Rabu, 4 Februari 2009

STU Setuju PPSMI di Sekolah Rendah

STU Setuju PPSMI di Sekolah Rendah
Berita Harian Online: 31 Disember 2008

KUCHING: Kesatuan Guru-guru Sarawak (STU) menegaskan pihaknya tidak pernah bersetuju agar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) peringkat sekolah rendah dikembalikan ke dalam bahasa Melayu.

Presidennya, William Ghani Bina berkata, STU sudah menyatakan pendirian tegas berhubung perkara itu agar PPSMI dilaksanakan ketika perjumpaan dan perbincangan mengenai perkara itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau mengulas laporan Berita Harian kelmarin yang memetik kenyataan Pengerusi Majlis Permuafakatan Kesatuan/Persatuan Guru Kementerian Pelajaran Malaysia, Jemale Paiman, yang mengatakan semua kesatuan guru menolak PPSMI selain meminta kerajaan kembali menggunakan bahasa Melayu bagi kedua-dua subjek berkenaan.

"STU mahu bahasa Inggeris diteruskan sebagai medium pengajaran kepada subjek Matematik dan Sains di sekolah rendah bagi memastikan pelajar tidak mengalami kesukaran khususnya dalam penguasaan bahasa Inggeris apabila mereka masuk ke sekolah menengah.

"Justeru, STU melihat kewajaran PPSMI perlu dilaksana pada peringkat rendah agar pelajar mudah memahami subjek berkenaan berikutan kedua-duanya diajar sepenuhnya di dalam bahasa Inggeris peringkat menengah," katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Ghani berkata, pihaknya ada menerima maklumat dan mengatakan murid sekolah rendah masih gagal menguasai istilah bahasa Inggeris dua subjek berkenaan, STU tetap menyokong pelaksanaan PPSMI kerana percaya murid berkenaan boleh mengikutinya dengan lebih baik apabila masuk ke sekolah menengah.

Tiada ulasan: