Jumaat, 23 Januari 2009

Pelajar Saman Kementerian Pelajaran

Dasar BI: Pelajar Saman Kementerian Pelajaran
Muda Mohd Noor, Malaysiakini, 20 Januari 2006

Empat orang pelajar sekolah menengah di Perak menyaman Kementerian Pelajaran kerana membantah penggunaan Bahasa Inggeris sebagai pengantar mata pelajaran Matematik dan Sains di sekolah rendah dan menengah.

Mohammad Shawwaal Mohd Nizar,14; Mohammad Fadzir Rosni, 15; Nor Najiha Muhaimin dan Syazaira Arham Yahya Ariff (kedua-duanya berusia 16 tahun) mengemukakan saman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi semalam. (19 Januari 2006).

Mohammad Syawwaal mengemukakan saman melalui bapanya Mohammad Nizar Jamaluddin; Mohammad Fadzil melalui bapanya Mohamed Rosni Abu Bakar; Nur Najihah Muhaimin melalui bapanya Muhaimin Sulam dan pelajar tingkatan empat, Syazaira Arham Yahya Ariff, melalui bapanya Yahya Ariff Kamaruzzaman.

Mereka mengemukakan saman pemula itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas di sini melalui Tetuan Mohamed Hanipa dan Associates.

Saman itu yang turut disertakan dengan afidavit daripada Mohammad Nizar, yang mewakili bapa semua pelajar berkenaan, juga memohon deklarasi bahawa responden tidak mempunyai kuasa dan budi bicara untuk memperkenalkan, menguatkuasakan dan melaksanakan dasar pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris seperti yang terkandung dalam Surat Pekeliling Ikhtisas bertarikh 27 November 2002.

Bahasa Pengantar

Mohammad Syawwaal ialah pelajar Sekolah Kebangsaan Batu Tiga, Temoh, Perak; Fadzil Nor, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tok Muda Abdul Aziz, Sungai Siput, Perak; Mohamed Rosni, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Perak, Perak dan Syazaira Arham, pelajar di Madrasah Idrissiah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak.

Keempat-empat orang pelajar itu, yang tidak hadir di mahkamah, juga memohon kos dan relief lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah. Hanya dua orang bapa iaitu Mohammad Nizar dan Yahya Ariff yang hadir hari ini mewakili empat orang pelajar itu.

Bercakap kepada wartawan, Peguam Mohamad Hanipa Maidin berkata, saman itu dibuat kerana penggunaan bahasa Inggeris sebagai pengantar mata pelajaran Matematik dan Sains di sekolah rendah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Mengikut Seksyen 17 Akta Pendidikan Tahun 1956, bahasa Melayu hendaklah menjadi bahasa pengantar dalam semua mata pelajaran di sekolah rendah dan menengah di negara ini,” katanya.

Afidavit yang dikemukakan menyebut, pada 27 November 2002 Kementerian Pelajaran dalam pekelilingnya mengatakan bahasa Inggeris akan menjadi bahasa pengantar bagi mata pelajaran Matematik dan Sains mula sesi persekolahan tahun 2003.

Tambahnya, pekeliling itu dibahagikan kepada dua iaitu untuk sekolah rendah, menengah kebangsaan dan Sekolah Rendah Jenis kebangsaan Tamil (SRJKT) dan satu lagi khusus untuk Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC).

Pilihan Terakhir

Menurutnya, wujud diskriminasi dalam arahan ini kerana murid sekolah rendah, menengah kebangsaan dan SRJKT diajar mata pelajaran Matematik dan Sains hanya dalam bahasa Inggeris sedangkan untuk SRJKC, ia diajar dalam dua bahasa, iaitu bahasa Inggeris dan Mandarin.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda PAS, Pusat Idris Ahmad yang hadir sama di majlis berkenaan berkata, proses undang-undang merupakan pilihan terakhir yang dilakukan oleh pihaknya.

“Setelah tiga tahun dasar itu dijalankan, ia semakin menimbulkan kecelaruan dalam dasar pendidikan negara terutama kepada murid di kawasan luar bandar.

“Pada mulanya, kami mengharapkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah mengubah semula dasar pengajaran kepada asal tetapi beliau juga tidak melakukannya,” katanya.

Idris berkata, kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati kira-kira 50 peratus murid tidak boleh bercakap dalam bahasa Inggeris.

Tujuan Saman

Katanya, selain itu Kongres Kepentingan Bangsa dan badan pendidikan Cina, Dong Jiong Zong (DJZ) turut membantah penggunaan Bahasa Inggeris sebagai pengantar untuk mata pelajaran Matematik dan Sains di sekolah rendah.

Sementara itu, bapa Mohd Syawal iaitu Mohd Nizar Jamaluddin berkata, anaknya mengambil tindakan tersebut untuk kepentingan murid Melayu pada masa depan.

“Kesan yang paling besar ialah kepada murid dari kawasan luar bandar kerana mereka tidak mempunyai peluang untuk mempelajari bahasa Inggeris yang mencukupi seperti rakan mereka di bandar,” katanya.

Beliau berkata, mungkin pada masa ini kesannya belum dapat dilihat tetapi dalam masa beberapa tahun lagi kesan itu dapat dirasai dengan begitu ketara.

Tiada ulasan: