Rabu, 18 Februari 2009

PPSMI: Hishammuddin Persoal Tindakan Gapena

BH 18 Februari 2009

KUALA LUMPUR: Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mempersoalkan laporan polis oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) bagi membantah pelaksanaan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

"Kita sudah melaksanakan dasar itu sejak enam tahun lalu, malah sebelum saya menjadi Menteri Pelajaran.

"Justeru, kita agak berwaspada dengan tindakan sedemikian...apa motif Gapena hanya membuat laporan polis itu sekarang," katanya ketika ditemui di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau mengulas tindakan Gapena membuat laporan polis terhadap Kementerian Pelajaran di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, kelmarin kerana mendakwa PPSMI bertentangan dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan serta Akta Pendidikan 1996.

Sementara itu, Ketua II Gapena, Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar, semalam berkata Gapena sudah memperjuang bantahan pelaksanaan PPSMI sejak 2002 dan tiada sebarang agenda tersembunyi di sebalik usaha itu.

Pada sidang akhbar sama, Ketua I Gapena, Prof Emeritus Tan Sri Ismail Hussein, pula berkata, Gapena mahu bersemuka dengan Hishammuddin bagi membincangkan kemelut pelaksanaan PPSMI yang didakwa akan menghancurkan bangsa serta bahasa Melayu di negara ini.

Katanya, perbincangan itu perlu kerana beberapa siri Persidangan Meja Bulat PPSMI yang diadakan masih tidak memadai berikutan pihaknya serta cendekiawan dan budayawan Melayu lain 'hampir-hampir tidak berpeluang' bersuara dan menjelaskan pandangan mereka.

Tiada ulasan: