Utusan Malaysia 4.2.09
Oleh AHMAD MASRIZAL MUHAMMAD, Pensyarah Kanan Pusat Pembangunan Organisasi, Institut Latihan Kepimpinan dan Pengurusan Pendidikan.
PADA 31 Januari lalu ketenangan di sebuah pusat membeli-belah di ibu negara terganggu dengan kemunculan kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai Gerakan Memansuhkan PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) atau GMP yang rata-ratanya orang Melayu. Demonstrasi oleh GMP ini kemudiannya dengan cepat diulas dan sorot oleh pihak media cetak dan media elektronik.
Daripada satu segi berdemonstrasi boleh dianggap baik kerana dapat menarik massa untuk lebih mengetahui dengan lebih lanjut tentang sesuatu isu dan mendapat publisiti serta simpati. Walaupun begitu jikalau kita memperhalusinya, demonstrasi bukan budaya kita.
Apakah sudah muncul budaya baru di kalangan orang Malaysia yang bijak pandai bahawa jika pemerintah lambat akur dengan kehendak mereka, maka mereka akan buat riuh di jalanan?
Dahulu ketika Tanah Melayu mahu dilibatkan dengan Malayan Union, sudah wujud demonstrasi. Pejuang nasionalis Melayu ketika itu menentang usaha tersebut dengan demonstrasi termasuk yang dipimpin oleh Datuk Onn Jaafar pada 10 Februari 1946. Ia menjadi titik tolak kepada beberapa siri demonstrasi rakyat yang lain.
Namun adakah sama demonstrasi menentang Malayan Union dengan yang membantah PPSMI? Pastinya matlamat adalah berbeza. Menentang Malayan Union berasaskan usaha membebaskan diri daripada penjajah. Matlamat demonstrasi ini begitu jelas kritikal dan penting untuk kelangsungan sebuah negara yang berdaulat.
Berlainan dengan demonstrasi menentang PPSMI, ia seperti kehilangan nilai. Apakah hasrat sebenar GMP melalui demonstrasi ini? Apakah sekadar ingin memberi tahu massa tentang kewujudan gerakan itu dan seterusnya mengheret massa kepada perarakan besar-besaran sehingga ingin melibatkan pihak Istana?
Jika ini adalah hasratnya maka ia jelas cuba menanam bibit-bibit amalan demonstrasi yang berisiko dan berbahaya. Pengalaman 1969 sudah cukup membuktikan demonstrasi tidak boleh dijadikan amalan dan budaya. Begitu juga demonstrasi jalanan pada 1998/99 memberikan pengalaman memeritkan semua orang.
Kementerian Pelajaran telah bersungguh-sungguh mencari pendekatan terbaik. Pelbagai perbincangan dan dialog dengan semua pihak diadakan.
Ia merupakan satu usaha yang dianggap baik untuk membuat keputusan kerana Kementerian Pelajaran akan dapat mengumpulkan banyak informasi berguna dan mantap.
Keterbukaan kementerian itu seharusnya disambut dengan positif oleh semua pihak dan bukannya berdemonstrasi. Jadi, tidak timbul isu ketiadaan ruang untuk perbincangan dan sebagainya.
Daripada fakta ini, terfikir semula oleh kita kenapa perlu diadakan juga GMP? Ia berbalik semula kepada persoalan asas, apa sebenarnya motif GMP? Apa agenda sebenarnya? Berselindung di sebalik isu bahasa adalah mudah tetapi apa signifikannya?
Sistem pendidikan kita sebenarnya tidak diinggeriskan. Itu adalah fakta. Maka kumpulan yang terajunya terdiri daripada Gapena/DBP ini tidak perlu takut secara sembarangan. Jika Gapena mahu memartabatkan bahasa Melayu, perhebatkanlah gerakan menggunakan bahasa Melayu.
Semarakkan dengan program yang lebih hebat. Buat karnival yang boleh mencelikkan masyarakat; berkempenlah di sektor-sektor swasta yang langsung tidak menggunakan bahasa Melayu.
Sesungguhnya itulah tugas sebenar Gapena dan DBP. Kita tidak boleh marah disebabkan hanya kerana melihat bahawa pelajar sudah mulai yakin sedikit belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris maka kita bertindak terus untuk mencantasnya, sedangkan kita tidak pernah pun melihat ke dalam diri kita.
Apakah sudah cukup tindakan dan aktiviti yang kita jalankan untuk menarik semua pihak menggunakan bahasa Melayu? Sekadar menampal sepanduk "Cintai Bahasa Kita" di pagar-pagar bangunan sahaja, ternyata tidak mencukupi. Gapena harus kembali kepada statusnya.
Kesimpulannya, GMP tidak harus diberi muka untuk menyemarakkan amalan demonstrasi. Amalan itu bukan budaya rakyat negara ini. Ia tidak wajar diserap sebagai satu bentuk budaya baru.
Biarlah negara lain mahu berbangga dengan menjadikan demonstrasi sebagai satu mekanisme untuk menuntut perubahan dasar daripada pemerintah. Kita tidak memerlukan itu semua. Kita ada saluran yang lebih harmoni.
Lebih jauh lagi ia juga bukan tradisi yang wajar diketengahkan kepada generasi baru. Tatkala semua negara di dunia berperang dengan kemelut ekonomi dan rakyat bergelut dengan masalah pengangguran, adalah elok untuk rakyat kita berfikir mengenai hal yang sama. Jangan leka dengan demonstrasi.
Keputusan dasar sesebuah negara berdaulat seperti Malaysia ini tidak harus diselesaikan di jalanan. Bangsa yang bermaruah adalah bangsa yang faham tentang erti membuat keputusan yang berpaksikan kepada musyawarah. Ini kerana, kelangsungan dasar akan menentukan kesinambungan daya juang bangsa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan