Sumber
1. Kerajaan mesti mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik (PPSMI) ke dalam bahasa Melayu (BM) kerana langkah ini terang-terangan melanggar Akta 152. Perkara 152 ini telah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia sejak sekian lama dan tidak pernah dipersoalkan kesahihannya. Hanya setelah kerajaan melaksanakan PPSMI dan ditambah dengan pentadbir negara tanpa segan silu memperjuangkan bahasa Inggeris (BI) sebagai bahasa global, maka hari ini kaum bukan Melayu dan segelintir orang dan pemimpin Melayu sendiri terang-terangan memperkecil dan menghina BM dalam semua aspek, dari kuliah mata pelajaran di institusi pendidikan (peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan pembangunan negara sehingga ke papan tanda jalan raya).
2. Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Kedua Malaysia diiktiraf sebagai arkitek perpaduan Malaysia dengan merentas etnik. Laporan Razak berjaya menyatupadukan semua kaum dengan penggunaan BM. Sejak dari itu tidak ada lagi masalah 13 Mei di Malaysia. Ini adalah kerana semua kaum mendapat peluang pendidikan yang saksama dengan bahasa pengantar yang sama. Dengan PPSMI jurang antara bandar dan luar bandar semakin melebar. Yang menjadi mangsa pasti majoritinya Melayu. Mengapa Melayu? Mereka adalah 70% penduduk luar bandar. Ini amat tidak adil kerana mereka dinafikan pendidikan berkualiti.
3. Bahasa Melayu mampu menjadi bahasa pembangunan dan bahasa kemajuan bagi negara ini. Warganegara dan pemimpin yang bermaruah, berjiwa besar dan mempunyai jati diri yang kukuh pasti yakin dan akan berusaha merealisasikan peranan BM yang utama tersebut. Hal ini terbukti dari tahun 1970-2007, kita telah melahirkan ramai teknokrat dan profesional dalam kalangan masyarakat Melayu khususnya dan orang Malaysia umumnya dengan menggunakan bahasa kebangsaan melalui sistem pendidikan kebangsaan.
Peratusan bagi jurutera, akauntan, doktor, saintis Melayu meningkat. Malah UKM yang menggunakan BM sebagai bahasa pengantar berjaya menduduki tangga bawah 200 dalam senarai Times Higher Education Supplement (THES). Senarai THES 2007 menunjukkan kebanyakan universiti dunia yang menggunakan bahasa kebangsaan berjaya menduduki tangga di bawah 50. Ini bermakna bahasa kebangsaan bukan penghalang kepada kemajuan. PPSMI ialah mekanisme atau “bom nuklear” yang dapat menghancurkan peranan bahasa Melayu sebelumnya sebagai bahasa kemajuan dan pembangunan negara ini.
4. PPSMI tidak memerlukan apa-apa kajian lanjutan. Penukaran BM kepada BI pada tahun 2003 tidak pernah dilakukan sebarang penyelidikan. Rakyat dikejutkan dengan pertukaran dasar ini. Alasan yang diberikan dengan menggunakan BI pada PPSMI akan membaiki kelemahan BI pelajar. Jadi isu yang sebenarnya atau yang utama ialah untuk meningkatkan penguasaan dan kemahiran bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di Malaysia. Namun hasilnya masih tetap sama. Penguasaan BI pelajar yang majoritinya lemah terus menjangkit pula pada subjek Sains dan Matematik. Jika dahulu kita dapat lihat anak-anak dari Semberong, pedalaman Sabah, Sarawak, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang dan lain-lain dapat menjadi doktor, saintis, akauntan, berkemungkinan besar pada 5 tahun akan datang jumlahnya akan merosot dengan teruk sekali. Penguasaan BI mestilah melalui mata pelajaran BI. Siapakah dan generasi siapakah yang akan rugi?
5. Keputusan UPSR dan PMR selalu mencatatkan pencapaian BI pelajar lemah adalah sekitar 70%. Dakwaan ini ternyata benar apabila saya melakukan penyelidikan di Johor. Memang pelajar pinggir bandar dan luar bandar terpukul teruk dengan pelaksanaan PPSMI. Memang hampir 70% responden Johor lemah dalam BI. Bagaimanakah mereka dapat meneruskan perjuangan di peringkat yang lebih tinggi?
Kajian saya di peringkat nasional di bawah payung UKM-DBP menunjukkan mereka yang di bandar, bukan Melayu, mereka dari keluarga yang berpendapatan tinggi mendapat manfaat dari PPSMI. Ini bermakna mereka akan menguasai sektor pekerjaan dan menyisihkan mereka yang majoritinya di luar bandar, bangsa Melayu dan mereka dari keluarga berpendapatan rendah.
6. Keputusan pilihan raya ke-12 juga adalah manifestasi bangsa Melayu atau orang Melayu yang marah dengan penyelewengan dasar bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan di negara ini. Orang Melayu kalau marah mereka akan diam. Tetapi mereka protes dalam bentuk undi!
Percayalah kekalahan UMNO baru-baru ini adalah tidak mustahil merupakan manifestasi kemarahan orang Melayu yang suaranya, pandangannya dan kritikannya tidak dipedulikan langsung oleh para pimpinannya dan faktor PPSMI adalah salah satu daripadanya.
Negara ini bukan England, bukan Amerika, bukan India, bukan China, bukan Taiwan, malah bukan Singapura dan bukan mana-mana negara. Malaysia adalah Malaysia atau Persekutuan Tanah Melayu yang sejarahnya bermula sejak sebelum tertubuhnya kerajaan Melayu Melaka lagi. Fikirkanlah.
Kami lakukan ini sebab kami sayang akan agama, bahasa, bangsa dan negara ini.
“Cintailah Bahasa Kita”
Salam hormat,
Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaluddin
Presiden Persatuan Linguistik Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan