Isnin 29 Disember 2008 1 Muharam 1430 Hijrah
Abdullah Disaran Batalkan PPSMI Sebelum Berundur
Roy Rasul, Sun Dec 28, 08 5:23:02 pm MYT
KUALA LUMPUR, 28 Dis (Hrkh) - Sekiranya Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu rakyat khususnya generasi akan datang mengenang jasanya sepanjang hayat, beliau sepatutnya mengembalikan pembelajaran pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris (PPSMI) kepada bahasa Melayu, saran Ketua 1 Angkatan Sasterawan Indera (Aksara), Abdul Ahmad.
Tindakan tersebut katanya, wajar sekali dilakukan sebelum beliau berundur pada bulan Mac 2009 ini.
"Isu PPSMI ini besar dan menjadi asas kepada politik negara. Tolonglah Pak Lah (Abdullah) sebelum berundur perbetulkan dahulu masalah yang dilakukan Tun Mahathir itu.
"Kami percaya jika beliau lakukan ini beliau akan meninggalkan dunia politik dengan satu sejarah yang akan dikenang selamanya dan semua anak cucunya pada masa akan datang memuji keberaniannya itu," katanya semasa dihubungi Harakahdaily hari ini.
Beliau berkata, untuk mengembalikan PPSMI kepada bahasa kebangsaan lebih mudah daripada membatalkan projek jambatan bengkok di Johor beberapa tahun lalu.
Akhbar Harakah bilangan 1402 edisi Isnin menjadikan isu PPSMI sebagai fokus utama dan isu itu mendapat reaksi positif daripada pejuang dan pencinta bahasa di tanah air.
Dalam pada itu kata Ahmad, apa dosanya Dasar Pelajaran Kebangsaan 1970 yang dilaksanakan sebelum ini.
"Dalam isu PPSMI ini kami nampak semua parti hanya mahu menjaga kepentingan politik masing-masing.
"Sebab itu tiada parti pun yang telus perjuangkan PPSMI sebagai mana pejuang-pejuang bahasa," kata mantan editor majalah Dewan Sastera itu.
Katanya apa yang membimbangkan untuk jangka panjang pimpinan politik negara tidak memikirkan tentang keselamatan dalam negara.
Menurutnya jika masing-masing bangsa dengan bahasa masing-masing mana mungkin mereka akan temui semangat perpaduan.
Beliau berkata, tujuan utama penggunaan bahasa Melayu adalah untuk perpaduan.
Jadi katanya, jika kerajaan meneruskan pelaksanaan PPSMI, dasar itu akan menimbulkan bahasa yang carca merba.
"Dalam sistem pendidikan kita sebahagian besar subjek diajar ada kaitan dengan sains dan matematik jadi apa yang tinggal untuk bahasa Melayu.
"Kami selalu tertanya-tanya sistem apa yang digunakan di negara ini sebab kita hendak menggunakan bahasa Inggeris pada dua subjek saja sedangkan untuk lain tidak.
"Di mana rasionalnya. Kalau betul hendak menggunakan bahasa Inggeris secara baik kita tingkatkan Sistem Pelajaran Kebangsaan yang sedia ada," katanya sambil melahirkan kebimbangan tindakan mempertahankan PPSMI sebagai muslihat politik.
Oleh kerana itu katanya, bahasa kebangsaan sewajarnya diserahkan kepada kuasa Agong dan Majlis Raja-raja sebagai mana agama Islam.
"Kita harap soal bahasa Melayu mempunyai kekebalan juga sebagai mana agama Islam.
"Jadi apabila dia berada dalam bidang kuasa Majlis Raja-raja tiada siapa lagi yang dapat mengubahnya," katanya. - mns
Tiada ulasan:
Catat Ulasan