guru-guru sekolah kebangsaan, bagaimana keputusan ujian bulanan dan markah pencapaian buku rekod bulanan pelajaran Sains dan Matematik pelajar Melayu.

Hishamuddin tidak pernah belajar membaca air muka pegawai, guru besar yang hadir mesyuarat bersamanya, apakah tunduk dan yes-yes itu benar-benar ikhlas atau hanya takut kena tukar?

Hishamuddin tidak pernah membuat kaji selidik, apakah pengakuan bagus dan berjaya dari guru-guru yang mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris itu, kerana ada elaun tambahan?

Sekiranya Hishamuddin belajar dari apa yang berlaku di persekitaran yang mula dicemari oleh Mahathir ini nescaya akan terlihat betapa pengkhianatan terhadap kedaulatan bahasa sejak 2003 kini terus menjadi keresahan rakyat. Hishamuddin hanya melihat sudut jika belajar dan disungguh-sungguhkan oleh guru, murid-murid akan pandai sedangkan dari sudut hilang maruah bahasa dan bangsanya tidak dilihat.

Hishamuddin tidak pernah berfikir, segala hujah yang dilontar untuk mengukuh alasan kenapa PPSMI sepatutnya menimbulkan pertanyaan; kenapa dan mengapa?

Hishamuddin tidak pernah membaca peristiwa Keranda 152, penubuhan Dewan Bahasa, Kongres Bahasa, Akta Bahasa 1996, Dasar Kebangsaan, nyahnya tulisan Jawi sehingga pelaksanaan PPSMI 2003, bukan dimulakan oleh orang bukan Melayu tetapi pemimpin Melayulah yang sangat tragis membuat onar.

Akibat daripada kejadian onar ini sudah berapa ramai cerdik pandai, intelektual, pakar dan pejuang bahasa menghabiskan masa mengeluarkan hujah, memberi alasan dari sudut budaya, jati diri, tamadun bangsa, hujah kesan pendidikan, hujah perundangan, hujah politik, sejarah dan dibandingkan pula dengan Negara lain. Semuanya kerana memandang akan berlakunya keburukan.

Dan sekali lagi, ia tidak dimulakan oleh orang bukan Melayu, tetapi pemimpin Melayulah yang memulakannya.

Kerana ini kita mengharap Hishamuddin mesti cerdik dalam soal ini kerana pemilihan Umno bulan Mac depan bukan saya menentukan Najib menjadi Presiden parti atau Perdana Menteri, tetapi Hishamuddin juga akan menghadapi penentuan kedudukannya.

Dan Hishamuddin mesti ingat, perwakilan yang hendak memilihnya ialah perwakilan Melayu. Masakan mereka tidak ada secamca darah pun semangat kebahasamelayuan mereka? - azm

Tiada ulasan: