Ahad, 15 Februari 2009

Bahasa Inggeris: Gapena Buat Laporan Polis

Oleh Ariffuddin Ishak, mStar, 15 Februari 15, 2009
Pautan asal.

PETALING JAYA: Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) hari ini memfailkan laporan polis berhubung pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields tengah hari tadi.

Ketua I Gapena, Tan Sri Ismail Hussin berkata, tindakan memfailkan laporan polis merupakan langkah awal pihaknya menggunakan kaedah perundangan menghadapi isu berkenaan kelak.

“Kita mahu polis siasat laporan itu kerana apabila kerajaan melaksanakan PPSMI ia sebenarnya tidak sah mengikut undang-undang.

“Dengan melaksanakan PPSMI, jelas sekali kerajaan telah membelakangi Akta Pendidikan dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada mStar Online.

Dalam laporan itu, Gapena menekankan bahawa pelaksanaan PPSMI adalah bertentangan dengan Seksyen 17(1) Akta Pendidikan 1996 dan bercanggah dengan kehendak dan tujuan Perkara 152(1) dan 152(6) Perlembagaan Persekutuan.

Dinyatakan dengan lebih terperinci dalam laporan polis berkenaan bahawa Perkara 152(1) memperuntukkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan diperuntukkan melalui undang-undang, bahawa tiada sesiapa boleh dilarang dan dihalang menggunakan (selain bagi “maksud rasmi”) atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain.

Perkara 152(6) pula memperuntukkan bahasa perkara-perkara pendidikan negara, mata pelajaran utama dalam kurikulum kebangsaan yang diuruskan oleh Kementerian Pelajaran tergolong dalam kategori “maksud rasmi”.

Berasaskan kepada kehendak Perkara 152(1) & 6 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 17(1) Akta Pendidikan 1996, adalah wajib bagi semua mata pelajaran yang diajar di semua sekolah menggunakan bahasa Melayu.

Kira-kira 20 tokoh dan pejuang bahasa mengiringi Ismail ketika membuat laporan polis berkenaan.

Penghujung tahun lalu Gapena menetapkan 15 Februari iaitu hari ini sebagai tempoh muktamad untuk mengambil tindakan undang-undang di mahkamah sekiranya kerajaan masih meneruskan PPSMI.

Pemilihan tarikh itu adalah sebagai simbolik kepada Perkara 152 dalam Perlembagaan Malaysia yang menyentuh soal kedudukan bahasa kebangsaan.

Ditanya mengenai “perarakan keranda 152” yang dirancang sebelum ini, Ismail berkata, Gapena sentiasa rasional dalam setiap tindakan yang bakal diambil.

“Kita menerima banyak cadangan termasuklah nak bawa keranda itu, tapi apabila diperhalus lebih baik kita lakukan bantahan dengan cara yang lebih sopan dan teratur.

“Kalau nak bawa keranda kita kena dapatkan kebenaran pihak berkuasa…kena ikut peraturan,” katanya.

Berhubung hasrat untuk menyaman kerajaan di mahkamah berhubung isu PPSMI ini, beliau tetap menegaskan bahawa perkara itu masih dibincangkan.

“Kita masih mendalaminya, buat permulaan kita failkan laporan polis dahulu,” katanya

Tiada ulasan: