Jumaat, 23 Januari 2009

Umno Kata Saman Pelajar Itu Gimik Politik

Saman Kerajaan: Pas Cuba Cipta Gimik Politik Tahun Baru
Oleh Adnil Mohd, 13 Januari 2006 (?) Pautan

Kuala Lumpur – Pas disifatkan ketandusan idea dan cuba mencipta gimik politik tahun baru apabila meneruskan hasrat untuk menguruskan saman terhadap kerajaan berhubung pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

Pengerusi Biro Pendidikan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Ahmad Ikmal Ismail berkata tindakan terbaru Pas itu jelas memperlihatkan sikap sebenar mereka yang sanggup melakukan apa sahaja demi survival politik.

Menurut beliau Pas sememangnya sebuah parti yang tidak mempunyai pendirian dan asas perjuangan yang kukuh dan mereka hanya bergantung sepenuhnya kepada manipulasi sesuatu isu.

"Perjuangan mereka ibarat lalang yang hanya menjurus kepada usaha untuk meningkatkan semula populariti parti dan bukannya berniat ikhlas untuk memperjuangkan orang Melayu dan seluruh rakyat Malaysia.

"Kita yakin rakyat khususnya ibu bapa dapat menilai niat dan agenda sebenar mereka", katanya kepada laman web Pemuda di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Pemuda Pas yang terus berhasrat untuk menguruskan saman terhadap kerajaan berhubung pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

Sebelum ini Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas, Mohamed Hanipa Maidin dilaporkan berkata saman itu dijangka akan difailkan Januari kerana langkah itu bertentangan dengan Akta Bahasa Kebangsaan, Seksyen 17 Akta Pendidikan 1996 dan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Sambil mengingatkan parti pembangkang terbabit agar bersikap realistik dan tidak melatah dengan tindakan pihak-pihak tertentu yang cuba menggagalkan dasar murni kerajaan itu, Ikmal seterusnya menjelaskan keputusan tepat kerajaan dalam perkara itu tidak seharusnya diragui oleh mana-mana pihak.

Justeru beliau mengingatkan orang ramai khususnya ibu bapa agar tidak terpengaruh dengan apa jua dakyah serta pembohongan yang akan digunakan oleh parti pembangkang terbabit.

"Kita nasihatilah kepada golongan ini agar jangan berselindung di sebalik isu ini untuk kepentingan diri dan politik sempit mereka sebaliknya berfikiran terbuka dan matang bagi menjana hasil yang membina dan membangun kepada bangsa Melayu dan seluruh rakyat Malaysia", katanya.

Tiada ulasan: