Selasa, 17 Februari 2009

Ahli UMNO Sokong PPSMI

17 Februari, 2009 21:43 PM
PPSMI Bukan Menidakkan Taraf Bahasa

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) bukan untuk menidakkan taraf bahasa Melayu, sebaliknya ia perlu bagi memastikan generasi muda di negara ini mampu bersaing hingga ke peringkat global.

Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) Datuk Syed Ali AlHabshee berkata PPSMI diperlukan bagi membolehkan murid-murid menguasai konsep subjek itu dalam bahasa antarabangsa.

"Untuk jangka panjang ia akan memudahkan kebolehan capaian maklumat dalam sains dan teknologi di kalangan rakyat Malaysia kerana lebih daripada 90 peratus maklumat sains dan matematik diperoleh dalam bahasa Inggeris," katanya dalam kenyataan Selasa.

Syed Ali yang juga Ketua Umno Bahagian Cheras mengulas tindakan Gabungan Penulis Nasional (Gapena) membuat laporan polis terhadap Kementerian Pelajaran kerana mendakwa PPSMI bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan 1996.

Beliau berkata Gapena sebenarnya terkeliru dalam isu memartabatkan bahasa Melayu kerana yang menghalang perkembangan bahasa Melayu sebenarnya bukan PPSMI tetapi ialah sistem sekolah vernakular.

"Jika Gapena benar-benar ingin memperjuangkan bahasa Melayu, kenapa PPSMI sahaja dijadikan sasaran. Gapena tidak membantah apabila ada universiti-universiti tempatan melaksanakan proses pengajian dalam bahasa Inggeris untuk subjek tertentu di beberapa fakulti," katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu kementerian berkenaan khususnya Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein supaya tidak tunduk kepada tekanan oleh pelbagai pihak termasuk Gapena yang mahu supaya kerajaan mempertimbangkan kembali PPSMI.-- BERNAMA

Tiada ulasan: