Jumaat, 23 Januari 2009

Umno Kata PAS Bankrap Idea dan Moral

Saman Kerajaan: Pas Sanggup Dalangi Pelajar untuk Kepentingan Politik
Oleh Adnil Mohd, 23 Januari 2006 Pautan

Kuala Lumpur -- Pas diingatkan agar menghentikan tindakan untuk terus mendalangi pelajar bagi kepentingan politik mereka berhubung tindakan menyaman Kerajaan atas isu Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Pengerusi Biro Pendidikan, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Ahmad Ikmal Ismail berkata tindakan Pas itu jelas menunjukkan parti itu sudah bankrap idea dan moral sehingga sanggup mencemarkan minda dan menggunakan anak-anak muda yang masih lagi bersekolah untuk kepentingan politik mereka sendiri.

"Kita melihat bahawa tindakan yang telah diambil untuk menyaman kerajaan oleh para pelajar ini didalangi oleh parti Pas dengan kehadiran Naib Ketua Pemuda Pas dan beberapa ahlinya yang lain semasa saman difailkan.

"Langkah ini jelas menunjukkan Pas sebenarnya semakin tertekan, tiada haluan dan tercari-cari ke mana dan apa yang perlu dibuat untuk meraih sokongan yang jelas semakin merosot.
"Langkah ini satu gimik politik mereka untuk cuba menonjolkan diri kononnya berjuang untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan kepada laman web Pemuda di sini hari ini berhubung laporan akhbar yang memaparkan kes empat orang pelajar yang menyaman Kerajaan atas isu PPSMI.

Justeru tambah beliau lagi pihaknya yakin, rakyat umumnya tidak akan tertipu dengan gimik politik terbaru Pas ini.

Malah tegasnya, Pemuda amat kecewa melihat Pas sanggup menggunakan anak-anak yang tidak bersalah ini sebagai alat dalam mainan politik mereka.

"Kita ingin menyeru kepada pihak Pas supaya biarlah pelajar-pelajar ini menimba ilmu yang akan dapat memanfaatkan ibu bapa, keluarga, masyarakat dan diri mereka sendiri pada masa hadapan.

"Janganlah mengganggu atau mencemar minda mereka hanya untuk kepentingan Pas sendiri," ujarnya.

Jelasnya salah satu tujuan pelaksanaan PPSMI adalah untuk memastikan negara pada masa hadapan tidak ketinggalan dalam persada dunia.

PPSMI juga kata beliau lagi terbukti tidak membawa kesan negatif kepada pelajar seperti yang dapat dilihat dari keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) baru-baru ini.

"Ketiga-tiga subjek Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris semuanya menunjukkan peningkatan sebanyak 1.6% (Sains), 0.4% (Matematik) dan 3.7% (Inggeris) dari aspek tahap penguasaan minimum atau kelulusan tahap A, B, C atau D.

"Jumlah pelajar yang mendapat semua A juga meningkat ke 20,101 atau 4.9% dari jumlah pelajar menduduki PMR berbanding tahun 2004 (16,312 atau 4.2% dari jumlah pelajar menduduki PMR)", katanya.

Malah beliau yakin pencapaian para pelajar akan terus meningkat dengan usaha sama semua pihak termasuklah Kementerian, sekolah, guru-guru, ibu bapa, badan-badan politik, NGO dan sebagainya untuk para pelajar.

"Tindakan-tindakan Pas seumpama ini sebenarnya mengkhianati anak bangsa dan anak muda negara ini kerana berpotensi memecahbelahkan rakyat dan menghalang kemajuan.

"Kita ingin menyeru Pemuda Pas supaya berfikiran dan bersikap matang serta menjadi platform yang benar-benar ikhlas berjuang untuk negara. Berilah idea-idea yang positif dan membina dalam usaha kerajaan melaksanakan dasar PPSMI untuk memastikan negara akan terus maju ke hadapan", ujarnya.

Tiada ulasan: